Tuesday, November 22, 2011

TERPULANGLAH MAHU AMBIL ATAU TIDAK BANTUAN RM100 UNTUK PELAJAR SEKOLAH


Beratus buah sekolah nampaknya sudah mengagih-agihkan pemberian bantuan sebanyak RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dari tahun 1 hingga tingkatan 5 diseluruh negara. Kebanyakkan ibu bapa dan penjaga pada sesi persekolahan 2012 tersenyum gembira. Masing-masing pulang dengan bantuan persekolahan RM100 kepada setiap anak yang bersekolah yang diberi oleh Kerajaan Pusat.

“Wang bantuan RM100 itu mesti diberi sepenuhnya, jangan kurang satu sen pun,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran ketika mengulas terdapat sekolah memotong bayaran wang RM100 bagi kegunaan pembayaran yuran PIBG.

Kerajaan memperuntukkan bantuan sebanyak RM530 juta bagi membiayai kira-kira 5.3 juta pelajar diseluruh negara. Amat besar jumlah itu. Bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana atas dasar kebertanggungjawaban Kerajaan Pusat. Tetapi atas dasar saksama maka semua pelajar diseluruh negara layak mendapatkannya.

Maknanya anak golongan berkemampuan pun dapat. Kini terpulanglah kepada budi bicara ibu bapa atau penjaga yang berkemampuan sama ada hendak menerima atau tidak wang RM100 itu. Kalau tak keberatan, dermakan sahaja kepada tabung sekolah. Janganlah tak mahu terima, kemudian membuat cerita yang kurang enak didengar.

Sebagai kerajaan adalah tugas Perdana Menteri dan saf kepimpinannya mencari jalan untuk mengurangkan beban sara hidup yang kian meningkat ditanggung oleh rakyat terutama golongan bawahan.

Sekurang-kurangnya pemimpin negara menemui formula bagi membantu meringankan beban ibu bapa untuk membuat persiapan sesi persekolahan 2012. Melalui bantuan RM100 setiap pelajar, bermakna jika sebuah keluarga mempunyai lima orang anak yang bersekolah maka mereka mendapat RM500. Jika seorang bermakna dapat RM100 sahaja. Ini adil dan saksama. Soal untung keluarga yang anaknya ramai bersekolah berbanding dengan keluarga yang punya seorang anak bersekolah - bukan isu.

Lumrah masyarakat kita, apabila sudah diberi timbul pula rungutan – kenapa diberi awal takut wang itu habis sebelum sesi persekolahan 20012 bermula? Serba salah dibuatnya, sedangkan pihak sekolah mengalami tekanan apabila telefon pejabat sekolah asyik berdering apabila pihak ibubapa bertanyakan bila wang bantuan itu hendak diagihkan setelah kerajaan mengumumkan telah memasukkan wang bantuan ke akaun sekolah. Jika lambat diagihkan, pelbagai cerita dilemparkan kepada pihak sekolah yang menyimpan wang itu.

Sekarang, mana-mana ibu bapa yang telah menerima wang tersebut, pandai-pandailah menyimpannya atau terus dibelanja untuk membeli pakaian dan perlalatan sekolah lebih awal. Ingatlah, bukan mudah kerajaan hendak beri RM100 begitu sahaja. Jadi jangan lupa ucapan terima kasih kepada kerajaan.

Walaupun dapat RM100, ia amat bermakna kerana ramai ibu bapa dapat terus rasa faedah daripada Bajet 2012. Kalau kerajaan hendak beri bantuan ini setiap tahun pun baik juga. Malah bukan mustahil ada juga dalam diam-diam pemimpin dan ibubapa yang propembangkang turut mengambil wang bantuan RM100 itu.

Ingatlah, ia bukan wang dari sumber haram. Kerajaan juga tidak menggunakan peruntukkan wang bajet tahun depan. Inilah yang pembangkang pertikaikan kononnya keputusan kerajaan mengagihkan bantuan RM100 dalam Bajet 2012 itu sekarang belum pun mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

Kerajaan ada cara dan ikhtiar. Bayaran bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah adalah daripada dana sedia ada dalam Kumpulan Wang Akaun Penyelesaian Utama Perbendaharaan pada 2011. Ia telah mendapat kelulusan Perbendaharaan.

Jadi elok kita ucapkan syabas dan terima kasih kepada Datuk Seri Najib yang mengotakan janjinya seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2012.

Kepada mereka yang sudah menerima bantuan RM100 ini, panjatkanlah rasa syukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana kita masih ada kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat.

No comments:

Post a Comment