Wednesday, July 20, 2011

JANGAN BIARKAN PUAK MUNAFIK ROSAKKAN MALAYSIA

Perang Uhud adalah diantara peperangan yang masyhur dalam sejarah Islam. Ia berlaku selepas Perang Badar yang mencatitkan kemenangan pertama tentera Islam dibawah pimpinan Rasulullah SAW. Jika Perang Badar masyhur kerana 313 orang tentera Islam berjaya menewaskan tentera musyrikin yang berjumlah lebih 1,000 orang, Perang Uhud diingati kerana kekalahan yang menyebabkan ramai pengikut-pengikut Rasulullah mati syahid termasuk bapa saudaranya Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib.

Menurut sejarah, ada dua faktor utama yang menyebabkan kekalahan dalam Perang Uhud. Pertama, kira-kira 300 orang kaum munafik yang diketuai Abdullah bin Ubai telah berpaling tadah pada saat-saat akhir, meninggalkan Rasulullah bersama 700 tentera Islam untuk menentang tentera musyrikin yang jauh lebih ramai.

Faktor kedua, kira-kira 50 pemanah yang Rasulullah perintahkan supaya tidak meninggalkan kubu lereng bukit telah melanggar perintah arahan kerana mengejar harta yang ditinggalkan oleh tentera musyrikin di medan pertempuran. Tanpa pasukan pemanah, tentera Islam yang berada ditempat yang stratejik dilereng bukit telah hilang kekuatanmenyerang dan tentera musyrikin yang melarikan diri berpeluang mengumpul semula kekuatan dan melakukan serangan balas yang akhirnya memberikan mereka kemenangan.

Perang Uhud memberikan pengajaran besar bagi memelihara kekuatan umat Islam. Mesejnya amat jelas iaitu jangan percaya kepada puak munafik dan taatlah kepada perintah ketua atau pemerintah. Orang munafik lebih berbahaya daripada orang-orang kafir yang memusuhi Islam kerana mereka pandai berpura-pura melindungi kemunafikan mereka. Pada zaman Rasulullah, mereka turut membina sebuah masjid dengan tujuan untuk memecah-belahkan umat Islam seperti dalam firman Surah At-Taubah ayat 107:-

“Dan (diantara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah :”Kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).”

Senang cakap, mereka ini ibarat pepatah Melayu “gunting dalam lipatan”. Tidak mudah untuk mengenali mereka kerana pakaian dan cara hidup mereka zahirnya juga sama seperti lain-lain orang Islam. Malah ada yang kelihatan lebih warak dari segi pakaian dan perbuatan.

Bagaimanapun mereka ini hanya dapat menyembunyikan diri daripada mata kasar kebanyakkan orang. Mereka tidak dapat menyembunyikan diri daripada pandangan mata hati orang-orang beriman, jauh sekali daripada pengetahuan Allah SWT. Orang-orang munafik ini asalnya adalah orang-orang beriman tetapi disebabkan mereka lebih taat kepada hawa nafsu daripada tunduk kepada Allah akhirnya mereka menjadi kafir dan munafik. Mereka ini amat susah untuk kembali kepangkal jalan kerana Allah telah menutup pintu hati mereka. Berapa banyak sekalipun nasihat dan teguran diberikan mereka tidak akan berubah seperti firman Allah dalam surah Al-Munafikun ayat 3 :-

“Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati, kerana itu mereka tidak dapat mengerti.”

Kepada umat Islam yang mengaku beriman, berwaspadalah dalam mengharungi kehidupan dunia. Janganlah kita diperangkap godaan nafsu dan hasutan syaitan. Segalanya bermula daripada nafsu. Ingatlah bahawa ibu bapa manusia, Nabi Adam dan Hawa telah terkeluar daripada syurga kerana runtunan hawa nafsu dan hasutan iblis (penghulu syaitan). Peringatan mengenai bahaya nafsu ini dinyatakan berulang-ulang dalam Quran. Antaranya daripada surah At-Jaatsuyah ayat 23 :-

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat)? Maka mengapa mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”.

Sebab itulah Rasulullah pernah mengingatkan para sahabat baginda bahawa jihad yang lebih besar selepas berperang membela agama ialah jihad melawan hawa nafsu. Orang-orang munafik ini telah menjadikan nafsu mereka mereka sebagai tuhan kerana mereka membelangkangi Quran dan sunah Rasulullah dalam pendirian dan tindak tanduk mereka. Lantaran itu Allah menutup rapat hati mereka daripada menerima kebenaranNya. Tertutup hati sekalipun pada zahirnya mereka memakai seban, ketayap, selalu bersolat jemaah di masjid, malah ada yang kadang kala berdiri diatas mimbar membaca khutbah Jumaat.

Malangnya, ramai umat Islam yang lemah imannya mudah mempercayai mereka. Sebabnya, mereka ini mempunyai penampilan atau ketrampilan yang memikat selain pandai berkata-kata seperti firman Allah dalam surah Al-Munafikun ayat 4 :-

“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka (ketrampilan luaran) menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan yang tersandar (tidak kuat dan bersandar kepada kekuatan orang lain). Mereka mengira bahawa pada mereka tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka (mereka cepat melatah). Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?.”

Jika anda masih sukar untuk mengenali siapakah orang munafik yang akan terus berada dikalangan umat Islam sejak zaman Rasulullah hingga keakhir zaman, maka renungilah hadis yang masyhur ini :-

Hadis sahih Muslim : Dari Abdullah bin Amru, Rasulullah SAW pernah bersabda :”Ada empat sifat yang bila dimiliki maka pemiliknya adalah munafik tulin. Dan barang siapa yang memiliki salah satu diantara empat tersebut, itu bererti ia telah menyimpan satu tabiat munafik sampai ia tinggalkan. Apabila ia berbicara ia berbohong, apabila bersepakat ia berkhianat, apabila ia berjanji ia mengingkari dan apabila bertelingkah ia buat curang.”

Berbahaya sungguh orang munafik ini. Jika orang kafir memusuhi Islam, memang mudah kita mengenali mereka dan berwaspada, tetapi tipu muslihat orang munafik sangat licik sebagai yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Sebenarnya pada hari ini umat Islam di Malaysia juga sedang berhadapan dengan puak munafik. Malah mereka ini tanpa segan silu menyokong puak kafir yang memusuhi Islam secara terbuka, sebagaimana yang akhirnya berlaku pada zaman Rasulullah. Mereka begitu berani kerana mereka mendapat sokongan daripada sebilangan umat Islam sendiri. Apakah mereka yang menyokong ini sudah Allah tutup pintu hati mereka? Jika Allah sudah menutup pintu hati mereka, tiada siapa lagi yang boleh menolong. Namun kita masih berpeluang memberikan nasihat dan teguran kepada kalangan yang baru berjinak-jinak dengan puak munafik ini. Jika mereka saudara mara atau handai taulan kita, sayangilah mereka. Nasihatilah mereka sebelum hati mereka terbenam ke lubuk munafikan dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Dan kepada mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulullah, marilah kita perangi puak munafik ini dengan menjauhkan diri daripada mereka. Jika mereka cuba melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang negara, tentanglah mereka dengan cara terbaik yang dibenarkan oleh syariat dan undang-undang negara.

Dan desaklah pihak berkuasa dan pemerintah supaya mengambil tindakan keras mengikut undang-uindang terhadap mereka. Kita wajib melindungi negara yang dicintai daripada kerosakan dan kemusnahan angkara puak kafir dan munafik ini.

KISAH NIK AZIZ…


Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat menunjukkan pemikirannya yang semakin bercelaru. Tok Guru itu tidak habis-habis memalukan Pas.

Terbaru beliau mempertahankan kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew agar umat Islam di republik itu tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran dan nilai Islam.

Aneh, seorang pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam boleh berkompromi dengan kenyataan Kuan Yew. Mujurlah sebahagian pemimpin Pas tidak senada dengan beliau. Antaranya Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang membidas Kuan Yew. Beliau ada keberanian menyanggah pengasas Singapura itu dengan hujah-hujah ilmiah mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Namun sikap Nik Aziz tidak mengejutkan. Jika beliau boleh tunduk dengan DAP maka tiada sebab untuk tunduk dengan Kuan Yew yang merupakan pengasas PAP, parti yang memerintah Singapura sehingga kini. Ini kerana PAP dan DAP ada jalinan stratejik. Sebab itu Nik Aziz tidak berani untuk bersuara mempersoalkan Pengerusi DAP Karpal Singh yang terus menolak penubuhan negara Islam. Pertama kali dalam sejarah ada pemimpin utama Pas yang menjadi alat DAP. Awang dapat tahu ramai ahli Pas yang kecewa dengan kenyataan Nik Aziz lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya kecil Tenang. Malah ada yang menyatakan beliau sudah tidak lagi relevan selain menjadi liabiliti kepada Pas. Awang juga berpendapat begitu. Anak Nik Aziz, Nik Abduh jauh lebih bijak dan wajar diberi peranan untuk meneruskan legasi bapanya suatu hari nanti.

Beberapa hari lalu pula, Nik Aziz mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa mereka yang tidak mengundi Pas sebagai golongan jahiliah. Awang sudah tidak larat geleng kepala apabila bercakap tentang kecelaruan Nik Aziz. Menteri Besar Kelantan itu nampaknya riak dan semakin banyak menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik. Dua tokoh agama dari Kelantan iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Ulama Pas, Mohd Noor Idris dan Pengagas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah turut menyelar kenyataan Nik Aziz. Awang harap Nik Aziz tidaklah meletakkan imejnya seperti pengamal ajaran sesat Ayah Pin yang sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Jika dibuat perbandingan siri-siri kenyataan Nik Aziz sejak bertahun-tahun lalu dan Ayah Pin, rasanya Tok Guru itu lebih banyak mengelirukan umat Islam. Tetapi apa kan daya, ketaksuban oleh sebahagian ahli dan penyokong Pas, menengelamkan rasional. Sedihnya, diantara Islam sejati dan fahaman Nik Aziz, ramai juga yang sanggup memilih untuk akur dengan Tok Guru yang celaru.