Sunday, October 9, 2011

KHAYALAN PEMBANGKANG YANG MELELAHKAN


Sejak kebelakangan ini, khayalan parti-parti pembangkang untuk berkuasa semakin terserlah seperti tiada sempadan yang boleh mengawalnya. Atas nama pentas politik yang tidak ada hentiannya, pemimpin mereka dihalalkan bercakap dan menghamburkan apa sahaja kata nista.

Dalam keadaan rakyat sudah lelah dengan pertengkaran politik yang terus berpanjangan ini, tiada tanda bila ia boleh berakhir. Hinggakan kadang kala rakyat terkeliru dan tidak jelas siapa berkhayal serta siapa pula yang hidup di alam nyata.

Siapa pula yang berhalusinasi? Sama ada mereka yang menuduh atau yang dituduh semuanya mahu dilihat sama jujurnya. Inilah permainan dan asyik masyuknya propaganda pembangkang yang berkhayal mahu ke Putrajaya setelah menempa kejayaan pada pilihanraya umum 2008.

Dalam usaha mengumpulkan sebanyak mungkin penyokong dan meraih undi, tiada langsung rasa hormat ditunjukkan kepada kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat yang memerintah sekarang. Semua yang salah adalah daripada Barisan Nasional (BN). Semua yang betul adalah daripada pembangkang – PKR, Pas dan DAP walaupun banyak kelemahan kepimpinan dan pengurusan sedang berlaku di negeri yang mereka kuasai.

Di Kelantan, negeri yang telah mereka kuasai selama lebih 20 tahun pun banyak kemudahan asas gagal diselesaikan termasuk bekalan air bersih, rumah rakyat miskin dan jalan raya. Anehnya, mereka tidak melihat ia sebagai kelemahan diri tetapi terus berkhayal mencari-cari salah Kerajaan Pusat.

Dulu, sebahagian besar khususnya pengundi atas pagar berharap pembangkang yang kuat akan menguntungkan rakyat. Tapi rupa-rupanya dialam nyata di Malaysia ini, pembangkang yang kuat hanya pandai mencetuskan polemik, kontroversi dan isu selain merumitkan penyelesaian masalah.

Setelah lebih tiga tahun tempoh, pencapaian terbaik pembangkang (sejak 2008), semakin sukar mencari pemimpin jujur dalam kalangan mereka. Yang terlihat semakin tinggi kedudukan, kebanyakan mereka lebih gemar berpolitik dan suka pula menegakkan benang yang basah.

Rupa-rupanya kekuasaan yang diberikan, sedikit demi sedikit telah menghakis kejujuran mereka untuk berkhidmat kepada rakyat seperti mana dijanjikan dalam kempen pilihan raya dulu. Yang terlihat ketaksuban kepada parti atau tokoh tertentu dalam kelompok mereka semakin menebal. Rakyat hanya dipergunakan untuk mengukuhkan kedudukan mereka semata-mata. Jika tidak,mana mungkin kenyataan menghina pasukan keselamaan dalam tragedi Bukit Kepong oleh Mohamad Sabu, jentera baru penyerang kerajaan itu boleh dipertahankan oleh pembangkang dengan pelbagai alasan dan hujah dangka?

Bagi majoriti rakyat Malaysia yang rasional, kenyataan Mat Sabu itu adalah tidak perlu, malah tidak masuk akal. Untuk apa mengagung-agungkan pengganas komunis yang diketahui umum kejam dan tidak berperikemanusiaan khususnya dalam tragedi pada 1950 itu? Apa manfaatnya mengangkat mereka sebagai wira? Mengapa sampai hati memperlekeh pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang berkorban mempertahankan balai polis Bukit Kepong sebagai alat penjajah?

Jawapan yang ada ialah kerana kebencian kepada sebuah pihak iaitu UMNO. Begitu sekali kebencian yang cuba ditanam oleh Mat Sabu dan pembangkang kepada penyokong mereka sehingga sanggup mempertikai sejarah yang menghuris perasaan ramai orang.

Pembangkang terutamanya Pas yang kini dikuasai oleh kumpulan Anwarinas sanggup melakukan apa sahaja demi khayalan mereka untuk menggantikan peranan UMNO tercapai. Kerana impian untuk menjadi seperti UMNO dalam kerajaan khayalan mereka kelak, pembangkang cuba mengubah sejarah yang telah diterima dan termaktub.

Mungkin sahaja pemimpin seperti Penasihat DAP, Karpal Singh hanya mampu menyalak bersendirian. Permintaan beliau dan juga sebahagian penyokong pembangkang lain agar Mat Sabu memberi penjelasan dan menarik balik kenyataan pada ceramah umum 21 Ogos itu setakat ini tidak dilayan.

Malah Mat Sabu yang mulanya tidak ingat apa yang dinyatakannya serta tidak mahu melayan isu akhbar arus perdana, menyongsang arus dengan tetap mempertahankan kenyataannya itu. Tiada tanda beliau akan menarik balik kenyataannya, apatah lagi meminta maaf.

Sebaliknya kini arus menyokong ‘penghinaan’ oleh Mat Sabu itu cuba digerakkan oleh Pas sendiri dan rakan dalam pakatan mereka. Mereka seperti tidak merelakan untuk Mat Sabu bertindak jujur untuk meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas keterlanjuannya itu.

Begitulah sikap mereka, Mat Sabu yang tentu sekali mewakili pembangkang tidak boleh terlihat telah tersasul dan tersilap fakta. Tidak tahulah jika Karpal Singh akhirnya nanti juga akan menari mengikut rentak Mat Sabu ini yang mahu mengubah sejarah dan memadamkan peranan UMNO dan pemimpinnya.

Begitu juga jika pembangkang tidak berkhayal, tidak mungkin projek nadir bumi Lynas di Kuantan terus dijadikan isu kontroversi dan polemik untuk memburuk-burukkan kerajaan BN sedangkan jaminan dan siri penerangan mengenainya telah diberikan.

Adalah sukar difahami apabila pakar nuklear, Dr Rosli Che Mat yang kebetulan pula Ahli Parlimen Pas cuba memperbetulkan kekeliruan yang dicetuskan pembangkang itu, dibidas dan dilarang bersuara.nKerana kebenaran berlandaskan fakta dan ilmu, Che Rosli menemplak tindakan Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang beria-ia memburuk-burukkan projek itu, rela dikenakan tindakan.

Begitu juga nasib Exco Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali yang dibiar bersendirian apabila menentang arus rakan-rakannya dalam pembangkang berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor keatas sebuah gereja. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula nasibnya seperti habis masu sepah dibuang apabila ada usaha menyingkirkannya oleh rakan-rakannya sendiri atas alasaan kesihatan.

Sebab itu, tidak berlebihan untuk dinyatakan bahawa pembangkang kini sedang dilanda khayalan dan halusinasi untuk memegang kekuasaan dan menduduki Putrajaya.Mereka terlalu berharap waktu itu akan datang secepat mungkin.

Dan, khayalan itu pula sehingga mengorbankan integrtiti dan kejujuran yang mereka ada sebelum ini. Selang waktu berlalu, khayalan itu menjadikan mereka bertambah asyik berbohong, bersikap hipokrit dan memanipulasikan setiap isu berbangkit.

Ulasan :-

1. Itulah Gagasan 1Malaysia ‘ala pembangkang’ sesama sendiri pun bertelagah. Kalau diberi peluang memerintah negara, sudah nampak dari awal lagi akan hancurlah negara Malaysia ini.

2. Dulu Putrajaya dikatakan satu projek yang membazirkan duit rakyat dan akan dilelong jika mereka dapat perintah negara tapi sekarang sudah nampak terhegeh-hegeh nak balik Putrajaya…macam meludah kelangit…

Pemimpin pembangkang sudah nampak jelas tiada berkredibiliti, hipokrit, suka berbohong, suka membuat tohmahan dan fitnah dan sanggup menggunakan agama demi mencapai kepentingan politik mereka.

SELANGOR PERLU JELASKAN TUJUAN SEBENAR JUAL ASET PKNS

SHAH ALAM 21 Sept – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didesak memberi penjelasan tiga aset milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang didakwa dibuat kepada sebuah syarikat pelaburan amanah.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, penjualan tiga aset tersebut iaitu Kompleks PKNS disini, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Menara PKNS di Petaling Jaya dilihat tidak wajar kerana ia menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan.

Ini kerana katanya, sejak diwujudkan pada 1964, perbadanan itu dilihat telah berjaya membangunkan negeri ini termasuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat selaras dengan matlamat penubuhannya.

“PKNS sejak 1964 dilihat tidak mengalami masalah sama ada dari segi pengurusan dan kewangan malah ia mempunyai aset yang besar terutamanya dalam sektor hartanah. Namun, sejak kerajaan negeri diambil alih oleh pembangkang, timbul pelbagai dakwaan membabitkan kelemahan pengurusan kewangan termasuk pembaziran membabitkan PKNS seperti dilaporkan oleh media sebelum ini. Penjualan aset-aset ini sekiranya berlaku, kita tidak menolak kemungkinan akan menimbulkan banyak implikasai kepada PKNS selain membabitkan para peniaga yang menyewa ruang niaga khususnya di Kompleks PKNS,” katanya kepada pemberita disini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah laman blog, http://darulehsantoday.blogspot.com yang mendakwa tiga bangunan yang menjadi kebanggaan PKNS dan rakyat Selangor yang dibangunkan hasil pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan diambil alih oleh sebuah syarikat pelaburan amanah bermula Januari 2102.

Selain pengambilalihan itu, PKNS juga melalui satu surat bertarikh 12 September 2011 kepada penyewa Kompleks PKNS Shah Alam akan menaikkan kadar sewa premis dipusat komersial itu termasuk akan menamatkan sewaan kepada mana-mana peniaga yang kurang berdaya saing.

Ulasan :-

1. Bersusah payah kerajaan BN mewujudkan PKNS untuk kaum Melayu sekarang pembangkang yang tak erti atau tak pandai mengurus senang2 hendak melingkupkan.

2. Itu baru dari segi pentadbiran negeri, jika pentadbiran negara mungkin lagi lingkup.

3. Lama2 semua aset2 yang berkepentingan orang Melayu habis dihapuskan.

JUAL KOMPLEKS PKNS : LABUR ATAU LEBUR?

Kewujudan Kompleks PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Shah Alam sinonim dengan pembangunan dan kemajuan Bandar tersebut. Dari sebuah Bandar kecil pada tahun 1970an, Shah Alam muncul sebagai ibu negeri Selangor menggantikan Kuala Lumpur yang bertukar tangan menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1974.

Kompleks tersebut adalah pemangkin kepada perkembangan Shah Alam, Kota Raya Melayu yang turut menempatkan Istana Bukit Kayangan, kegunaan rasmi Sultan Selangor. Kompleks PKNS Shah Alam juga sinonim dengan kemunculan dan perkembangan Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudiannya meningkat menadi Universiti Teknologi Mara UiTM). Para mahasiswa dan siswazah ITM/UiTM pasti tidak akan dapat melepasi nostalgia dengan kompleks Melayu itu kerana disanalah mereka bertumpu saban hari setelah kepenatan berkuliah.

Kompleks PKNS Shah Alam adalah pusat perniagaan uasahawan kecil Melayu bertapak dibawah satu bumbung yang diurus sempurna oleh perbandanan tersebut. Disana bermulanya, perniagaan kecil orang Melayu, perusahaan orang Melayu dan perkhidmatan orang Melayu. Pendek kata, segala-galanya bermula disitu. Pemusatan tersebut juga merupakan timbal balik kepada PKNS sendiri. Para peniaga kecil berkenaanlah yang selama ini telah menghidupkan kompleks tersebut sehingga ia bertahan sehingga ke hari ini.

Kini, para peniaga berkenaan yang telah menjadi ‘talian hayat’ kepada PKNS meneruskan nafasnya mungkin terpaksa berundur. Manakan tidak, mereka telah diberikan notis rasmi baru-baru ini mengenai kadar sewa yang bakal berkuatkuasa mulai Januari 2012. Kenaikan kadar baharu itu tentulah atas nama pemodenan dan penambahbaikan yang dilakukan melalui pindah milik premis berkenaan kepada pemilik baharu. Apaka pilihan yang ada pada para peniaga yang sedia ada disana? Pilihan yang pasti tentulah merintih seperti bait yang terdapat dalam lagu Warisan : “Air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang”.

Para peniaga dan pengusaha yang menjadi penerus kelangsungan PKNS selama ini mungkin terpaksa menjadi mangsa seperti bait-bait seterusnya dalam lagu Warisan iaitu : “Tergadai seluruh harta benda, akibat sengketa sesamalah kita. Cinta lenyap diarus zaman.”

Pentadbiran kerajaan Selangor dan juga PKNS mungkin tidak setuju dengan pandangan ini kerana bagi mereka tiga buah aset meganya termasuk SACC Mall di Shah Alam dan ibu pejabatnya sendiri iaitu Menara PKNS di Petaling Jaya perlu dipindah milik untuk menjana pendapatan berganda.

Menurut Pengurus Koporat PKNS, Norhisham Mohd Ghouth kepada akhbar Sinar Harian, tiga bangunan tersebut hanya mengalamai proses pengambilalihan sebagai usaha PKNS untuk menjana pendapatan sedia ada menerusi pelaburan dalam Real Estate Investment Trust (REIT). Ini bermakna aset-aset tersebut tidak dijual. Sebaliknya ia adalah usaha mereka untuk menaikkan nilai harta tersebut. Ringkasnya, ia adalah pelaburan!.

Barangkali kerajaan negeri Selangor mencontohi ‘kepakaran’ kerajaan Kelantan dalam proses memindahkan para peniaga Melayu ke Kompleks Tok Guru di Kota Bharu yang pastinya tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada para peniaga. Tentu mereka telah mempelajari kaedah menyahkan para peniaga Melayu di Kompleks Komtar diatas kepintaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengandakan kadar sewa atas nama penambahbaikan.

Sudah menjadi rahsia yang menjadi perbualan umum mengenai tindak tanduk kerajaan negeri Selangor pimpinan DAP tetapi ditopengkan dengan Menteri Besar PKR, meleburkan pelaburan warisan seperti Yayasan Selangor. Cabang pendidikan khususnya untuk menaikkan tahap pencapaian anak-anak Melayu dari desa yang telah berjasa itu akan diundurkan.

Dua buah bangunan berjasa yang menjadi asrama pusat yayasan itu di Kampung Pandan, Kuala Lumpur bakal dikorbankan atas nama pelaburan juga. Kononnya lokasinya dihimpit oleh pembangunan pelbagai tidak sesuai lagi sebagai asrama. Ironinya, beberapa buah sekolah dikawasan itu termasuk Sekolah Aminuddin Baki (SAB) tidak pula ditimpa masalah kerana ia bukan milik Kerajaan Negeri Selangor. Jika sekolah-sekolah berkenaan milik Selangor, pasti akan dileburkan juga.

Kini giliran Kompleks PKNS yang terletak di Seksyen 14 Shah Alam dah lebur…Bila pula kompleks PKNS di Bangi akan menerima nasib yang sama…? Adakah kompleks PKNS Bangi masih belum cukup tinggi nilainya senbelum ia menerima nasib yang sama? Atau kompleks di Bangi itu akan dileburkan seiring dengan ‘pelaburan hartanah milik Yayasan Selangor di Klang kelak?

Patutkah Datuk ik Aziz Nik Mat dipersalahkan di Kelantan atau Guan Eng di Pulau Pinang? Salah jugakah Tan Sri Khalid Ibrahim yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor? Atau ada pihak lain yang patut disalahkan?

Buat masa ini kita ucapkan ‘tahniah’ terlebih dahulu kepada pengundi Melayu di Shah Alam dan Selangor amnya kerana kejayaan mereka membuka peluang kepada usaha menggadai apa sahaja yang boleh dijadikan wang! Mungkinkah Melayu terus layu…?

Ulasan :-

1. Nampak sangat DAP hendak menghancurkan masa depan pengusaha2 dan peniaga2 Melayu dan Melayu juga yang menjadi dalang dalam rancangan halus DAP.

2. MB hanya sebagai boneka bagai lembu dicucuk hidung oleh DAP.

3. Sedikit demi sedikit, harta keistimewaan Melayu dihakis oleh DAP.

EPISOD-EPISOD PEMBOHONGAN PAS

Bagi menutup malu Pas kerana terhimpit dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja 3 Ogos lalu, Datuk Mustafa Ali cuba mengalih pandangan dan menuduh UMNO sebagai dalang disebalik isu itu. Bagi UMNO Selangor, ini satu pembohongan dan sudah pun memulakan proses menyaman Setiausaha Agung Pas itu.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Pas, Dr Che Rosli Che Mat menyelar Ahli Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh kerana banyak mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai projek pemprosesan nadir bumi, Lynas di Gebeng. Che Rosli seorang pakar sains nuclear mendapati Fauziah menggunakan fakta palsu. Che Rosli juga mengkritik Harakah kerana menyiarkan laporan tidak benar. Tapi penerangan Pas Pusat dan kalangan pemimpin Pas tidak senang dengan tindakan Ahli Parlimen Pas Hulu Langat ini. Ini semua maksud apa? Pas lebih senang rakyat terus dibohongi dengan maklumat palsu daripada diberikan fakta sebenar.

Terbaru, Jamilah Abu Bakar yang melihat ibu bapa dan adiknya ditembak komunis 61 tahun lalu memberitahu naib Yang diPertua Pas Pulai, Zaaba Ibrahim, telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai kerajaan semasa melawat kerumahnya Ahad lalu bagi pihak Mat Sabu. Jirannya, Mokhtar Jalok 71, berkata pemimpin Pas itu berbohong kerana dia kenal Zaaba bukan kakitangan awam tapi peniaga besi buruk.

Jamilah dan keluarganya tidak mahu berjumpa Mat Sabu kerana sakit hati dengan pembohongan Timbalan Presiden Pas itu mengenai peranan dan jasa pahlawan Melayu yang menentang komunis. Mat Sabu berkeras mengatakan komunis adalah wira, seolah-olah polis dan tentera adalah tali barut British.

Sebelum ini, Mat Sabu terbabit dalam kontroversi pasca-Bersih. Dia mendakwa cedera dilanggar kereta polis. Rakaman polis yang ditonton jutaan penduduk Malaysia menerusi TV menunjukkan beliau tidak dilanggar kereta polis, malah jatuh longkang kerana motornya terbabas. Dia menafikan versi polis tapi ramai percaya dia berbohong.

UMNO tidak perlu berbuat apa sebenarnya. Sejak akhir-akhir ini, pemimpin Pas seperti Mat Sabu dan parti pembangkang lain bagaikan menggali kubur sendiri atas percakapan dan tindakan yang menyakiti hari rakyat.

Pada hal Pas beria-ia benar mahu menggantikan UMNO sebagai parti tunggal orang Mekayu dan pernah menguar-uarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai bakal Perdana Menteri. Ini sekadar mimpi kerana Pas sudah menjadi parti terkecil dalam Pakatan Rakyat. Hakikatnya, populariti UMNO makin melonjak dan Pas mula merudum.

Hari ini UMNO mempunyai 79 kerusi di Parlimen, Pas hanya ada 24 sahaja. UMNO memenangi empat pilihan raya kecil berturut-turut mengalahkan calon Pas di Galas (4 November 2010), Tenang (30 Januari 2011) Merlimau (6 Mac 2011) dan Kerdau (6 Mac 2011). Undi yang Pas perolehi di DUN-DUN bermajoriti Melayu dalam Pilihan Raya Kecil 2010 dan 2011 semuanya semakin menguncup berbanding yang diperolehinya pada 2008.

Bilangan kerusi Pas di Parlimen adalah paling sedikit. Apabila bersekongkol dengan DAP dan PKR bermakna Pas tidakmungkin lagi dapat bertanding kerusi Parlimen yang mencukupi dalam pilihan raya untuk membolehkannya menjadi parti terbesar di Dewan Rakyat. Ini juga bermakna sampai bila-bila pun Pas tidak boleh menubuhkan negara berkebajikan. Inilah realiti yang harus disedari semua ahli dan penyokong Pas.

Ramai berkata, punca populariti Pas menjunam sekarang adalah kerana kerjasama politiknya dengan PKR dan DAP. Pemimpin Pas pernah menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan sesiapa saja, waima SYAITAN, untuk menjatuhkan UMNO. Belum sempat berpakat dengan syaitan, baru dengan PKR dan DAP pun, Pas sudah longlai dan tidak konsisten dalam perjuangannya. Kerana mahu ambil hati kawan, Pas sanggup gadai prinsip perjuangannya.

Kerana ingin mengecap sedikit kuasa, Pas tidak lagi mempertahankan konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai hukum hudud ( hanya baru-baru ini dibangkitkan semula oleh Tok Guru), malah bersengkokol dalam soal penjualan arak, judi dan rumah urut di Selangor. Untuk pilihan raya umum 2004 dan 2008, Pas tidak lagi mengangkat Dokumen Negara Islam seperti 1999 tapi menjunjung pula Buku Jingga yang sarat dengan janji palsu yang tidak tertunai.

Janji palsu terbesarnya ialah hudud. Pas menentang UMNO di Kelantan pada 1990 dan Terenganu pada 1999 kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam. Bila dapat memerintah, Pas memberi pelbagai alasan kenapa tidak melaksanakan hudud. Antaranya, sekatan Kerajaan Persekutuan, mahu memberi masa pada rakyat terutamanya bukan Islam memahami konsepnya dan tidak cukup pelaksana seperti peguam dan hakim.

Sebagai Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi pernah berkata hudud tidak penting untuk dilaksanakan kerana ia cuma 0.000001 peratus daripada syariah Islam. Di muktamar Pas ke-57 lalu, dia baru sedar negara Islam tidak disebut dalam al-Quran. Dalam keadaan sekarang, kerana bersekongkol dengan PKR dan DAP yang sememangnya menolak undang-undang syariah, maka janji Pas ini tidak akan tertunai sampai bila-bila.

Dan dalam keadaan begini lah, bagaikan orang mabuk baru bangun tidur, Pas membuat kenyataan mahu kembali mempertahankan hak orang Melayu meskipun selama ini menolak perjuangan berasaskan bangsa. Dulu, Pas menolak hak keistimewaan orang Melayu. Pas juga menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB yang banyak menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Adakah Pas sudah berubah sikap dan pendirian mengenai kedua-dua perkaran ini? Bolehkah orang Melayu mempercayai Pas lagi? Pemimpin Pas kutuk bangsa sendiri, malu jadi Melayu kononnya. Pas anggap orang Melayu yang tidak menyokong calonnya sebagai jahiliah. Sejak 1950an lagi orang Melayu dikafirkan dan masyarakat Melayu berpecah-belah kerana fatwa yang songsang. Mat Sabu pula menghina pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak serta anggota keselamatan yang sebahagian besarnya Melayu, menentang komunis untuk mencapai kemerdekaan.

Kenapa tiba-tiba Pas mahu jadi jaguh perjuang orang Melayu? Jika benarlah Pas sungguh-sungguh hendak menjadi parti mewakili Melayu, kenapa Pas tidak memperjuangkan hak orang Melayu di Pulau Pinang yang dilayan bagaikan orang Melayu di Singapura dan di negeri-negeri lain? Kenapa pemimpin Pas sanggup ‘bisu dan pekak’ walaupun DAP sering menggangu gugat urusan agama Islam?

Malah, dalam kertas kerjanya di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa Jaminan Pas pada 19 Februari lalu, Abdul Hadi sangat kabur dalam penjelasannya mengenai pengupayaan bangsa Melayu. Tiada saranan khusus bagaimana meningkatkan keupayaan dan penguasaan orang Melayu. Dia cuma berkata perjuangan Pas untuk memakmurkan “seluruh penghuni bumi termasuk binatang dan alam sekitar”.

Pas jelas adalah sebuah parti oportunis dan hanya gilakan kuasa. Dulu Pas mahu lelong Putrajaya, tapi sekarang mahu menguasai Putrajaya pula. Tapi Pas tahu bahawa ia akan kehilangan kira-kira 34 kerusi Parlimen jika gagal mendapat semula sokongan pengundi Melayu dalam PRU-13 nanti. Kerana itulah ia mahu kembali menjadikan pengundi Melayu sebagai ‘power base’nya.

Pada 2008, hampir semua kawasan yang Pas berjaya catat prestasi baik adalah kawasan majoriti bukan Melayu. Oleh itu, bila nak undi orang Cina dan India, dia kata tidak bangga jadi Melayu. Bila nak undi Melayu, dia sebut ketuanan Islam pula. Kononnya pemimpin UMNO tidak Islamik, kepimpinan negara mewarisi pemikiran penjajah dan akan menerima nasib yang sama seperti pemimpin Mesir dan Tunisia.

Pemimpin Pas apabila bercakap sering merujuk diri dan kerja mereka sebagai dengan apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Kelantan pula disebut sebagai Serambi Mekah dan Kota Bharu pula sebagai Kota Islam. Ini adalah strategi melengkapkan gambaran Islamik kepada pemimpin Pas dan negeri yang mereka perintah.

Tapi dimanakah Islamiknya pemimpin Pas jika suka berbohong dan cakap berbelit-belit? Apakah merit parti yang menggunakan nama ISLAM tapi memberi janji paslu, memberi gelaran buruk dan hina Muslimin lain? Ingatlah, Nabi Muhammad menggunakan agama untuk mengislamkan orang-orang kafir, tapi Nik Aziz dan Abdul Hadi menggunakan agama untuk mengkafirkan orang yang sudah Islam. Itu bezanya. Renung-renungkanlah.

Saturday, October 1, 2011

MAT SABU, BUKIT KEPONG DAN PAS

( Oleh – Zaini Hassan )

Pendapat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan perucubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia. Taktik Mat Sabu tidak menyebutkan perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah satu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai oleh PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.

Strategi diguna pakai ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.

Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif dikalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dalam parti pemerintah.

Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.

Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya ‘membebaskan Malaya’ maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintah Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, disebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.

Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.

Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu akan sanggup menyertai atau menyokong PKM.

Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terenganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara. Kedua-dua mereka itu tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.

Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.

Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahiliah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid?

Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan agama tauhid? Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa?

Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya. Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata? Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera. Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan? Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat?

Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka? Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah. Bagi mereka, kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideology komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.

Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit. UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah. Presiden-Pengasas UMNO, Allahyarham Dato’ Onn dan Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato’ Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara? Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu, jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka. Jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.

Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis? Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya yang menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan kongres pertama di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malaya dalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya?

Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara. Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding intergrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.

Percubaan ‘historical revisionism’ oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi ‘Anwarisme’ dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutamanya oleh rakan pembangkangnya DAP.

Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandangnya dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.

Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat Amanat Haji Hadi Awang, ramai individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.

Amanat ini telah memecah belahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah. Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat Amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.

Ketiganya, apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhwah umat islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu berkompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.

Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.

Kesimpulannya :

- Pas bukan parti Islam

- Pas sanggup buat apa saja demi untuk kepentingan politik

- Pemimpin Pas kebanyakan tidak berkredibiliti dan bersikap professional

- Mereka dangkal dalam sejarah

- Suka mengeluarkan firman2 dan hadis2 yang mengelirukan penyokong2 nya seperti yang tersebut tentang perjuangan Rasululah dengan Arab jahiliah.

- Sanggup mempergadaikan maruah bangsa Melayu kepada DAP dengan menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP

- DAP adalah dalang dalam perpecahan umat Islam Melayu.