Tuesday, November 22, 2011

DAKWAT KEKAL TIDAK KEKAL DAN ORANG JOHOR MURTAD?


Dakwat kekal yang diperjuangkan oleh pihak pembangkang agar digunakan pada pilihanraya umum akan datang terbukti tidak kekal seperti yang didakwa. Itulah pendedahan yang dibuat oleh blog Papa Gomo (www.papagomo.com).

Papa Gomo yang membuat demontrasi sendiri penggunaan dakwat kekal dan keberkesanannya mendapati penggunaan bahan itu boleh mencetuskan huru-hara ketika proses pembuangan undi kerana dakwat tersebut nyata mudah ditanggalkan.

“Jelas terbukti buat kita seluruh rakyat Malaysia bahawa dakwat yang dikatakan kekal ini adalah tidak kekal sama sekali seperti mana yang dinyatakan oleh pihak pembangkang. Malah tuntutan pihak Bersih yang mendesak SPR menggunakan dakwat kekal pada PRU ke-13 juga jelas terbukti agenda jahat yang dirancang bersama PKR, Pas dan DAP demi memenuhi hasrat mereka menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak sihat,” kata Papa Gomo.

Katanya, pembangkang akan memanipulasi kelemahan dakwat kekal dengan menggerakkan jentera mereka untuk menghilangkan dakwat tersebut setelah seseorang pengundi habis membuang undi bagi membolehkan mereka mengundi lagi.

“Bila berlaku hal sedemikian maka akan ada pula kumpulan yang memboikot sewaktu proses pengundian berjalan yang mana kita sendiri boleh bayangkan situasi yang tegang akan berlaku disetiap pusat pembuangan undi,” katanya.

Kata Papa Gomo, dengan bukti video yang ditampilkan itu, beliau mencabar pembangkang untuk menafikan apa yang didedahkan itu dan para pemimpin mereka perlu memberikan bukti bahawa dakwat kekal yang mereka perjuangkan tidak akan hilang dalam tempoh lima minit.

Jeffry Damien (jeffrydamien09.blogspot.com) berkata, terbukti penggunaan dakwat kekal merupakan satu percubaan pembangkang untuk membuat penipuan ketika hari pengundian pilihan raya umum nanti dan atas itulah isu ini dibangkitkan agar tunduk kepada kehendak mereka.

“Bayangkan keadaan semasa hari pengundian nanti. Berapa ramai yang akan mengundi berkali-kali? Tidakkah haru-biru? Pembangkang sengaja nak cetuskan huru-hara sebab mereka dah tahu mereka dah tidak ada peluang untuk menang besar macam dulu (2008). Jadi dengan memaksa kerajaan tunduk desakan mereka supaya menggunakan dakwat kekal yang tak kekal itu, (maka) peluang mereka untuk meraih undi lebih besar pasti dalam tangan. Inilah sifat kelompok yang terdesak nak peluk Putrajaya. Hanya dengan mencetuskan ketidakstabilan politik dalam negara saja mampu merealisasikan impian mereka untuk berkuasa,” katanya.

Sementara itu, blog Pisau (www.pisau.net) pula mendedahkan rakaman video ceramah selebriti Bob Lokman yang menuduh rakyat Johor yang bekerja di Singapura sebagai murtad kerana meninggalkan solat.

Dalam rakaman video tersebut, Bob Lokman mendakwa rakyat Johor terbabit murtad kerana meninggalkan solat Subuh ekoran terpaksa keluar rumah seawal 5 pagi untuk memasuki negara itu dan kembali pada sebelah petang sehingga mereka tiada masa untuk bersolat.

“Maka kesemuanya dihukum murtad. Begitulah penghinaan dan dihukum murtad terhadap rakyat Johor. Bob Lokman beranggapan beliau sudah setaraf alim ulama dengan hanya menyertai Pas kemudian sudah boleh mengkafirkan orang lain,” kata Pisau.

Blog KL Boyz Channel (klboyzwangsa.blogspot.com) mempersoalkan cara Bob Lokman berfikir kerana sebelum ini dia menyalahkan rakan-rakan artis sehingga dia hidup dalam kejahilan, menyalahkan kerajaan kerana anaknya jahat tingkah laku dan kini memurtadkan orang Johor yang bekerja di Singupara pula.

“Apa yang cuba dibuktikan oleh Bob Lokman? Adakah kerana beliau menyertai Pas (maka) akan jadi selesai segala dosa yang dilakukannya dizaman jahiliahnya? Baru saja setahun jagung dah pandai nak beri ceramah sehingga mufti Perak Harussani dipersalahkan juga. Hebat sangat ke ilmu agama Bob Lokman ni berbanding Mufti Perak?,” bidas blog ini.

Blog Rajahmas (rajahmas.blogspot.com) pula berkata, ceramah sedemikian akan menambahkan lagi kebencian orang ramai terhadap Bob Lokman. Katanya, beliau sepatutnya berdakwah mengikut cara sunnah, cara Nabi Muhammad SAW atau cara para sahabat Nabi yang tidak mengada-adakan sesuatu tanpa ilmu dan akal kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan, membuatkan umat Islam yang lemah iman berputus asa terhadap rahmat Allah.

“Apakah tiada tindakan terhadap mana-mana individu yang berceramah agama tanpa tauliah sehingga mereka tergamak merendahkan akidah dan iman orang lain?” tanya beliau.

No comments:

Post a Comment