Sunday, April 8, 2012

Keyakinan 'kata-kata' Daim

Oleh NIZAM YATIM


TUN Daim Zainuddin menyertai Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan pada 1984 dan kemudian meletakkan jawatan itu pada 1991. Kemudian pada 1999 sekali lagi beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan tetapi mengambil keputusan meletakkan jawatan dua tahun kemudian.

Selain ketokohan dalam bidang politik, beliau juga mempunyai rekod cemerlang dalam sektor korporat khususnya hartanah apabila membangunkan Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri di Kuala Lumpur pada 1973. Ketika itu jumlah pemaju hartanah bumiputera sangat kecil dan boleh dibilang dengan jari.

Ekoran rekod cemerlang Daim dalam politik dan ekonomi itu, pandangan beliau tentang kedua-dua bidang itu sentiasa ditunggu-tunggu.

Sebelum Pilihan Raya Umum 2008 misalnya, beliau ialah satu-satunya tokoh yang secara terbuka meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kehilangan beberapa negeri dan akan mencatatkan keputusan terburuk dalam pilihan raya itu.

Pada masa itu tidak seorang pun percaya kepada ramalan beliau. Setelah keputusan pilihan raya itu diumumkan, semua orang terkejut kerana ramalan Daim tepat.

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak tempoh hari ketika menyampaikan syarahannya di Universiti Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur, beliau turut meramalkan pembangkang akan memenangi beberapa kerusi tambahan di negeri itu, tetapi yakin BN akan terus berkuasa dengan 'majoriti selesa' dan firasatnya terbukti benar.

Pada Ahad lalu dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Daim yang bersikap agak merendah diri sambil menegaskan beliau tidak mahu dilihat sebagai peramal politik, tetap memberikan firasat bahawa UMNO dan BN mempunyai kelebihan berbanding pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

"Terdapat tanda-tanda keyakinan baru terhadap ekonomi negara. Ada kepastian dan kebolehpercayaan; saya sentiasa memberi penekanan terhadap kedua-dua perkara ini apabila ditanya mengenai keadaan ekonomi pada bila-bila masa.

"Saya percaya BN mempunyai kelebihan yang lebih baik untuk mendapat keputusan lebih cemerlang sekarang berbanding tahun-tahun sebelumnya," kata bekas Bendahari UMNO itu.

Antara faktor keyakinan Daim itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat lebih berkebolehan berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membawa perubahan politik dan ekonomi.

Menurut beliau, Najib telah menyertai politik lebih awal berbanding Anwar. Selain kelebihan dari segi senioriti, baginya anak Perdana Menteri kedua itu juga telah diuji dengan pelbagai dugaan serta ranjau paling sukar dan pemimpin itu mempunyai pemikiran amat tajam dan sangat berkeyakinan apabila berdepan dengan khalayak ramai.

Anwar pula disifatkan Daim sebagai seorang yang tidak memiliki keupayaan untuk memahami isu ekonomi kompleks berbanding Najib yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi industri dari Universiti Nottingham, Britain.

Ketua Pembangkang itu turut disifatkannya cenderung untuk menghafal perkara-perkara mengenai ekonomi dan kemudian mengulang seolah-olah dia membaca daripada lirik lagu.

Mengulas pandangan Daim itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak mengakui faktor Najib telah memberi harapan baru untuk BN dan negara.

Beliau berkata, sikap keterbukaan Perdana Menteri yang bertekad mahu membela nasib semua kaum menyebabkan kepimpinan beliau dihargai dan disenangi semua pihak.

"Populariti Najib adalah kelebihan kepada BN. Saya lihat sokongan golongan muda terhadap beliau juga turut meningkat," katanya.

Tambahnya, pelbagai transformasi dalam bidang ekonomi dijangka akan turut mempengaruhi pengundi tradisi Melayu, Cina dan atas pagar untuk beralih menyokong BN.

"Keadaan ekonomi negara yang semakin kukuh membuktikan Najib seorang pemimpin yang dinamik dan berkebolehan," katanya.

Mohamed Mustafa turut sependapat dengan Daim bahawa faktor pergolakan dalaman parti-parti pembangkang kini boleh dimanfaatkan bagi menarik sokongan rakyat terhadap BN.

"Pihak pembangkang kini menghadapi masalah kepimpinan dalam parti komponen mereka dan mereka juga berdepan dengan pelbagai masalah di negeri-negeri yang ditadbir sejak 2008," ujarnya.

Dalam pada itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan turut bersetuju dengan pandangan Daim bahawa parti komponen BN kini dilihat dapat bekerjasama rapat sebagai satu kumpulan.

"Saya melihat keadaan sekarang adalah positif dan jika semua parti terus bekerja keras sudah tentu ia akan membantu kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum PRU-13 diadakan, antaranya membabitkan penyelarasan tangga gaji baru kepada penjawat awam dan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Sementara itu, beberapa veteran UMNO yang diminta mengulas keyakinan yang diluah Daim terhadap kepimpinan Najib mengakui ia adalah selaras dengan realiti semasa kerana kebanyakan rakyat di peringkat akar umbi memandang tinggi kebolehan Perdana Menteri untuk membawa transformasi kepada negara.

Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail berkata, orang ramai berpandangan pelbagai program transformasi yang direncanakan oleh Najib boleh memacu negara untuk mencapai status negara maju pada 2020.

"Najib telah menunjukkan keprihatinannya kepada rakyat dalam segala bidang terutamanya aspek transformasi politik, peningkatan taraf ekonomi serta kebajikan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, BN yang dipimpin Najib mempunyai peluang cerah untuk memperoleh mandat lebih besar daripada rakyat pada PRU-13 kelak.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, turut sependapat bahawa BN diterajui Najib mempunyai peluang lebih baik berbanding pihak pembangkang yang kini semakin kelam-kabut.

"Usaha-usaha transformasi yang dibawa oleh Najib memang bagus dan membawa banyak keuntungan kepada rakyat," ujarnya.

Jika ramalan Daim sebelum ini terbukti benar, maka berdasarkan realiti semasa, firasat beliau mengenai peluang BN pada PRU-13 tidak mungkin tersasar jauh.

No comments:

Post a Comment