Friday, February 3, 2012

SHAHNON DAKWA KERJASAMA PAS-DAP BERCANGGAH


KUALA LUMPUR 15 Jan – Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad menolak kerjasama Pas dan DAP kerana ia bercanggah dengan pendekatan yang diguna pakai Rasulullah SAW. Ahli Pas seumur hidup itu juga menganggap dalam Pakatan Rakyat tidak sama dengan amalan politik Islam yang diajar Nabi Muhammad SAW khususnya ketika termeterai ‘Perjanjian Hudaibiyah’ antara orang Islam dengan kaum Musyrikin Makkah pada 628 masihi.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Sik menegaskan contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW tidak berlaku dalam kerjasama PAS dan DAP kerana baginda tidak pernah bekerjasama dengan kaum Musyirikin Makkah, sebaliknya hanya rundingan sehingga tercapainya perjanjian damai itu.

“Dasar politik PAS langsung tidak sama dengan amalan politik Rasululah SAW bersama sahabatnya ketika membentuk Madinah,” katanya kepada Siasah baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahnon turut membidas kredibiliti Dewan Ulama PAS termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana semakin hilang taring dalam memperjuangkan dakwah politik Islam demi menjaga hubungan dengan DAP.

Lebih parah lagi apabila peranan Dewan Ulama PAS sering dipertikaikan kerana gagal berperanan mempertahankan Islam berikutan banyak keputusannya dibayangi golongan profesional parti Islam itu.

“Malah, saya sendiri sebenarnya tidak berapa faham dengan perjuangan dan latar belakang golongan profesional PAS ini. Apa disiplin ilmu individu yang mendakwa mereka adalah pemimpin profesional PAS? Kesimpulannya adalah PAS sekarang tidak sama macam dulu dan saya langsung tidak bersetuju dengan dasar politik semasanya selain konsep kerjasama pemimpin PAS dan DAP,” jelasnya.

Shahnon bersara daripada politik sejak 2004 kerana masalah kesihatan selain menumpukan terhadap dunia kesusasteraan. Beliau diiktiraf Sasterawan Negara kedua pada 1982 dan terkenal dengan novel kontroversi ‘SHIT’ pada 1999 serta menghasilkan pelbagai karya satira termasuk Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Rentong (1965), Terdedah (1965) serta Srengenge (1973) yang menerima anugerah Novel Tahunan Malaysia pada 1970.

No comments:

Post a Comment