Friday, February 3, 2012

SHAHNON DAKWA KERJASAMA PAS-DAP BERCANGGAH


KUALA LUMPUR 15 Jan – Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad menolak kerjasama Pas dan DAP kerana ia bercanggah dengan pendekatan yang diguna pakai Rasulullah SAW. Ahli Pas seumur hidup itu juga menganggap dalam Pakatan Rakyat tidak sama dengan amalan politik Islam yang diajar Nabi Muhammad SAW khususnya ketika termeterai ‘Perjanjian Hudaibiyah’ antara orang Islam dengan kaum Musyrikin Makkah pada 628 masihi.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Sik menegaskan contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW tidak berlaku dalam kerjasama PAS dan DAP kerana baginda tidak pernah bekerjasama dengan kaum Musyirikin Makkah, sebaliknya hanya rundingan sehingga tercapainya perjanjian damai itu.

“Dasar politik PAS langsung tidak sama dengan amalan politik Rasululah SAW bersama sahabatnya ketika membentuk Madinah,” katanya kepada Siasah baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahnon turut membidas kredibiliti Dewan Ulama PAS termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana semakin hilang taring dalam memperjuangkan dakwah politik Islam demi menjaga hubungan dengan DAP.

Lebih parah lagi apabila peranan Dewan Ulama PAS sering dipertikaikan kerana gagal berperanan mempertahankan Islam berikutan banyak keputusannya dibayangi golongan profesional parti Islam itu.

“Malah, saya sendiri sebenarnya tidak berapa faham dengan perjuangan dan latar belakang golongan profesional PAS ini. Apa disiplin ilmu individu yang mendakwa mereka adalah pemimpin profesional PAS? Kesimpulannya adalah PAS sekarang tidak sama macam dulu dan saya langsung tidak bersetuju dengan dasar politik semasanya selain konsep kerjasama pemimpin PAS dan DAP,” jelasnya.

Shahnon bersara daripada politik sejak 2004 kerana masalah kesihatan selain menumpukan terhadap dunia kesusasteraan. Beliau diiktiraf Sasterawan Negara kedua pada 1982 dan terkenal dengan novel kontroversi ‘SHIT’ pada 1999 serta menghasilkan pelbagai karya satira termasuk Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Rentong (1965), Terdedah (1965) serta Srengenge (1973) yang menerima anugerah Novel Tahunan Malaysia pada 1970.

BAHANA BILA PENDIDIKAN ‘DIPOLITIKKAN’


(Oleh Zulkifli Jalil)

Orang kata kalau hendak tahu sejarah awal kerancakan pembangunan di Selangor, tanyalah mereka yang tinggal di Jalan Klang Lama. Penduduk-penduduk yang rata-ratanya orang Melayu disitu tinggal di jajaran Kampung Jaya (atau Taman Datuk Harun Idris), Kampung Medan (Taman Medan), Sungai Way dan Kampung Lindungan. Mereka ini cukup faham dan ‘masak’ benar dengan pahit jerihnya kerajaan negeri Selangor sekitar awal tahun 1970an untuk merencana, menggarap serta menaikkan kemajuan orang Melayu.

Ia bukan mudah, berdikit-dikit dan sehinggalah yang disaksikan hari ini. Dan kalau adapun orang lama di jajaran kampung-kampung berkenaan, mereka akur bahawa manfaat dari kerja keras kerajaan BN itu telah pun dinikmati oleh kanak-kanak dan cucu mereka.

Bagi yang lahir sekitar 1960an dan 70an disitu, tentunya sudah menghantar anak-anak belajar ke Universiti Malaya dan beberapa universiti diseluruh negara. Mereka di Jalan Klang Lama ini, sudah ‘akur’ dengan pembangunan yang mencacak termasuk melihat bagaimana lombong-lombong disekitarnya sudah pun berganti dengan pusat membeli-belah Sunway Pyramid dan kolej-kolej swasta. Demikian juga berdekatan Sungai Way yang berganti dengan lebuh-lebuh raya yang pembinaanya ala barat.

Penulis yang masih mempunyai ramai rakan-rakan, kenalan dan sanak saudara di sekitar Jalan Klang lama baru-baru ini bertanya tentang dasar kerajaan negeri Selangor sedia ada – kerajaan PKR Selangor. Mereka menujahkan soalan kepada penulis apa nak jadi dengan Selangor terutama akan nasib dan masa depan orang Melayu.

Antaranya, mereka mempersoalkan dasar kerajaan negeri sekarang terhadap bidang pendidikan. Dari pengamatan penulis, jika diambil kira skop pandangan mereka di Jalan Klang Lama, sebahagian besar rakyat Selangor khususnya pengundi berdaftar semakin mula berfikir-fikir. Mereka sudah semakin buka mata atas segala tindak-tanduk kerajaan negeri Selangor dalam soal pembangunan negeri.

Ini tentu sekali senada dengan orang di Jalan Klang Lama khususnya dalam soal pendidikan. Hakikatnya, amat tepat dan kena pada masanya kini rakyat Selangor merenung sejenak janji-janji pakatan pembangkang dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-12. Kerana itu, agak melucukan pula apabila slogan ‘Selangorku’ dimunculkan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Adul Khalid Ibrahim.

Banyak janji dalam bidang pendidikan di Selangor tidak pernah tertunai. Malah ia, ‘terhumban’ lagi. Orang Melayu di Selangor pasti terkedu melihat tindakan tidak bijak kerajaan negeri itu melalui Yayasan Selangor menutup asrama mereka di ibu negara dan tindakan memindahkan asrama ke tempat lain.

Ia amat merugikan para pelajar luar bandar untuk mengikuti pengajian di kota metropolitan Kuala Lumpur. Tujuan asrama dibina adalah untuk menempatkan pelajar-pelajar luar bandar di sekolah-sekolah terbaik seperti Victoria, Institution, Cochrane Kuala Lumpur, Aminuddin Baki dan St. John agar mereka terdedah dengan pembelajaran urban.

Objektif ini memang tersurat dalam penubuhan Yayasan Selangor pada 5 November 1970 lalu. Jika asrama ini ditutup, ia mestilah dicarikan ganti yang lebih baik daripada ini. Jika tidak, mereka menutup peluang pelajar-pelajar bumiputera untuk belajar di Kuala Lumpur.

Sememangnya rakyat cukup maklum dengan situasi tidak menyenangkan di Selangor dalam tempoh empat tahun ini. Sejak PKR dan sekutunya, DAP memerintah Selangor, terdapat semacam satu usaha terancang pakatan dalam merencatkan pendidikan anak Melayu.

Dahulu, ketika Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hendak membina kampus UiTM di Serendah, ditolaknya oleh Abdul Khalid dengan pelbagai alasan. YBK ‘dilanyak kiri dan kanan’ hanya kerana tidak mahu menuruti permintaan Abdul Khalid supaya melantik beliau sebagai bos.

Akhirnya, rakyat Selangor rugi besar apabila kampus UiTM itu berpindah ke Melaka hasil tindakan pantas dan bijak Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Tahun lepas 2011, pula sekali lagi pakatan pembangkang menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sungai Besar atas alasan tidak efisen. Sedangkan IKYS adalah penempatan yang diwujudkan untuk pelajar Melayu yang gagal dalam SPM tetapi berminat dalam kursus teknikal.

Tiga tahun, tiga pusat pendidikan anak Melayu ditutup. Universiti Industri Selangor (Unisel) pula sedang mengalami kerugian dan semakin terpinggir serta tidak lagi menjadi pilihan pelajar. Adakah usaha terancang pakatan pembangkang PKR, Pas dan DAP untuk melanyak pendidikan anak Melayu? Kenapa Pas senyap? Mana perginya pejuang-pejuang ‘pakatan rakyat’ yang prihatin? Mana pergi ADUN-ADUN Pas yang heboh dengan ‘Negeri berkebajikan’ yang dilaungkan itu?

Rakyat Selangor bukannya buta. Rakyat Selangor sudah buka mata atas segala tindakan kerajaan negeri Selangor dalam bidang pendidikan. Sebelum ini pun, dikatakan ada perjumpaan penduduk dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan dibangkitkan penduduk tentang janji pakatan mahu memberi hadiah sebanyak RM1,000 seorang kepada setiap anak Selangor sebaik-baik sahaja menerima tawaran kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Namun PKR cuba berdolak-dalik dengan menyatakan duit RM1,000 itu mahu digantikan pula kepada keluarga miskin yang berpendapatan dibawah RM1,500 sebulan.

Slogan terbaru ‘Selangorku’ hanyalah sekadar kain rentang yang dijaja dimerata-rata dengan gambaran ‘kehebatannya’. Sedangkan pengisian komponennya kosong belaka. Kebanyakkan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk rakyat negeri Selangor pun kalau boleh hendak ‘disembunyikan’ dari pengetahuan rakyat. Ia akan terus ‘disenyapkan’ oleh pihak berkenaan sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-13. Seolah-olah peruntukan itu semuanya datang dari kerajaan negeri.

Cukup-cukuplah berbohong kepada rakyat Selangor. Sudah pasti nanti rakyat Selangor akan memberi ‘hukuman’ dan pengajaran sewajarya di kertas undi nanti.

HASAN DEDAH PEMIMPIN PARASIT


SHAH ALAM 31 Jan – Buat kali pertama, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mendedahkan pemimpin Pas yang selama ini dianggap ‘parasit’ dengan menamakan Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri, Khalid Samad sebagai individu terbabit.

Beliau mendakwa, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit dikawasan penempatan majoriti orang Melayu.

Hasan berkata, Khalid juga beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.

“Saya tidak hairan sekiranya usaha-usaha itu ditentang oleh pemimpin DAP mahupun pemimpin bukan Islam dalam PKR, tetapi saya sangat hairan apabila ia ditentang hebat oleh Khalid Samad yang bertanding atas tiket Pas. Sebab itu saya hendak ingatkan pengundi di Shah Alam agar jangan beri satu undi pun kepada dia (Khalid) pada pilihan raya umum akan datang kerana dia adalah pengkhianat kepada akidah umat Islam,” katanya ketika berucap pada program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 disini malam tadi.

Program itu dihadiri lebih 1,000 orang termasuk bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. dan bekas Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Aidit Ghazali.

Hasan berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan untuk mempertahankan Islam, Melayu dan institusi diraja di negara ini. Kata beliau, pertubuhan yang akan dikenali sebagai Jati itu akan menggabungkan beberapa NGO lain yang turut mempunyai perjuangan sama selain individu yang berminat untuk menyertainya.

“Pertubuhan itu dijangka dilancarkan pada 21 Februari di pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan sasaran penyertaan seramai 100,000 keahlian. Matlamat kami adalah untuk menwujudkan jaringan ketiga iaitu sebagai pengimbang kepada parti pemerintah serta parti pembangkang dalam mempertahankan Islam, Melayu dan raja Melayu (IMR) di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hasan Basri berkata, penyebaran fahaman ‘Anwarisme’ kini semakin merbahaya kerana jelas bersifat sekular dan liberal yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

“Sebagai contoh, demi untuk kuasa dan mendapat sokongan negara Barat, Anwar sanggup mengiktiraf sebuah negara haram Israel yang sejak sekian lama melakukan kekejaman terhadap umat Islam di Palestin. Selain itu, atas nama hak asasi manusia, Anwar juga bersungguh-sungguh menganggap Seksyen 377B (Kanun Keseksaan) yang melarang seks gay dan lesbian sebagai lapuk serta tidak lagi relevan dan sebab itulah saya kata fahaman ‘Anwarisme’ ini merbahaya kepada umat Islam di negara ini,” tegasnya.

Aidit pula mengingatkan umat Islam di negara ini supaya taksub hanya kepada Allah dan bukannya kepada seseorang pemimpin mahu pun organisasi kerana ia adalah tuntutan Islam.

RASIS DAN KRONI


Penasihat DAP, Lim Kit Siang melakukan provokasi lagi, kali ini dalam perutusan Tahun Baru Cina. Menurut beliau, masyarakat Cina masih boleh meraih kekayaan walaupun kepimpinan BN gagal. Beliau juga menyeru rakyat Malaysia agar tidak menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi dibawah kerajaan BN.

Tindakan Kit Siang membangkitkan soal kekayaan kaum adalah berbahaya. Semua orang tahu bahawa ekonomi negara dikuasai oleh kaum Cina antaranya disebabkan percaturan penjajah yang menempatkan kaum itu di bandar-bandar, budaya niaga yang diwarisi sejak zaman lampau selain perpaduan kukuh kaum berkenaan.

Persoalannya, apakah wajar ia dijadikan modal politik? Memang banyak persoalan berlegar berikutan kenyataan tersebut. Antaranya, apakah soal kekayaan hanya hak kaum Cina dan mengapa berjanji tentang penguasaan kekayaan untuk satu kaum sahaja? Bagaimana pula dengan kaum lain?

Ternyata Kit Siang tidak dapat lagi menyembunyikan agenda sebenar DAP yang membuak-buak untuk terus menghasut kaum Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Ia menyerlahkan hakikat sebenar bahawa DAP adalah parti paling rasis bukan sahaja di Malaysia, bahkan diseluruh dunia.

Dalam pada itu, mengapa Kit Siang, 71, masih enggan berundur daripada politik? Zaman beliau sudah berlalu. Suatu ketika dulu, beliau pernah dilabel sebagai diktator sehinggakan beberapa pemimpin DAP merajuk dan berundur angkaranya.

Lagipun Kit Siang sudah sukses dalam membina dinasti Lim ekoran perencanaan kronisme yang berjaya menempatkan anaknya, Lim Guan Eng berada dipersada kuasa sebagai Setiausaha Agung. Seperti bapanya, beliau akan bergayut dengan jawatan itu untuk puluhan tahun. Anak beranak yang mencorakkan parti itu. Khabarnya dalam diam, sebahagian pemimpin Cina DAP kecewa kerana Kit Siang terlalu memihak dan melindungi Guan Eng. Tidak mustahil jika suatu masa nanti cucu Kit Siang juga akan diatur untuk mewarisi kepimpinan DAP selepas Guan Eng.

Tetapi yang beliau tidak akan berjaya ialah untuk memulihkan imej rasis DAP yang makin busuk. Penambahan ahli Melayu dalam parti yang dibuat sekadar untuk mengaburi mata rakyat, tidak akan mengubah apa-apa.

Realitinya, majoriti Melayu tetap menolak DAP biar apa topeng yang dipakai. Hanya segelintir Melayu sahaja yang boleh diperkuda. Kit Siang dan Guan Eng tidak ikhlas menerima ahli Melayu dan pada masa yang sama tidak percayakan orang Melayu untuk diberi peranan penting dalam parti itu. Lihatlah nasib orang India dalam DAP, yang terpinggir dan menjadi kelas dua.

DAP apatah lagi ketika era dinasti Lim, tidak akan berubah. Ia akan kekal menjadi parti paling rasis di dunia.

TIDAK CUKUP BERUNDUR, ABDUL HADI MESTI PERBETUL AKIDAH PENGIKUT PAS


KOTA BHARU 1 Feb – Bekas anggota Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris menyambut baik kesediaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bertanding pada pilihan Raya umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Beliau bagaimanapun menegaskan, Abdul Hadi bertanggungjawab untuk membetulkan kembali akidah pengikut Pas yang terpesong disebabkan amanat beliau mengkafirkan UMNO.

Jelas Mohd. Noor, ramai pengikut Pas masih berpegang kepada amanat tersebut yang menganggap mati syahid kerana menentang UMNO, sedangkan pegangan itu jelas bertentangan dengan Islam.

“Tidak cukup dengan Abdul Hadi berundur, beliau mesti bertaubat dengan dosa-dosanya melalui Amanat Hadi yang membawa malapetaka, ini termasuk tercetusnya Peristiwa Memali, gerakan bawah tanah merekrut pelajar pusat pengajian tinggi untuk menentang kerajaan dan akidah pengikut Pas yang rosak kerana beriktikad dengan amanat tersebut,” katanya kepada media disini hari ini.

Pada 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan amanat tersebut yang dibuat oleh Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kuala Terengganu pada 1981, sebagai bertentangan dengan Islam. Mengulas lanjut, Mohd. Noor yang juga Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan berkata, beliau masih ingat apabila turut terlibat dalam gerakan merekrut pelajar pusat pengajian tinggi untuk menentang kerajaan disebabkan beriktikad kepada Amanat Hadi itu.

Saya sendiri terlibat sebab itu saya tahu. Begitu juga dengan peristiwa berdarah Memali berlaku kerana mereka menganggap menentang UMNO adalah jihad dan mati syahid. Mereka berktikad orang UMNO kafir dan keluar Pas murtad. Sebab itu, gelaran ‘ustaz murtad’ sangat popular dan diberikan kepada golongan ustaz yang keluar daripada Pas,” katanya.