Monday, September 24, 2012

Malaysiakini tidak beretika, jadi alat burukkan kerajaan



KUALA LUMPUR 22 Ogos - Portal berita kontroversi, Malaysiakini dianggap tidak beretika dan profesional kerana sering menonjolkan diri sebagai alat pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Malaysiakini sudah tidak relevan sebagai portal sumber berita kepada masyarakat kerana hanya mengagungkan pembangkang. 

"Ketika awal penubuhan mereka, kita dapat melihat fair reporting namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka begitu agresif memburukkan kerajaan. 

"Tidak cukup dengan itu, mereka seolah-olah bebas untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan menentang kerajaan, komen-komen pembaca tanpa pantauan sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata berbaur lucah dan tidak elok kepada pemimpin. Bagi Malaysiakini, kononnya itu adalah kebebasan media kepada pembaca," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Beliau mengulas kritikan pelbagai pihak yang mendakwa Malaysiakini sudah menyimpang daripada perjuangan asal sebagai penyampai sumber berita kepada umum.
Malaysiakini diketuai Ketua Pengarang kumpulannya, Steven Gan.
Menurut Sivamurugan, perbuatan seperti memperlekehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui kolum Cartoonkini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
"Beliau merupakan Perdana Menteri, bukan tokoh sebarangan yang boleh dijadikan sebagai bahan lawak jenaka. Tidak cukup dengan itu, Malaysiakini juga gemar menyiarkan ruangan-ruangan seperti surat pembaca yang mengkritik kerajaan sesuka hati.
"Apakah ini yang dipanggil beretika? Semua inisiatif kerajaan nampak salah pada pandangan mereka, apa sahaja pembangkang lakukan, semuanya dianggap sebagai kebaikan untuk rakyat negara ini," tegasnya.
Beliau turut menggesa agar Malaysiakini lebih berhati-hati dalam memantau pendapat pembaca mereka selain berlaku lebih adil dalam setiap laporan mereka.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Pulau Pinang, Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff berpendapat kerajaan perlu tegas dalam menangani kehadiran media baru seperti portal-portal berita propembangkang termasuk Malaysiakini.
"Saya hendak cadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan undang-undang siber untuk membendung aliran media baru dari terus bermaharajalela mengkritik kerajaan," katanya.

Wednesday, September 5, 2012

Sikap hipokrit, cauvinis DAP perlu jadi amaran kepada Melayu



 Sikap DAP yang disifatkan sebagai rasis, hipokrit dan cauvinis oleh bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim baru-baru ini perlu menjadi amaran kepada masyarakat terutama orang Melayu.

Pengasas Utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia, Datuk Seri Jaafar Shaari berkata, parti tersebut dilihat memang seperti itu dari dulu lagi.

"DAP mengatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) rasis sedangkan mereka lebih rasis dan hipokrit. UMNO dan BN tidak rasis yang mana mereka telah berjaya membangunkan negara dengan kerjasama antara semua kaum.

"Saya menyeru kepada orang Melayu yang masih dalam DAP untuk tidak berterusan menjadi seperti 'boneka' mereka. Nilai dan lihat semula segala tindakan dan pendirian yang telah dibuat oleh DAP selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tulisan Tunku Aziz dalam akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times, Sabtu lalu.

Tunku Aziz berkata, sepanjang hampir empat tahun bersama DAP, beliau sudah dapat mengetahui di mana arah sebenar perjuangan parti itu.

Tambah Jaafar, penyertaan orang Melayu dalam DAP juga dilihat bagi menunjukkan mereka satu parti yang tidak rasis.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman berkata, sikap itu tidak memberi manfaat kepada negara dan rakyat yang berbilang kaum.

"Sekiranya dibiarkan berterusan, ia boleh membawa kepada kemarahan kaum-kaum lain dan jika lebih teruk lagi akan berlakunya kebencian di antara kaum. Perkara sebegini perlu dielakkan sama sekali.

"Kita tidak mahu keamanan dan kemajuan yang dinikmati rakyat dan negara terjejas ekoran bermulanya dengan kebencian yang boleh menjadi lebih teruk sekiranya tidak dikawal," jelas beliau.
Katanya, DAP juga sering mengatakan lebih demokrasi, adil dan sebagainya namun sebaliknya adalah berbeza.

Roslan berkata, rakyat sendiri perlu menilai dan menolak parti yang mempunyai sifat sebegitu agar rakyat negara yang berbilang kaum dan agama terus menikmati kehidupan sejahtera.

'Saya cukup kagum dengan Anwar, tapi...'



   Oleh  : ANUAR HJ. AHMAD
    Kuala Lumpur

SAYA dahulunya adalah admirer utama Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak menuntut di Universiti Malaya antara tahun 1981-1984. 

Tambahan pula saya pernah menjadi sukarelawan mengajar anak-anak miskin di kelas STPM anjuran Yayasan Anda, satu-satunya sekolah persendirian yang diasaskan oleh Ketua Pembangkang itu.
Sehingga kini saya kerap sekali menghadiri apa juga ceramah oleh Ketua Pembangkang itu.
Sebagai seorang pensyarah yang juga banyak berceramah dalam program-program melibatkan komuniti, saya sememangnya kagum dengan retorik pidato beliau yang memang amat sukar ditandingi. Ada kalanya saya cuba meniru dan memetik beberapa ungkapan kata-kata pujangga serta ayat-ayat al-Quran yang sering beliau gunakan dalam ceramah-ceramah saya pula.

Namun apabila saya membaca temuramah Othman Omar, Pengurus Besar PKNS yang juga bekas rakan kerja saya satu masa, dalam akhbar The STAR pada 21 Julai 2012 sekali gus saya lihat ada unsur-unsur hipokrasi dalam ceramah politik Ketua Pembangkang terutama dalam janji pilihan raya beliau bahawa jika PR berjaya ke Putrajaya , antara agenda utama beliau ialah memanggil semua peneraju Pengeluar Kuasa Bebas atau Independent Power Producers (IPP) untuk menyemak kembali kadar caj yang dikenakan kepada kerajaan dalam usaha menurunkan tarif elektrik kepada rakyat.
Dalam wawancara Othman itu, beliau menegaskan bahawa pencapaian beliau selepas menerajui PKNS ialah berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM420 juta dalam tahun 2011.

Beliau juga mengesahkan dalam menjawab soalan ketiga bahawa PKNS mempunyai kepentingan saham dalam salah sebuah IPP yang sering menjadi bahan kritikan Ketua Pembangkang dan ia adalah penyumbang kepada keuntungan besar perbadanan milik kerajaan Selangor itu.
Kalau Ketua Pembangkang dalam ceramahnya berapi-api mengkritik kerajaan memeterai perjanjian yang berat sebelah dengan IPP termasuk Genting Sanyen Berhad, bagaimana pula beliau boleh membenarkan PKNS, anak syarikat kerajaan Selangor, yang beliau merupakan Penasihat Ekonominya memiliki kepentingan saham dalam syarikat yang sering dikritik mengenakan caj yang "keterlaluan" kepada kerajaan dan seterusnya membebankan rakyat?

Di satu pihak beliau cuba menjadi jaguh menolong rakyat, di waktu yang sama beliau merestui sebuah perbadanan milik kerajaan negeri untuk memiliki saham dan mengaut keuntungan di sebuah syarikat yang beliau sering selar sebagai menyusahkan rakyat? 

Justeru sebagai rakyat marhain, saya merayu kepada Anwar sentiasa mengamalkan "Kalimatul Haq" seperti mana yang sering ungkapkan dalam setiap ceramah beliau mutakhir ini yang mengaitkan seruannya itu dengan seruan yang sama dibuat oleh Dr. Yusuf Al Qaradhawi, Presiden Ulama' Sedunia kepada perhimpunan 3 juta belia di Dataran Tahrir Mesir agar sentiasa berkata benar dan menegakkan kebenaran dan bukannya berpegang kepada strategi politik ala Niccolo Michiavelli iaitu matlamat menghalalkan apa juga kaedah dan cara yang digunakan. 

Di permulaan Ramadan yang mulia ini, sebagai seorang pencinta Islam dan perpaduan, teringat saya antara wasiat terakhir Assyahid Imam Hassan Al Banna yang ditembak mati pada usia 43 tahun yang berpesan bahawa "Orang yang dicintai Allah adalah orang yang baik hati dan tutur katanya, dan orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuhan dan bersengketa sesama manusia".

Malaysiakini terus dibidas kerana putar belit kenyataan




 Kredibiliti Malaysiakini sebagai medium penyampaian maklumat bebas dan seimbang terus dipersoalkan berikutan tindakan portal berita propembangkang itu memutar belit kenyataan daripada sumber untuk kepentingan politik semata-mata.

Perkara itu diakui bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang mendakwa, kenyataan beliau berhubung isu hudud telah dipetik Malaysiakini semalam secara tidak menyeluruh menyebabkan maksud kenyataannya berada di luar konteks.

Menurut beliau, menerusi laporan bertajuk 'Bekas mufti: Terkeluar Islam jika persenda hudud' semalam, Malaysiakini sekadar mengambil sebahagian artikel menerusi blognya di drmaza.com secara tidak menyeluruh.

“Menolak nas al-Quran tentang hudud (jatuhnya) murtad, tapi menolak tafsiran dan pendapat tentang hudud oleh pihak tertentu tidak murtad.

“Isu hudud yang dilaporkan Malaysiakini itu benar tapi tidak menyeluruh.
“Sebahagian media mengambil potongan artikel-artikel saya lalu dijadikan berita secara tak menyeluruh, di luar konteks dan untuk kepentingan politik mereka semata-mata," katanya menerusi akaun Twitternya semalam.

Malaysiakini semalam melaporkan Mohd. Asri memberi amaran kepada golongan yang mempersenda usaha melaksanakan hukum hudud kerana perbuatan demikian boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Portal berita itu ketika ini mendapat kecaman pelbagai pihak kerana didakwa menyiarkan laporan secara tidak beretika dan mengkritik kerajaan secara keterlaluan dengan membelakangkan prinsip dan etika media.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, kerajaan tidak perlu mempedulikan orientasi politik Malaysiakini.
Ini kerana, kata beliau, portal berita itu perlu dilihat sebagai lidah rasmi pembangkang seperti Harakah dan Suara Keadilan yang tidak memberi ruang kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
“Mereka menyerang Utusan Malaysia kerana dikatakan lebih menjadi suara BN serta akhbar tersebut berat sebelah dalam menyampaikan maklumat. Tetapi, apa kurangnya Harakah dan Suara Keadilan termasuk Malaysiakini?

“Cuma apa yang menghairankan saya ialah mengapa wartawan Malaysiakini boleh mendapat ruang dalam sidang akhbar oleh menteri-menteri, BN dan UMNO," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk A. Chandrakumanan berkata, Malaysiakini menanam perasaan kebencian melampau terhadap dasar-dasar kerajaan selain sengaja menyajikan pembaca dengan penulisan yang hanya mengagungkan pembangkang.
“Saya ingat lagi, pada awal penubuhan portal tersebut, ia lebih bersifat neutral kerana menyiarkan semua berita tetapi selepas tsunami politik 2008, mereka seolah-olah menjadi lidah rasmi pembangkang. 

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan portal tersebut mempersenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penyiaran karikatur keterlaluan menerusi ruangan cartoonkini. 

“Najib bukan Perdana Menteri untuk BN, tetapi pemimpin untuk semua lapisan masyarakat," katanya.