Sunday, April 8, 2012

Bukti Anwar lidah bercabang

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA


PETIKAN kenyataan Anwar Ibrahim seperti disiarkan The Wall Street Journal, kelmarin.



KUALA LUMPUR 29 Jan. - Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya kenyataan beliau yang menyokong segala usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel, sengaja diputar-belit oleh media tempatan adalah satu lagi bukti sikap lidah bercabang Ketua Pembangkang itu.

Sambil mempersoalkan sejak bila hak rakyat Palestin dibela oleh Israel sehingga ketua pembangkang itu sanggup menyokong keselamatan negara Yahudi itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, tindakan Anwar bertujuan menyuci dosanya terhadap zionis.

"Ini bukti satu lagi sikap lidah bercabang. Sejak bila hak rakyat Palestin dibela Israel? Rakyat Palestin setiap hari dibunuh oleh Israel, apakah Anwar tidak tahu? Anwar sedar semua ini tetapi demi kepentingan politik beliau sanggup mengutamakan Yahudi demi menjaga hati zionis.

"Ini kerana Anwar mahu barat melihat beliau kawan kepada zionis dan golongan neo konservatif (kumpulan pro-Yahudi) selepas terlajak menghentam Apco Worldwide tempoh hari," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kenyataan kontroversi Anwar itu terbongkar apabila akhbar The Wall Street Journal pada Khamis lalu mendedahkan sokongan Ketua Pembangkang tersebut kepada Israel apabila dipetik sebagai berkata: "Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel."

Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Sebaliknya, menurut Anwar, kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi, maka, wajar hak rakyat Israel juga dihormati, selaras dengan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi.

Mengulas isu sama, bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, alasan yang diberi dalam menghalalkan sokongan ke atas Israel membuktikan Anwar buta sejarah kerana zionis tidak pernah mengiktiraf hak rakyat Palestin mahu pun orang Islam.

"Golongan Yahudi ini memang telah ditegaskan dalam al-Quran bahawa mereka akan sentiasa memerangi dan menindas orang Islam khususnya bangsa Palestin. Jadi di mana logik alasan yang diberikan Anwar untuk beliau menghalalkan sokongannya kepada Israel.

"Semua ini sebenarnya cerminan sikap beliau yang sejak dahulu pro-Yahudi. Sebab itu Anwar tergamak menyokong segala usaha demi keselamatan Israel ketika rakyat Palestin setiap hari dibunuh dengan kejam dan hak mereka sebagai manusia dinafikan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Zahid mencabar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar menyatakan sokongan ke atas Anwar dalam isu negara Israel dengan segera, kerana beliau adalah calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Menurut beliau, Pas perlu menyatakan pendirian dengan jelas berhubung sokongan Anwar ke atas keselamatan Israel itu kerana pendedahan mengenainya, dibuat oleh akhbar antarabangsa yang sangat dipercayai pihak pembangkang dan bukannya media tempatan.

Budaya asabiah dan pengkhianat agama


DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


MEMERHATIKAN gelagat politik mutakhir, ada semacam paradoks sedang berlaku dalam masyarakat.

Satu pihak sedang mempertimbangkan nilai-nilai moral dan etika bermasyarakat manakala satu lagi mempersoalkan kewajaran bayangan keputusan yang dicipta berdasarkan keresahan peribadi.

Keputusan mahkamah yang bakal dibuat pada 9 Januari 2012 dijadikan umpan untuk mengheret seluruh masyarakat agar merubah peraturan dan undang-undang sedangkan dalam hal lain kelompok tersebut meminta agar peraturan dan undang-undang dilaksanakan dengan tegas bagi membendung sesuatu perkara yang buruk.

Persoalannya, kenapa membuat keputusan lebih awal sedangkan keputusan sebenar belum dibuat pada hal sudah terlalu banyak peluang diberikan untuk membela diri. Kenapa ingin mengheret rakyat dalam persoalan peribadi?

Jiwa anarkis dan penyemarakan sikap antagonis itu merupakan suatu bentuk pengkhianatan kerana melupakan bahawa bentuk kesalahan yang bakal diputuskan itu adalah bersifat peribadi dan bukannya berkaitan dengan politik.

Sejarah Islam juga pernah mencatat, tercetusnya perang saudara seperti Perang Jamal dan Siffin, disebabkan penyusupan masuk kelompok anarkis. Jiwa antagonis yang dibudayakan dalam kehidupan menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh.

Keruntuhan dinasti-dinasti Islam seperti Umayyah, Abassiah, Andalusia, Fatimiah, Othmaniah dan Moghul menjadi bukti betapa rakusnya jiwa antagonis dalam kalangan sesetengah umat Islam sendiri. Justeru, Allah mengingatkan Rasul-Nya agar tidak cenderung bersahabat dengan pengkhianat kerana mereka sentiasa berusaha menghancurkan kedamaian yang dicipta selama ini.

Berhubung perkara ini, Allah SWT menegaskan dalam firmannya bermaksud: "Janganlah kamu terpengaruh dengan golongan pengkhianat itu, yang selalu bersumpah dan hina sikap dan amalannya, yang selalu mencela dan menyebarkan fitnah untuk perpecahan (umat), menolak segala kebajikan (dan kemajuan orang), mereka yang melampau dan menentang (ajaran agama) dan melakukan dosa" (Surah Al-Qalam Ayat 10-12).

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyeru umat manusia agar mempunyai sifat timbang rasa dan mementingkan kedamaian. Allah yang mengkehendaki supaya semua hamba-Nya hidup di dunia ini dengan aman dan sejahtera serta taat kepada-Nya dengan menjauhi kekejaman, perbalahan dan permusuhan. Bukankah secara tegas juga al-Quran menuntut agar umat lslam berdakwah dengan hikmah, memberi peringatan dengan baik, berdialog dan bertukar fikiran dengan cara yang terbaik.

Golongan pengkhianat ini bersikap melampau dalam agama dan ini berpunca daripada kejahilan dan ketaksuban yang melulu serta tidak membudayakan ajaran Islam yang sebenar. Kemunculan golongan ini menjadi satu fenomena politik dalaman yang berselindung di sebalik agama untuk mengkhianat dan memusnahkan negara sendiri dengan pelbagai tipu daya.

Dalam diri manusia ada beberapa tabiat buruk yang mana mungkin akan lenyap begitu sahaja bila berada dalam lingkungan persatuan yang utuh. Namun apabila timbulnya gejala-gejala perpecahan, maka muncullah golongan pengkhianat ini yang sememangnya menantikan peluang mendampingi orang yang mula memberontak (yang keluar daripada keputusan ramai).

Sebab itulah Islam, agama yang bermatlamat membebaskan manusia dari kejahilan dan kejumudan menggariskan pelbagai prinsip moral dan etika agar umat tahu batasan halal haram berpolitik.

Islam menentang keras pemikiran melampau. Marilah kita mencontohi keperibadian Rasulullah SAW yang berjaya meletakkan prinsip-prinsip musyawarah dan kebijaksanaan membuat keputusan dalam semua urusan demi kesejahteraan ummah dan agama. Demikian juga para ulama salaf yang mengamalkan dasar kesederhanaan dalam melaksanakan syariat.

Golongan pelampau ini merupakan orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran dan amalan. Tindak-tanduk mereka merupakan tindakan terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami ajaran Islam yang sebenar.

Bagi menjamin keamanan dan keselamatan, Islam menetapkan peraturan antaranya kisas, hudud dan takzir. Ini kerana rakyat yang tidak berdosa berhak mendapat kawalan dan jaminan keselamatan. Demonstrasi kempen bebaskan Anwar 901 yang dijangka pada 9 Januari ini jelas membuktikan adanya unsur-unsur pengkhianatan. Para pengkhianat ini akan membuat kerosakan dan merampas hak rakyat majoriti.

Namun bagi golongan pengkhianat tersebut, mereka tetap tidak mahu mengaku melakukan kerosakan. Malah mereka tetap yakin melakukan perkara yang betul walaupun hakikatnya mereka mencetuskan huru hara dan kerugian kepada masyarakat. Mereka juga turut memesongkan persepsi, mencorakkan perubahan undang-undang berdasarkan kepentingan diri.

Golongan pelampau agama ini sebenarnya lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Allah SWT memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik bukan dengan kekerasan. Al-Quran tidak pernah menyebut perihal perlakuan yang kasar dan keras kecuali dalam dua keadaan iaitu ketika di medan perang dan berhadapan dengan musuh, dan sewaktu melaksanakan hukuman yang disyariatkan ke atas orang yang berhak menerima hukuman dan tidak boleh merasa belas kasihan dalam menjalankan hukuman hudud.

Ingatlah, Allah memerintahkan kita membina kekuatan, bukan untuk mengancam dan menakutkan orang lain hatta masyarakat umum. Memiliki kekuatan bukan untuk menganiaya atau memusnahkan. Ia sepatutnya boleh digunakan untuk membangunkan ummah.

Bagi mengelak kejadian ini berlaku dan menganggu ketenteraman awam pihak keselamatan perlu mempertahankan undang-undang dengan lebih tegas.

Hakikatnya, langkah pencegahan dan pengawalan tersebut wajar dilakukan untuk mengawal keselamatan harta benda awam. Keselamatan negara dan orang awam adalah lebih diutamakan daripada membela seseorang yang cuba mempertikaikan undang-undang dan sistem kehakiman kerana dibayangi oleh ketakutan rasa bersalah.

Langkah pencegahan tersebut juga sangat penting untuk menghadapi keganasan yang ditimbulkan oleh mana-mana pengkhianat atau penjenayah tanpa sebarang tolak-ansur.

Selain itu, ia juga akan memberi kesempatan dan pertimbangan kepada mereka yang mengaku silap dan sebagainya. Agama telah menggariskan kata-kata panduan iaitu kesilapan pemerintah dalam memaafkan pesalah itu lebih baik dan lebih disenangi Allah daripada kesilapannya dalam mengambil tindakan kepada pesalah.

Justeru sudah tiba masanya umat dijernihkan pemikiran mengenai budaya politik yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran agar membebaskan diri daripada belenggu budaya politik asabiah yang menyesatkan.

Bersih: Demokrasi , demonstrasi, provokasi


Oleh Hassan Mohd. Noor

KELMARIN, penulis di negeri pimpinan Pas, Kedah bagi menghadiri Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan Zon Utara. Terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar dan ahli-ahli majlis yang turut hadir pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim.

Menjelang demonstrasi Bersih, seperti negeri lain, Kedah juga tidak terlepas daripada isu ini. Cerita mengenainya berlegar sehingga ke stadium dan restoran. Walaupun tidak ketara tetapi mereka berbisik-bisik mengenai tindakan tegas polis terhadap kumpulan yang cuba mempromosikan Bersih.

Seorang sahabat pula yang menghadiri Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional di Sungai Petani memberitahu, beliau terkandas di kawasan tol Lebuh Raya Utara Selatan dalam perjalanannya ke Alor Setar gara-gara sekatan jalan oleh polis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Bersih. Sekatan juga berlaku di jalan biasa.

Itu suasana seminggu sebelum demonstrasi yang dicadangkan mengambil tempatnya. Bagaimana keadaannya dalam sehari dua lagi jika sesuatu tidak dilakukan?

Kata orang No.2 Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu, demonstrasi haram itu tetap diteruskan dan ia tidak mengganggu ‘kehidupan’ peniaga dan pemandu teksi di ibu kota. Sebaliknya ramai yang akan membeli-belah dan naik teksi pada 9 Julai! Begitulah usaha Mat Sabu untuk ‘membersihkan’ Bersih atau ‘menghalalkan’ demonstrasi haram itu.

Mengikuti ceramah Mat Sabu, memang kadangkala ada pandangan yang baik, lucu dan merapu. Tetapi berkaitan ‘pintu rezeki’ pemandu teksi dan peniaga ini pula bolehlah dianggap kenyataan bodoh atau bebal. Siapa pemandu teksi yang mahu masuk Kuala Lumpur jika sudah tahu keadaan sesak tidak terkawal?

Rakan pemandu teksi, Pak Lang dan Pak Long ketika ditanya pandangan Mat Sabu itu bertanya: ‘‘Demonstrasi haram 9 Julai tu tidak sama ka seperti tahun 2007?’’.

Pak Lang dan Pak Long tidak menjawab soalan tetapi soalan balas itu sudah menjawab persoalan tersebut. Maknanya Pak Lang dan Pak Long sudah merasai bahangnya lebih teruk berbanding pengalaman 2007. Lainlah jika demonstrasi itu diadakan di stadium dan orang ramai digalakkan mengguna pengangkutan awam pergi dan balik secara teratur.

Mengenai peniaga pula cuba selak kembali perhimpunan 2007. Penulis pernah menyelak isu ini di ruangan Politik Minggu Ini di bawah tajuk Demonstrasi ada cara dan tempatnya (Mingguan Malaysia 2 Disember 2007). Adakah peniaga gembira? Lebih-lebih lagi pada hari Sabtu ada pasar malam di Lorong Tuanku Abdul Rahman. Belum tentu laksa Kedah, bihun sup utara, keropok lekor, nasi kerabu, ketupat palas, cendol pulut dan macam-macam lagi terjual laris. Silap haribulan terbuang atau tercemar begitu sahaja.

Mat Sabu dan rakan-rakannya akan mencari alasan untuk menghalalkan demonstrasi haram ini. Dan ‘menghalalkan yang haram’, ‘mengharuskan yang makruh’ bukan sesuatu yang luar biasa apatah lagi melibatkan undang-undang ciptaan manusia.

Semalam di Johor, satu kumpulan diketuai Ahli Parlimen Bakri (DAP) sanggup turun ke Johor Bahru yang diwakili Shahrir Samad (BN) untuk mengadakan kempen Negara Bersih Rakyat Bertuah. Walaupun risalah diedarkan menyebut Aktiviti ini tiada kaitan dengan Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 hb Julai jam 2 petang di KL tetapi bak kata orang Melayu terkilat ikan di air sudah tahu jantan betinanya.

Setiap perkataan bersih ditonjolkan seperti patut BERSIHkan, menjaga keBERSIHan, Negara BERSIH. Risalah itu dicetak oleh DAP Malaysia Jalan Yew off Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Selain sudah jelas maksud tersirat dan tersurat, yang peliknya kenapa baru sekarang nak diadakan kempen kebersihan itu? Kenapa di Johor Bahru, tidak di Bakri?

Ada pula yang berkata, jika pilihan raya itu bersih dan adil, Trio 3P - DAP, Pas, PKR akan menang semua negeri dan menawan Putrajaya.

Sekali lagi benarlah apa yang diselak minggu lepas iaitu bagaimana mahu mengenali watak pembangkang ini. Sesuatu yang tidak memihak kepada mereka akan dianggap tidak wajib diikuti. Semuanya salah, tidak betul, haram dan macam-macam lagi. Tetapi jika sesuatu yang memberi faedah atau menguntungkan mereka, maka itulah yang terbaik.

Sikap begini juga berlaku di negara tetangga kita, Thailand yang baru selesai mengadakan pilihan raya.

Menurut pegawai pilihan raya Thailand, jika pihaknya memberi ‘kad merah’ kepada pembangkang itu dianggap tidak adil dan jika diberi kepada pihak kerajaan itu dianggap betul. Begitulah sebenarnya sikap pembangkang.

Dan cuba selak juga bagaimana Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membantah konsert MTV World Stage di I-City, Shah Alam. Beliau tampil di pentas Muktamar Pas Ke-57 baru-baru ini dengan berkata, rata-rata penduduk Seksyen 7, Shah Alam tidak berpuas hati dengan penganjuran konsert itu kerana menimbulkan kesesakan lalu lintas dan kebisingan.

Apakah demonstrasi jalanan Bersih dijamin tertib, aman, bersih, senyap dan lalu lintas tidak sesak? Adakah penduduk Seksyen 7 Shah Alam sahaja yang tahu erti sesak dan bising?

Baru-baru ini Mat Sabu berkata, beliau sedia ditahan kerana Bersih. Diputarnya cerita, mereka yang menyertai Bersih itu adalah pencinta demokrasi dan pelik jika pencinta demokrasi ditahan. Adakah dengan mengadakan demonstrasi itu menggambarkan mereka pencinta demokrasi? Adakah mereka yang membantah demonstrasi Bersih itu tidak mencintai demokrasi?

Tidak ada jaminan bahawa demonstrasi besar-besaran itu berlangsung dalam aman dan selamat. Pasti ada unsur-unsur provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara lebih-lebih lagi apabila kumpulan ‘Perkasa, Patriot dan Pesilat’ juga akan turun gelanggang.

Maka adakah demonstrasi atas nama demokrasi itu mampu menjamin kestabilan atau membawa kemusnahan?

Semoga rakyat Malaysia terutama orang Melayu beragama Islam tidak terlibat dalam perkara yang boleh menjurus kepada kehancuran. Mungkin lebih baik mereka menyertai program Bersih Kubur, Bersih Hati seperti dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur semalam. Dan sempena bulan Syaaban ini elakkanlah diri kita bertolong-tolongan ke jalan kerosakan.

Azmin perlu jawab dahulu dakwaan miliki saham RM8 juta


KUALA LUMPUR 26 Mac - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali didesak supaya menjawab dakwaan berhubung pemilikan saham berjumlah RM8 juta terlebih dahulu sebelum mempertikaikan kos ubah suai pejabat bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, sehingga kini Azmin belum memberi sebarang maklum balas terhadap laporan yang dibuat oleh bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari kepada pihak berkuasa pada 17 November 2009.

Menurut beliau, rakyat mahu mengetahui bagaimana Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin boleh memiliki pelbagai saham dalam jumlah yang begitu besar sepanjang 1992 hingga 1994.

"Saya percaya pendapatan Azmin sebagai Setiausaha Sulit Anwar yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu tidak mencukupi untuk membiayai pembelian saham-saham tersebut.

"Azmin mesti menjelaskan dari mana beliau memperoleh wang yang sebegitu banyak, siapa yang memberi wang itu dan apa tujuannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zamil berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa mempersoalkan kos pengubahsuaian pejabat bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu yang dikatakan mencecah RM300,000, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, tindakan Azmin itu juga menunjukkan beliau kurang memahami prosedur berkaitan peruntukan kewangan yang diterima oleh Exco kerajaan PKR Selangor.

"Saya difahamkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menjelaskan beberapa Exco kerajaan PKR Selangor yang lain turut menerima peruntukan untuk mengubah suai pejabat mereka.

"Di mana-mana negeri pun, peruntukan kewangan yang dimohon oleh Exco perlu dibentangkan untuk kelulusan menteri besar atau ketua menteri terlebih dahulu. Apakah Azmin tidak tahu tentang perkara itu?," soalnya.

Tambah Zamil, Azmin sememangnya tidak layak untuk mempertikaikan integriti Hasan dan beliau dipercayai berbuat demikian semata-mata untuk menconteng arang ke muka bekas Exco itu.

Apabila Pas, PKR takut nak tegur..


Oleh ZULKIFLI JALIL

BEBERAPA bulan lalu sekumpulan 13 orang guru dari sebuah sekolah rendah di Bayan Lepas, Pulau Pinang meminta ditukarkan ke Kepala Batas di Seberang Perai Utara.

Dikatakan mereka tidak mampu lagi tinggal di Tanjung. Harga rumahnya oh! terlalu mahal. Jalan terdekat ialah tinggal di Sungai Petani, Kedah tetapi mengajar di Kepala Batas.

Hampir empat tahun ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mengusahakan langsung pembinaan satu unit pun rumah kos rendah dan sederhana rendah. Hanya rumah berkos tinggi dibina.

Rakyat Singapura dikatakan banyak membeli rumah dan hartanah di negeri itu. Harga rumah mencecah antara RM400,000 hingga RM700,000 sebuah di Balik Pulau sahaja.

Bukan sahaja orang Melayu berkeluh-kesah akan hal ini, kaum Cina pun begitu juga. Mereka pergi mengadu ke pihak Barisan Nasional (BN). Tetapi apa nak dibuat, kuasa di tangan orang lain.

Setiausaha Barisan Nasional Pulau Pinang yang juga ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya (gambar) yang ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui penghijrahan penduduk Tanjung ke tanah besar semakin meningkat akhir-akhir ini. Sebabnya, harga rumah yang menjulang.

Mengejutkan. Tetapi hakikatnya perlu diterima. Tiada satu unit pun rumah kos rendah dan sederhana rendah dibina oleh kerajaan negeri DAP dalam tempoh beberapa tahun ini.

Pengakuan itu datang daripada Exco Perumahan parti itu sendiri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) awal tahun lepas.

Soalnya, berapakah jumlah rumah kos rendah dan sederhana rendah dibina, kalau tidak pun dalam 2009/2010 oleh kerajaan negeri menggunakan dananya sendiri atau melalui anak syarikat dan jabatan negeri.

Exco Perancangan Desa, Perumahan Dan Kesenian, Wong Hon Wai pernah menjelaskan, sejumlah unit rumah dibina tetapi semuanya oleh syarikat swasta.

"Depa bagi '100 Ringgit' boleh tetapi pembelaan kepada orang miskin perlulah dilakukan. Jangan asyik main politik, jangan dok gila heboh ada bajet surplus tapi tak ada pembel aan. Dulu pun kita (BN) ada surplus tapi masih bina rumah kos rendah," kata Hilmi lagi.

Beliau seterusnya merujuk Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 mengenai Pulau Pinang. Antaranya, peruntukan pembangunannya berjumlah RM379.77 juta kepada sembilan jabatan, yang mana perbelanjaan hanya RM225.95 juta atau 59.5%.

Sejumlah lima jabatan, prestasi lebih 90%, dua jabatan prestasi 80% - 89%, satu jabatan prestasi 70% - 79%. Yang paling rendah ialah Pejabat Ketua Menteri iaitu hanya 54.7%. Ini kerana terdapat 23 projek yang tidak dapat disiapkan atau ditangguhkan.

"Apa projek-projek itu? Ia melibatkan enam projek pembesaran masjid dan sekolah agama, tiga projek perkuburan Islam, enam projek rumah kos rendah, tiga projek penyesiatan untuk pembangunan ekonomi Pulau Pinang, dua projek membina Mahkamah Syariah serta masing-masing satu projek pembangunan sukan, pembangunan ICT dan projek bekalan air," katanya.

Hilmi juga menarik perhatian mengenai projek di tapak tebus guna tanah di utara Queensbay.

"Apa sudah jadi? Dulu masa BN dah diluluskan satu projek perumahan bercampur, rumah kos sederhana rendah, kos sederhana dan kos tinggi, lengkap dengan sekolah dan masjid.

"(Tetapi) sekarang di bawah Lim Guan Eng, Pas dan PKR, rumah kos sederhana rendah, rumah kos sederhana dah hilang, yang ada rumah kos tinggi sahaja... sekolah dan masjid pun hilang juga.

"Macam ni pun rakan kongsi - Pas dan PKR tak berani tegur Guan Eng. Elok tak payah jadi kerajaan. Makin lama, makin terhakis hak kita," kata Hilmi.

Bukan sahaja rumah kos rendah, kata Hilmi, Masjid Teluk Kumbar juga menjadi 'mangsa'.

"Tanah tapak masjid Teluk Kumbar telah pun diambil oleh kerajaan DAP Pulau Pinang tiga tahun lalu tapi tidak wakafkan. Sebaliknya 'dia' letak tanah tersebut di bawah syarikat kerajaan negeri. Tajuk tanah tersebut ialah rumah ibadat.

"Kalau rumah ibadat, ia bukan untuk masjid sahaja. Apa maknanya? Kariah Teluk Kumbar nak minta peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk bina masjid tapi tak boleh kerana tanah bukan wakaf," kata beliau.

Semasa pentadbiran kerajaan BN dahulu, perkara sebegini tidak pernah berlaku. Kerajaan negeri BN dahulu ambil tanah untuk kegiatan agama Islam sama ada untuk masjid, surau, sekolah agama dan kubur orang Islam. Semuanya terus diwakafkan. Puluhan ekar tanah telah diambil untuk tujuan tersebut. Tidak ada masalah. Semuanya terus diwakafkan.

"Apa sudah jadi dengan rakan kongsi - Pas dan PKR dalam kerajaan Pulau Pinang. Takutkah nak tegur orang itu," kata Hilmi.

Beliau turut menarik akhbar ini mengenai kedudukan Sekolah St. George Balik Pulau. Ketika ini yang belajar di situ adalah anak-anak dari kawasan sekeliling dan sehingga Sg. Rusa, Sg. Pinang, Air Putih dan Paya Kongsi.

"Pihak gereja sudah bagi tempoh sehingga tahun 2016 untuk ambil balik. Maknanya, hilang satu sekolah menengah dan satu sekolah rendah di kawasan Balik Pulau.

"Memang masa BN dulu telah dirancang satu sekolah menengah dan sekolah rendah di Air Putih (DUN Guan Eng), tetapi di mana ia sekarang? Malah, di tapak yang diperuntukan percuma oleh Kerajaan Persekutuan kepada sekolah menengah dan sekolah rendah, diprojek Botanica CT, apa dah jadi?" Soal Hilmi.

Menurut ADUN Teluk Bahang itu lagi, kerajaan negeri sudah memberinya kepada Sekolah Antarabangsa Prince of Wales. Sekolah pun dah siap dibina dan beroperasi.

"Guan Eng kata dalam DUN nak ganti tanah itu dengan tanah lain di kawasan Air Putih, juga secara percuma. Tetapi sampai hari ini tak ada apa-apa pun. Masa terus berjalan. Datuk Halim Speaker orang kuat PKR buat apa? Tak berani nak tegur ke?

Pendedahan oleh Hilmi ini baru sedikit sahaja. Belum pi jauh lagi. Jelutong, Bukit Gelugor dan banyak lagi. Apa dah jadi?

Dahulu kata UMNO halau Melayu. UMNO 50 tahun jadi kerajaan pun tidak serakus ini.