Tuesday, November 22, 2011

16 SEPTEMBER SEDARKAN RAKYAT PEMBOHONGAN PEMBANGKANG


KUALA LUMPUR 16 Sept – Ahli Parlimen Kulim, Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin, menyifatkan 16 September 2008 sebagai tarikh yang telah menyedarkan rakyat Malaysia mengenai pembohongan pakatan pembangkang.

Katanya, beliau sendiri amat bersyukur apabila diberi kesedaran oleh Allah mengenai pembohongan bahawa pakatan pembangkang akan membentuk kerajaan tiga tahun lalu.

“Alhamdulillah teman disedarkan Allah mengenai pembohongan ini. Dan bertambah kesyukuran teman kerana Allah merencanakan satu perancangan yang teman tak pernah terfikir akan berlaku, bila mana dengan ketentuan Allah, teman dimufaraqahkan (diasingkan) dari pakatan pembangkang kerana mempertahankan kalimah Allah! Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah!,” katanya didalam blog http://zul4kulim.blogspot.com.

Zulkifli berkata, sebenarnya rakyat Malaysia khususnya umat Islam patut bersyukur apabila peristiwa 16 September 2008 terjadi kerana ia telah mendedahkan politik pembohongan dan putar belit pakatan pembangkang yang menghalalkan cara hanya kerana mahu menduduki kerusi empuk di Putrajaya.

Mereka muncul sebagai politikus rakus yang terpukau dengan cahaya kepalsuan kemahkotaan. Topeng mereka terdedah. Wajah mereka sebenar terbongkar. Allah menelanjangkan politik kotor mereka,” katanya.

Katanya, tarikh itu juga telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan spesis kaum yang mampu berbohong dan memutar belitkan apa sahaja demi politik kepartian mereka yang sempit.

“Dan rentetan pembohongan demi pembohongan, putar belit demi putar belit selepas itu memberikan isyarat jelas kepada kita bahawa umat Islam dan rakyat negara ini akan berhadapan dengan politiking paling kotor yang tidak pernah dilihat sejarah iaitu matlamat menghalalkan cara berteraskan pembohongan dan putar belit,” katanya.

Belau berkata, kumpulan seperti itu wajar ditentang habis-habisan kerana sanggup menggadaikan agama sendiri seperti ‘menjual’ kalimah Allah, sanggup memajak anak isteri melalui amalan bai’ah talak tiga dan memutar belit sejarah negara dengan menyanjung komunis.

Katanya, rakyat Malaysia wajib menolak politik kotor seperti itu dan mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada terus menjadi mangsa politik rakus tersebut.

ISU NFC DAN PENGURANGAN KAKITANGAN AWAM

Blog House PK (parpukari.blogspot.com) menyentuh dakwaan palsu portal berita propembangkang kononnya Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah mengeluar kenyataan menyatakan keluarganya layak mendapat projek Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC).

Katanya, portal yang sangat terkenal dengan fitnahnya, Malaysiakini, akhirnya mengakui bahawa dengan sengaja telah memfitnah.

“Walaupun terdapat ralat yang dibuat, tetapi ralat itu sebenarnya hanya untuk mengelakkan daripada perangkap undang-undang setelah Rafizi Ramli (Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat) bakal berhadapan dengan tindakan NFC,” katanya.

Ujarnya, modus operandi Malaysiakini amat mudah. Timbulkan persepsi dan selepas para pembacanya terutama sekali yang malas membuat rujukan dan mentelaah telah pun membuat kesimpulan berdasarkan arah yang dipandu oleh portal berkenaan, maka ralat pun dikeluarkan bagi memperlihatkan seolah-olah portal tersebut sedang memperbetulkan semula kesalahan yang telah dilakukannya.

Blog Sungai Rapat Online (pengundisetiasungairapat.blogspot.com) pula mengulas rasa tidak berpuas hati pemimpin pembangkang apabila mereka dihalang masuk untuk melawat projek ladang ternakan lembu NFC.

Katanya, tindakan pengawal keselamatan ladang terbabit adalah wajar. Adakah dengan membiarkan pemfitnah masuk pusat ternakan lembu itu mampu selesaikan masalah? Sudah pasti banyak lagi perkara yang akan difitnah oleh sang pemfitnah.

“Adakah wajar membiarkan konco-konco Anwar untuk mencari kesalahan demi kesalahan seolah-olah macam PKR tidak pernah buat salah?

“Harus diingat projek ini adalah projek penswastaan Pusat Feedlot Kebangsaan yang ditawarkan kepada dua syarikat yang berkaitan dengan haiwan ini termasuk satu daripada syarikat itu dari luar negara. Syarikat dari luar negara iaitu Lambert Corp. telah menarik diri,” katanya.

Blog Pisau.net (www.pisau.net) pula menyifatkan Rafizi dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail sebagai pengurus dan penyelia kilang fitnah parti itu. Katanya, mereka mempunyai produk baru iaitu lembukan rakyat dengan dakyah fitnah dan putar belit fakta mengenai projek NFC.

“Makanya berkokok sakan haprak pakatan dengan bermodalkan fitnah tanpa sedar dilembukan oleh Saifuddin dan Rafizi untuk menghancurkan lawan politik mereka.

Seluruh negara pernah digemparkan pembohongan Saifuddin mengenai kes kapal selam tak boleh menyelam, yang akhirnya terpecah tembelang dan terbukti terdedah Saifuddin perbodohkan rakyat seluruh negara. Kemudian Rafizi pula kantoi dalam beberapa siri pembohongan. Dia orang kata cuma ada lembu seekor dalam projek NFC. Memang budak Rafizi tak buat homework,” katanya.

Blog Gerakan Anti PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula mempertikaikan sikap Rafizi yang tidak menyerang kartel-kartel daging yang menguasai pasaran daging dan menentukan harga barangan berkenaan.

“Sebaliknya Rafizi menyuarakan tohmahan kartel-kartel daging yang terjejas kerana NFC dengan harapan, orang ramai hanya berminat mendengar tetapi tidak berminat untuk mentelaah kembali laporan Ketua Audit Negara terutama pada muka surat 135 sehingga 145 berkenaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kesilapan terbesar bagi Rafizi ialah dia terlalu berterus-terang yang dia adalah pencacai kartel daging yang enggan berkongsi pembahagian RM1.5 bilion dengan sebuah syarikat bumiputera!!,” katanya.

Sementara itu, cadangan untuk mengurangkan kakitangan awam oleh Setiausaha Bahagian Penerangan DAP, Tony Pua terus mendapat perhatian penulis blog. XpressMinda (xpressminda.wordpress.com) mengulas;

“Sekarang kita ada lebih kurang 1.2 hingga 1.3 juta kakitangan awam dan paling tidak, kurang-kurang separuh juga daripadanya akan tanam jagung di kampong kalau DAP,Pas dan PKR memerintah Malaysia nanti. Ni belum pun diberi peluang berkuasa tapi dah punya planning jahat. Mahu cecah ratus ribu beb yang bakal gigit jari termasuk puluhan ribu totok Pas dan PKR yang selalu buat onar sabotaj sana sini itu,: ujarnya.

Katanya, yang pastinya andai takdir Pakatan Rakyat (PR) memerintah maka ramai yang akan jadi penggangur dan hilang kerja semata-mata untuk memenuhi cita-cita kemaruk kuasa pihak pembangkang.

Blog MyKMU.net (www.mykmu.net) pula mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua kakitangan awam yang mana sekarang begitu giat sekali menyokong pakatan haram pembangkang.

“Minta maaf, orang Melayu mana yang sekolah Melayu memang tak tahu, sebab berita ini (kenyataan Tony Pua) disiarkan sebuah akhbar Cina, Sin Chew Daily. Harakah yang selalu jadi bahan rujuk Melayu propembangkang tak akan petik cerita ini atas sebab akan menjatuhkan lagi ranting pakatan haram pembangkang yang sedang berada diparas tidak selamat keparas sangat tidak selamat.

“Penulis tidak mahu cakap banyak sebab mahu orang-orang kerajaan berfikir sendiri untung nasib mereka kalau memilih puak-puak ini menjadi pemerintah besok. Di Malaysia, kita tidak mewajibkan orang kerajaan mengundi kerajaan macam mana yang pernah berlaku parti Golkar bawah pimpinan Suharto di Indonesia dulu,” katanya.

Blog MY Massa (mymassa.blogspot.com) berkata, jika kakitangan kerajaan merasakan pembangkang dapat membela nasib mereka, ternyata mereka silap. Katanya, belum berkuasa, DAP telah berani mengisytiharkan untuk mengecilkan saiz jabatan kerajaan. Ini bermakna makin ramai yang bekerja dengan kerajaan akan hilang pekerjaan.

Lihatlah apa yang berlaku di Selangor. Mereka mengurangkan jawatan terutamanya di GLC (syarikat milik kerajaan negeri) dengan menamatkan pekerja-pekerja kontrak atau memecatnya. Kononnya untuk mengurangkan kos operasi. Dalam masa yang sama, mereka tambah jawatan lantikan politik (melantik ahi DAP, PKR dan Pas) yang lebih tinggi grednya. Silap mata mudah untuk menipu rakyat. Mahukah anda perkara ini berlaku kepada diri anda atau keluarga anda? Hilang mata pencarian dek sikap tamak DAP yang menggunakan dasar kerajaan untuk meraih undi kaum tertentu,” katanya.

Malaysiakini, KISAH MISMAH DAN KOD 71

Heboh di alam siber apabila Malaysikini melaporkan konon seorang wanita Indonesia bernama Mismah memperoleh kerakyatan Malaysia dalam tempoh empat jam selepas mendapat status penduduk tetap, kemudian tersenarai sebagai bakal pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Isu itu telah digunakan oleh para penulis blog pro pembangkang untuk memburuk-burukkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), SPR dan kerajaan. Bagaimanapun, para penulis blog pro kerajaan terutama blog Double Y (yuseri-yusoff.blogspot.com) mengeluarkan bukti-bukti menunjukkan bahawa laporan portal berita itu tidak tepat dan bersifat fitnah.

Penulis ini berkata, wartawan yang membuat laporan itu, Kuek Ser Kuang perlu bertanggungjawab kerana dia yang menyediakan berita palsu berhubung Mismah dan selepas diasak oleh para penulis blog pro kerajaan, beliau menuduh pula SPR yang menukar status wanita terbabit dalam rekod mereka. Sehubungan itu, beliau menyeru wartawan terbabit didakwa dibawah akta-akta sedia ada.

“Bagi saya wartawan Kuek Ser tidak berfikir panjang dalam menilai keharmonian dan keselamatan sesuatu komuniti. Laporan berita yang ditulisnya berniat jahat menyerang agensi-agensi kerajaan. Kuek Ser berniat melemahkan keyakinan rakyat terhadap agensi penting macam JPN. Wartawan Malaysiakini ini wajar dikenakan dengan akta-akta yang telah wujud dalam negara kita, supaya menjadi pengajaran kepada wartawan lain agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sesuatu berita,” katanya.

Laporan JPN jelas menunjukkan bahawa tidak wujud sebarang proses kelulusan dalam tempoh empat jam sebaliknya Mismah sudah menjadi penduduk tetap selama 29 tahun dan kelulusan kerakyatannya pada Januari lalu.

Blog Papa Gomo (www.papagomo.com) juga membidas Malaysiakini kerana sanggup membuat laporan tidak benar dan rekaan setelah menyedari pembangkang semakin terdesak untuk mencari sokongan rakyat.

“Persoalan pada kita semua apa tindakan kerajaan Malaysia pula? KDN ( Kementerian Dalam Negeri) yang seharusnya mengambil tindakan tegas terhadap Malaysiakini yang telah membuat satu pembohongan ketara dalam pelbagai isu namun sehingga kini ditikam bagaikan tak lut oleh KDN. Apa yang telah Malaysiakini lakukan jelas membuat rakyat memandang serong terhadap kerajaan BN, walhal isu Mykad tersebut adalah satu konspirasi terancang pemimpin pakatan pembangkang,” katanya.

Blog Musram Rakun (musramrakun-man.blogspot.com) pula mahukan KDN menampilkan Mismah, individu yang menjadi bahan oleh pihak pembangkang untuk mempertikaikan ketelusan JPN, SPR dan Jabatan Imigresen.

“Jangan tunggu lagi, ambilah iktibar dari perhimpunan Bersih kerana lambat bertindak akhirnya meletup,” katanya.

Sementara itu blog KL Boyz (klboyz-wangsa.blogspot.com) pula berkata, sebenarnya bukan suatu perkara yang mudah bagi seseorang warganegara asing untuk memperoleh kerakyatan negara ini dan mereka perlu mendapat memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan. Katanya, jika mereka sudah berusaha untuk mendapatkan MyKad begitu lama dan dengan bersusah payah, kenapa mereka dihalang untuk mengundi kerana mereka telah menjadi rakyat Malaysia yang faham dan akur dengan undang-undang negara.

Sebenarnya pembangkang ketakutan kerana ramai mereka yang berstatus penduduk tetap telah diluluskan oleh kerajaan untuk mendapatkan kerakyatan negara Malaysia setelah lama menginap disini yang rata-rata telah lebih dari 20 tahun,” katanya.

Selain Mismah, isu kod 71 pada kad pengenalan pengundi juga dijadikan bahan oleh pihak pembangkang untuk memperlekehkan SPR yang konon kod tersebut adalah kod bagi rakyat berstatus penduduk tetap tetapi dibenarkan mengundi.

Sehubungan itu MyMassa (mymassa.blogspot.com) mendedahkan bahawa jika benar kod negeri 71 bagi pengundi berstatus penduduk tetap, bermakna beberapa pemimpin mereka termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali juga boleh dianggap berpenduduk tetap seperti Mismah kerana mempunyai kod negeri yang sama.

Katanya, tuduhan bahawa mereka yang mempunyai kad pengenalan dengan kod negeri 71 sebagai pengundi hantu telah membongkar bahawa Azmin, Zuraidah Kamarudin (Ketua Wanita PKR) dan Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) juga dianggap berstatus penduduk tetap dan pengundi hantu.

Jika BN menggunakan kod negeri 71 sebagai pengundi hantu, bagaimana dengan tiga ekor hantu ini? Dah sah-sah Azmin, Saifuddin dan Zuraidah juga penduduk tetap. Pembangkang lagi teruk bukan pakai penduduk tetap sebagai pengundi tetapi sebagai pemimpin,” katanya..

Blog House PK (parpukari .blogspot.com) pula berkata, isu kod negeri 71 yang dibawa oleh para blogger pro pembangkang ternyata makan diri sendiri apabila didapati para pemimpin mereka juga mempunyai kod negeri yang sama dengan pendatang.

“Maka tidak hairanlah mengapa mereka menentang sistem biometrik yang mahu diperkenalkan poleh SPR dengan bersungguh-sungguh sehingga sanggup menipu mengatakan penggunaan dakwat kekal celup jari lebih cekap berbanding sistem biometrik yang didakwa boleh ditipu. Sebabnya mudah sangat, kalau sistem biometrik diperkenalkan dan dikuatkuasakan, ramailah pemimpin pakatan haram yang akan didedahkan sebagai PATI (pendatang asing tanpa izin),” katanya.

PUTRAJAYA DULU DICEMUH, KINI SIMBOL TRANFORMASI


Suatu ketika hampir gegak gempita dibuatnya apabila diuar-uarkan Putrajaya mahu dilelong jika satu pihak berkuasa. Ke belakang sedikit dari itu, pernah dicemuhnya Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau merancang mahu membina sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru disebuah tempat ‘hulu’ yang dikenali Prang Besar.

Namun, waktu menilai semua ini. Sejak dilancarkan dengan mercu tanda dan kerja-kerja tanah pada 29 Ogos 1995, Putrajaya kian pesat membangun. Gah, kata orang. Sampaikan dilupakan terus cemuhan-cemuhan lepas dan muncul pula ‘tekad’ baru satu pihak mahu merampas Putrajaya pada pilihan Raya Umum akan datang. Meskipun ia simbolik kepada penguasaan politik, kita tentu tidak menafikan Putrajaya adalah simbol transformasi, istilah itulah yang paling tepat.

Dan menjelang Hari Kemerdekaan ke-54 pada Hari Malaysia 16 September lalu, makin bertambah-tambah lagilah aroma kepesatan yang tercerna dari Putrajaya. Selama empat tahun penulis bertugas di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini, peningkatan kepesatan Putrajaya terhitung dari bulan ke bulan, tahun ke tahun.

Berbanding 40 buah keluarga yang berpindah ke Putrajaya pada 1999, kini bancian 2010 menunjukkan populasi Putrajaya adalah sebanyak 68,000 orang. Kakitangan kerajaan sahaja dianggarkan sekitar 54,000 orang. Populasi pada waktu siang pula dianggarkan dalam lingkungan 150,000 orang.

Sehingga April tahun ini sahaja lebih 2.4 juta meter persegi ruang lantai pejabat kerajaan telah disiapkan untuk menempatkan 21 Kementerian dan lebih 40 Jabatan Kerajaan. Keseluruhan perpindahan kementerian ke Putrajaya dijangka pada penghujung tahun ini. Sejumlah 26,000 unit kediaman juga dibangunkan dengan kebanyakannya kuarters kerajaan.

Selain itu, pembangunan ruang lantai komersial yang dibina berjumlah 440,000 mp telah disiapkan dan seterusnya pada tahun -tahun akan datang bakal menyaksikan pembangunan aktif di sektor ini. Kepesatan dijangka berterusan untuk tempoh lima tahun akan datang dengan pembangunan pejabat-pejabat swasta.

Peralihan kepada pembangunan sektor swasta ini menandakan pembangunan komponen kerajaan di Putrajaya telah hampir ke penghujungnya, kecuali baki untuk kediaman dan kemudahan sokongan lain (sekolah, pusat kejirananan dan lain-lain).

Putrajaya juga sentiasa bersemangat dengan projek-projek masa depannya. Perbadanan Putrajaya (PPj) yang diketuai Tan Sri Samsudin Osman kini dalam peringkat penyediaan tempat letak kereta bertingkat sejumlah hampir 1,000 petak di Presint 4 yang menempatkan empat kementerian baru yang mula beroperasi pada tahun ini. Pembangunan dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

Projek yang sedang dikaji dibawah NKEA Vitalizing Putrajaya bagi memeriahkan Persiaran Perdana dan Pesisir Tasik Putrajaya termasuklah penyediaan kiosk, menambah penganjuran aktiviti bertaraf antarabangsa, penyediaan water taxi, menambahbaik pencahayaan di Pesisir Tasik dan beberapa aktiviti lain.

Putrajaya Holdings Sdn Bhd pula akan membangunkan lebih banyak kawasan komersial termasuk di Pesisir Tasik yang terletak bertentangan dengan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, juga sedang berusaha untuk menarik salah sebuah Universiti bertaraf dunia ke Putrajaya.

Pada masa sama, membangunkan lebih banyak kediaman dari pelbagai jenis dan pilihan kepada pengguna termasuklah kediaman PR1MA yang baru-baru ini dilancarkan oleh Perdana Menteri. Dan sehingga kini, sebanyak 49 lot daripada jumlah keseluruhan 61 lot kedutaan di Presint Diplomatik Putrajaya, Presint 15 telah dibeli. Setakat ini juga PPj ,masih giat meneruskan usaha untuk memasarkan dan menjual semua baki lot-lot kedutaan yang masih ada di Kawasan Diplomatik Putrajaya iaitu 12 lot di Presint 14 dan 4 lot di Presint 4.

“Selain rakyat kita, ramai pemimpin dan warga asing telah datang mengunjungi Putrajaya. Kebanyakkan mereka memuji dan mengakui kecantikan dan keunikan Bandar yang telah kita bina ini. Jika negara seperti Korea dan Jepun terpegun dengan keindahannya, ini adalah satu pengiktirafan Putrajaya sebagai model perancangan Bandar yang boleh di ketengahkan. Ia adalah simbolik kecemerlangan negara yang keseluruhan rakyat Malaysia boleh banggakan,” kata Samsudin ketika ditemui penulis baru-baru ini.

Melangkaui tahun 2015 nanti, Putrajaya diyakini tertera sebagai sebuah Bandar mampan dari segi sosial, ekonomi dan alam persekitarannya. Dari segi kesediaan infrastruktur, pencapaian matlamatnya telah tercapai.

Malah ia kini dalam proses memuktamadkan Rancangan Struktur Putrajaya satu dokumen statutory yang akan menunjuk arah pembangunan Putrajaya daripada sebuah Bandar dalam taman kepada sebuah Bandar hijau.

Tidak hairanlah mengapa ada pihak begitu teruja untuk ‘mendiami’ Putrajaya.

PUNCA DAP MAHU TARIK SOKONGAN MELAYU


KUALA LUMPUR 2 Ogos – Strategi DAP yang mahu meningkatkan pengaruh dikalangan orang Melayu adalah terbit daripada sikap paranoid dan kurang yakin kepada sokongan anggota daripada parti pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Penganalisis politik, Mohd Roslan Saludin berkata, selama ini DAP memendam rasa terutama di negeri yang diperintah oleh Pas dan PKR apabila merasakan diri mereka tidak begitu berkesan dalam mengenengahkan agenda sebenar perjuangan parti berkenaan.

“Oleh itu DAP merasakan mereka perlu melakukan sesuatu bagi mengenengahkan calon Melayu daripada parti itu sendiri bagi memenuhi keperluan teknikal pelantikan orang Maleyu sebagai ketua negeri khususnya di negeri yang mempunyai Raja atau Sultan.

Ini menyerlah sikap angkuh DAP terhadap kemampuannya meraih sokongan orang Melayu untuk menjadikan pemimpin boneka dan alat semata-mata bagi mencapai matlamat perjuangan politiknya sekali gus memperlekeh kemampuan orang Melayu dalam memelihara maruah mereka dan menjadikan mereka ibarat kuda tunggangan,”katanya .

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berasakan sudah tiba masanya bagi parti itu meluaskan pengaruh dengan menjangkau seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Kit Siang dalam wawancara bersama portal pembangkang MalaysiaKini itu turut menambah, ia adalah sesuatu yang baik untuk pembangkang meskipun mengakui munkin terpaksa membuat ‘keputusan yang sukar’.

Bagaimanapun, Mohd Roslan berkata, sama ada strategi DAP itu berhasil atau tidak adalah bergantung kepada sejauh mana orang Melayu sanggup dijadikan alat atau tunggangan bagi memuaskan nafsu DAP memerintah negara ini.

Menurut beliau, Sejarah Melayu dan Nusantara telah banyak memberikan contoh pemerintahan boneka yang pernah berlaku khususnya apabila British melantik Residen menjadi penasihat di Istana beberapa buah negeri di Tanah Melayu.

Justeru kata beliau, orang Melayu harus sedar, sekiranya mereka terjebak dengan perangkap politik DAP itu maka bukan sahaja maruah mereka sebagai orang melayu akan tergadai malah kemerdekaan yang dibanggakan selama ini akan menjadi sia-sia.

Katanya, ini kerana negara akan kembali menjadi bangsa yang terjajah seperti mana pada zaman penjajahan British dahulu. Cuma pada kali ini bukan British yang memerintah dan menjajah tetapi DAP. Beliau berkata, seperti mana British pada satu ketika dahulu yang tidak yakin dengan kemampuan untuk memerintah Tanah Melayu tanpa sokongan Raja-Raja Melayu pada ketika itu, sehingga terpaksa mencari helah menyokong pihak yang bertelagah dikalangan kerabat diraja dan menyokong pihak yang sanggup jadi boneka dan menerima residen British.

Ia ujarnya, sama seperti DAP yang juga akan sentiasa mencari ruang untuk memecah belahkan orang-orang Melayu dan akan berusaha mencari boneka dikalangan orang Melayu yang mereka boleh tunggang kerana cubaan berpakat dengan Pas dan PKR telah terbukti bermasalah dan tidak mampu memenuhi kerakusan nafsu serakah politik DAP. Bagaimanapun, tegas beliau, pakatan yang cuba mereka gunakan bagi menjayakan hasrat memerintah negara ini dilihat begitu rapuh dan goyah.

“Selain dari banyak masalah dalaman yang melanda setiap daripada parti dalam pakatan, DAP sedar ia bakal turut menjadi korban sekiranya pakatan pembangkang gagal menunakan janji mereka kepada rakyat seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Kini Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir dan DAP terdesak dan harus bersedia dengan alasan, strategi atau jalan keluar yang bakal mereka gunakan bagi menghadapi pilihan raya dan pengundi yang kecewa dengan prestasi pakatan pembangkang.

“Oleh itu, strategi yang terbaik ialah mencari boneka dikalangan orang melayu. Kalau British boleh, tidak mustahil DAP juga boleh mencari boneka dikalangan orang melayu,’” katanya lagi.