Friday, February 3, 2012

BAHANA BILA PENDIDIKAN ‘DIPOLITIKKAN’


(Oleh Zulkifli Jalil)

Orang kata kalau hendak tahu sejarah awal kerancakan pembangunan di Selangor, tanyalah mereka yang tinggal di Jalan Klang Lama. Penduduk-penduduk yang rata-ratanya orang Melayu disitu tinggal di jajaran Kampung Jaya (atau Taman Datuk Harun Idris), Kampung Medan (Taman Medan), Sungai Way dan Kampung Lindungan. Mereka ini cukup faham dan ‘masak’ benar dengan pahit jerihnya kerajaan negeri Selangor sekitar awal tahun 1970an untuk merencana, menggarap serta menaikkan kemajuan orang Melayu.

Ia bukan mudah, berdikit-dikit dan sehinggalah yang disaksikan hari ini. Dan kalau adapun orang lama di jajaran kampung-kampung berkenaan, mereka akur bahawa manfaat dari kerja keras kerajaan BN itu telah pun dinikmati oleh kanak-kanak dan cucu mereka.

Bagi yang lahir sekitar 1960an dan 70an disitu, tentunya sudah menghantar anak-anak belajar ke Universiti Malaya dan beberapa universiti diseluruh negara. Mereka di Jalan Klang Lama ini, sudah ‘akur’ dengan pembangunan yang mencacak termasuk melihat bagaimana lombong-lombong disekitarnya sudah pun berganti dengan pusat membeli-belah Sunway Pyramid dan kolej-kolej swasta. Demikian juga berdekatan Sungai Way yang berganti dengan lebuh-lebuh raya yang pembinaanya ala barat.

Penulis yang masih mempunyai ramai rakan-rakan, kenalan dan sanak saudara di sekitar Jalan Klang lama baru-baru ini bertanya tentang dasar kerajaan negeri Selangor sedia ada – kerajaan PKR Selangor. Mereka menujahkan soalan kepada penulis apa nak jadi dengan Selangor terutama akan nasib dan masa depan orang Melayu.

Antaranya, mereka mempersoalkan dasar kerajaan negeri sekarang terhadap bidang pendidikan. Dari pengamatan penulis, jika diambil kira skop pandangan mereka di Jalan Klang Lama, sebahagian besar rakyat Selangor khususnya pengundi berdaftar semakin mula berfikir-fikir. Mereka sudah semakin buka mata atas segala tindak-tanduk kerajaan negeri Selangor dalam soal pembangunan negeri.

Ini tentu sekali senada dengan orang di Jalan Klang Lama khususnya dalam soal pendidikan. Hakikatnya, amat tepat dan kena pada masanya kini rakyat Selangor merenung sejenak janji-janji pakatan pembangkang dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-12. Kerana itu, agak melucukan pula apabila slogan ‘Selangorku’ dimunculkan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Adul Khalid Ibrahim.

Banyak janji dalam bidang pendidikan di Selangor tidak pernah tertunai. Malah ia, ‘terhumban’ lagi. Orang Melayu di Selangor pasti terkedu melihat tindakan tidak bijak kerajaan negeri itu melalui Yayasan Selangor menutup asrama mereka di ibu negara dan tindakan memindahkan asrama ke tempat lain.

Ia amat merugikan para pelajar luar bandar untuk mengikuti pengajian di kota metropolitan Kuala Lumpur. Tujuan asrama dibina adalah untuk menempatkan pelajar-pelajar luar bandar di sekolah-sekolah terbaik seperti Victoria, Institution, Cochrane Kuala Lumpur, Aminuddin Baki dan St. John agar mereka terdedah dengan pembelajaran urban.

Objektif ini memang tersurat dalam penubuhan Yayasan Selangor pada 5 November 1970 lalu. Jika asrama ini ditutup, ia mestilah dicarikan ganti yang lebih baik daripada ini. Jika tidak, mereka menutup peluang pelajar-pelajar bumiputera untuk belajar di Kuala Lumpur.

Sememangnya rakyat cukup maklum dengan situasi tidak menyenangkan di Selangor dalam tempoh empat tahun ini. Sejak PKR dan sekutunya, DAP memerintah Selangor, terdapat semacam satu usaha terancang pakatan dalam merencatkan pendidikan anak Melayu.

Dahulu, ketika Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hendak membina kampus UiTM di Serendah, ditolaknya oleh Abdul Khalid dengan pelbagai alasan. YBK ‘dilanyak kiri dan kanan’ hanya kerana tidak mahu menuruti permintaan Abdul Khalid supaya melantik beliau sebagai bos.

Akhirnya, rakyat Selangor rugi besar apabila kampus UiTM itu berpindah ke Melaka hasil tindakan pantas dan bijak Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Tahun lepas 2011, pula sekali lagi pakatan pembangkang menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sungai Besar atas alasan tidak efisen. Sedangkan IKYS adalah penempatan yang diwujudkan untuk pelajar Melayu yang gagal dalam SPM tetapi berminat dalam kursus teknikal.

Tiga tahun, tiga pusat pendidikan anak Melayu ditutup. Universiti Industri Selangor (Unisel) pula sedang mengalami kerugian dan semakin terpinggir serta tidak lagi menjadi pilihan pelajar. Adakah usaha terancang pakatan pembangkang PKR, Pas dan DAP untuk melanyak pendidikan anak Melayu? Kenapa Pas senyap? Mana perginya pejuang-pejuang ‘pakatan rakyat’ yang prihatin? Mana pergi ADUN-ADUN Pas yang heboh dengan ‘Negeri berkebajikan’ yang dilaungkan itu?

Rakyat Selangor bukannya buta. Rakyat Selangor sudah buka mata atas segala tindakan kerajaan negeri Selangor dalam bidang pendidikan. Sebelum ini pun, dikatakan ada perjumpaan penduduk dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan dibangkitkan penduduk tentang janji pakatan mahu memberi hadiah sebanyak RM1,000 seorang kepada setiap anak Selangor sebaik-baik sahaja menerima tawaran kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Namun PKR cuba berdolak-dalik dengan menyatakan duit RM1,000 itu mahu digantikan pula kepada keluarga miskin yang berpendapatan dibawah RM1,500 sebulan.

Slogan terbaru ‘Selangorku’ hanyalah sekadar kain rentang yang dijaja dimerata-rata dengan gambaran ‘kehebatannya’. Sedangkan pengisian komponennya kosong belaka. Kebanyakkan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk rakyat negeri Selangor pun kalau boleh hendak ‘disembunyikan’ dari pengetahuan rakyat. Ia akan terus ‘disenyapkan’ oleh pihak berkenaan sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-13. Seolah-olah peruntukan itu semuanya datang dari kerajaan negeri.

Cukup-cukuplah berbohong kepada rakyat Selangor. Sudah pasti nanti rakyat Selangor akan memberi ‘hukuman’ dan pengajaran sewajarya di kertas undi nanti.

No comments:

Post a Comment