Thursday, June 23, 2011

Perjuangan Hipokrit Pas...

Wajah sebenar Pas terdedah

Pada tahun 1995, ketika berlangsungnya pilihan raya umum, penulis ada bertanya kepada seorang warga emas yang berusia 80-an kenapa beliau menyokong Pas, jawapannya, “Pas hendak menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam.”

Jumaat lalu pula ketika berbual dengan seorang mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi yang menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke – 57 di Taman Melewar, Gombak, penulis turut bertanya soalan yang sama, jawapannya, “Pas dipimpin oleh para ulama dan kita sebagai orang Islam kena sokong”.

Perjuangan menegakkan negara Islam dan memperkasakan kepimpinan ulama inilah dua faktor utama yang mendorong sejak tahun 1951 kenapa sebahagian umat Islam di negara ini menyokong Pas. Bagi mereka yang taksub, Pas adalah Islam, Islam adalah Pas. Pintu hati dan fikiran mereka sudah ditutup untuk melihat segala pengorbanan dan kejayaan UMNO yang telah memartabatkan Islam sehingga Malaysia menjadi negara Islam contoh.

Tetapi apa yang berlaku sepanjang Muktamar Pas yang berakhir semalam sudah menjadi bukti bahawa parti itu kini bukanlah pejuang negara Islam dan tidak lagi dipimpin oleh para ulama sebagai pemain utama. Sebaliknya golongan ulama hanya ditempatkan di Dewan ulama dan menganggotai Majlis Syura yang belum tentu suara mereka akan didengari biarpun dikatakan menjadi badan pemutus perjalanan politik Pas. Ternyata sekali, Pas menyambut 60 tahun usianya pada tahun ini dengan menyaksikan golongan ulama semakin terpinggir daripada arus perdana politik Pas.

Tewasnya calon-calon berlatar belakang agama bagi kerusi-kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden serta Ahli Jawatankuasa Pas pusat sudah menjadi bukti bahawa ahli-ahli Pas kini sudah beralih arah. Mereka semakin hilang keyakinan kepada kepimpinan ulama untuk menerajui parti itu dalam mencapai impian ke Putrajaya bersama-sama sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh puak-puak yang menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pemilihan berlaku mengenai betapa perlunya profesional menerajui Pas ternyata memberi kesan. Ahli-ahli Pas termasuklah perwakilan telah disogokkan dengan pemahaman bahawa kepimpinan ulama Pas adalah lemah, tidak agresif, tidak mempunyai visi dan tidak akan mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Oleh itu jika Pas mahu bersama-sama meraih kuasa satu kapal dengan PKR dan DAP maka pemilihan kali ini perlu memastikan golongan profesional terutamanya mereka yang ‘berkhiblatkan’ Anwar mencapai kejayaan. Ternyata usaha itu berjaya. Pas kini dikuasai sepenuhnya oleh golongan yang sebahagian besarnya adalah penyokong kuat Anwar, PKR dan DAP. Kegagalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membaca percaturan politik yang dilakukan oleh kumpulan penyokong Anwar dalam Pas telah memungkinkan beliau turut terjebak dan terikut-ikut dengan keghairahan untuk ke Putrajaya.

Tindakan Abdul Hadi yang menganggap barisan terpilih dalam pemilihan kali ini adalah kabinet pilihan raya juga menimbulkan persoalan apakah selama ini Pas yang mengetengahkan ulama sebagai peneraju utama tidak yakin bahawa golongan itu boleh berjaya dalam pilihan raya? Terbuktilah sudah bahawa muktamar Pas kali ini memaparkan wajah sebenar parti itu dalam era politik negara.

Pas telah tersasar jauh atau sudah meninggalkan perjuangan Islamnya yang menjadi faktor utama kenapa sebahagian umat Islam di negara ini meyokong mereka. Pas yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama bagi menegakkan hukum Allah di negara ini sudah tidak boleh lagi dilihat sebagai parti Islam tulen. Parti Islam hanya ada pada nama sahaja tetapi dari segi visi, matlamat dan tujuan Pas kini sebaris atau satu kapal bersama dua parti secular lain iaitu PKR dan DAP.

Kalau sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap bahawa Pas tidak boleh bekerjasama dengan UMNO kerana UMNO mengamalkan dasar kebangsaan, apakah sekarang Pas boleh memberi jaminan dasar Islamnya kekal dengan perjuangan menegakkan negara Islam sudah ditinggalkan dan digantikan dengan negara kebajikan? Kenapakah baru sekarang Pas begitu beria-ia hendak mewujudkan negara kebajikan sedangkan sejak 30 tahun lalu Pas bercakap soal negara Islam sehingga UMNO dihina, dicaci dan suatu ketika dituduh kafir? Bukankah satu ketika dulu Abdul Hadi yang menganggap Perlembagaan negara adalah perlembagaan kafir justeru adakah dengan bekerjasama dengan PKR dan DAP, Pas akan berupaya menubuhkan perlembagaan Islam?

Penulis berani menyatakan bahawa impian Pas untuk menegakkan Islam melalui kerjasama tersebut hanyalah mimpi disiang hari.

PKR dan DAP sama sekali tidak akan bersetuju dengan perjuangan seumpama itu. Sebaliknya Pas hanya akan tunduk kepada telunjuk kedua-dua parti berkenaan sahaja. Apatah lagi sepanjang muktamar berlangsung tidak ada seorang pun perwakilan dalam perbahasan mereka mendesak supaya Pas dominan dalam pakatan pembangkang. Sebaliknya mereka juga terus hanyut dengan hembusan angin perubahan yang melanda kepimpinan Pas dan keterujaan ke Putrajaya sehinggakan mereka melihat PKR dan DAP adalah ‘saudara politik’ paling sempurna.

Mungkin mereka juga yakin bahawa kepimpinan ulama dan perjuangan menegakkan negara Islam sudah tidak lagi relevan jika Pas mahu ke Putrajaya. Oleh itu pada pandangan mereka tidak apalah kalau kedua-dua perkara itu dikorbankan asalkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti Pas menjadi kerajaan bersama-sama PKR dan DAP. Namun dalam keterujaan itu, mereka tidak harus lupa bahawa pilihan raya bukan berkaitan dengan sokongan penyokong Pas, PKR dan DAP tetapi rakyat secara keseluruhannya.

Golongan pemerhati terutamanya orang Melayu ramai diluar Pas. Mereka akan menilai apa yang berlaku dalam muktamar kali ini dengan penuh minat. Wajah sebenarnya Pas dalam perjuangan politik di negara ini sudah terdedah dalam muktamar yang berlangsung. Pas kini tidak ada bezanya dengan parti-parti politik lain. Jika mereka suatu ketika mengecam UMNO kerana belkerjasama dengan MCA dan MIC, kini mereka pula menyanjung tinggi kerjasama dengan PKR dan DAP.

Kalau dulu mereka kata memperjuangkan Islam menjadi matlamat utama, sekarang misi utama ialah menawan Putrajaya, soal apa akan berlaku kepada perjuangan Islam, itu bukanlah lagi perkara yang perlu diutamakan.

Berikutan apa yang berlaku sepanjang muktamar kali ini, maka Pas tidak perlu lagi mendabik dada bahawa mereka parti Islam yang memperjuangkan Islam dan akan berusaha menegakkan Islam melalui kepimpinan ulama.

Ia kerana semua itu sudah tidak ada lagi dalam kamus perjuangan Pas. Yang ada ialah matlamat menumbangkan UMNO dan BN dengan mengikut telunjuk parti sekular PKR dan DAP melalui barisan kepmipinan baru Pas yang mempunyai latar belakang ‘berwarna-warni’.


- Oleh Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment