Sunday, April 8, 2012

Budaya asabiah dan pengkhianat agama


DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


MEMERHATIKAN gelagat politik mutakhir, ada semacam paradoks sedang berlaku dalam masyarakat.

Satu pihak sedang mempertimbangkan nilai-nilai moral dan etika bermasyarakat manakala satu lagi mempersoalkan kewajaran bayangan keputusan yang dicipta berdasarkan keresahan peribadi.

Keputusan mahkamah yang bakal dibuat pada 9 Januari 2012 dijadikan umpan untuk mengheret seluruh masyarakat agar merubah peraturan dan undang-undang sedangkan dalam hal lain kelompok tersebut meminta agar peraturan dan undang-undang dilaksanakan dengan tegas bagi membendung sesuatu perkara yang buruk.

Persoalannya, kenapa membuat keputusan lebih awal sedangkan keputusan sebenar belum dibuat pada hal sudah terlalu banyak peluang diberikan untuk membela diri. Kenapa ingin mengheret rakyat dalam persoalan peribadi?

Jiwa anarkis dan penyemarakan sikap antagonis itu merupakan suatu bentuk pengkhianatan kerana melupakan bahawa bentuk kesalahan yang bakal diputuskan itu adalah bersifat peribadi dan bukannya berkaitan dengan politik.

Sejarah Islam juga pernah mencatat, tercetusnya perang saudara seperti Perang Jamal dan Siffin, disebabkan penyusupan masuk kelompok anarkis. Jiwa antagonis yang dibudayakan dalam kehidupan menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh.

Keruntuhan dinasti-dinasti Islam seperti Umayyah, Abassiah, Andalusia, Fatimiah, Othmaniah dan Moghul menjadi bukti betapa rakusnya jiwa antagonis dalam kalangan sesetengah umat Islam sendiri. Justeru, Allah mengingatkan Rasul-Nya agar tidak cenderung bersahabat dengan pengkhianat kerana mereka sentiasa berusaha menghancurkan kedamaian yang dicipta selama ini.

Berhubung perkara ini, Allah SWT menegaskan dalam firmannya bermaksud: "Janganlah kamu terpengaruh dengan golongan pengkhianat itu, yang selalu bersumpah dan hina sikap dan amalannya, yang selalu mencela dan menyebarkan fitnah untuk perpecahan (umat), menolak segala kebajikan (dan kemajuan orang), mereka yang melampau dan menentang (ajaran agama) dan melakukan dosa" (Surah Al-Qalam Ayat 10-12).

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyeru umat manusia agar mempunyai sifat timbang rasa dan mementingkan kedamaian. Allah yang mengkehendaki supaya semua hamba-Nya hidup di dunia ini dengan aman dan sejahtera serta taat kepada-Nya dengan menjauhi kekejaman, perbalahan dan permusuhan. Bukankah secara tegas juga al-Quran menuntut agar umat lslam berdakwah dengan hikmah, memberi peringatan dengan baik, berdialog dan bertukar fikiran dengan cara yang terbaik.

Golongan pengkhianat ini bersikap melampau dalam agama dan ini berpunca daripada kejahilan dan ketaksuban yang melulu serta tidak membudayakan ajaran Islam yang sebenar. Kemunculan golongan ini menjadi satu fenomena politik dalaman yang berselindung di sebalik agama untuk mengkhianat dan memusnahkan negara sendiri dengan pelbagai tipu daya.

Dalam diri manusia ada beberapa tabiat buruk yang mana mungkin akan lenyap begitu sahaja bila berada dalam lingkungan persatuan yang utuh. Namun apabila timbulnya gejala-gejala perpecahan, maka muncullah golongan pengkhianat ini yang sememangnya menantikan peluang mendampingi orang yang mula memberontak (yang keluar daripada keputusan ramai).

Sebab itulah Islam, agama yang bermatlamat membebaskan manusia dari kejahilan dan kejumudan menggariskan pelbagai prinsip moral dan etika agar umat tahu batasan halal haram berpolitik.

Islam menentang keras pemikiran melampau. Marilah kita mencontohi keperibadian Rasulullah SAW yang berjaya meletakkan prinsip-prinsip musyawarah dan kebijaksanaan membuat keputusan dalam semua urusan demi kesejahteraan ummah dan agama. Demikian juga para ulama salaf yang mengamalkan dasar kesederhanaan dalam melaksanakan syariat.

Golongan pelampau ini merupakan orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran dan amalan. Tindak-tanduk mereka merupakan tindakan terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami ajaran Islam yang sebenar.

Bagi menjamin keamanan dan keselamatan, Islam menetapkan peraturan antaranya kisas, hudud dan takzir. Ini kerana rakyat yang tidak berdosa berhak mendapat kawalan dan jaminan keselamatan. Demonstrasi kempen bebaskan Anwar 901 yang dijangka pada 9 Januari ini jelas membuktikan adanya unsur-unsur pengkhianatan. Para pengkhianat ini akan membuat kerosakan dan merampas hak rakyat majoriti.

Namun bagi golongan pengkhianat tersebut, mereka tetap tidak mahu mengaku melakukan kerosakan. Malah mereka tetap yakin melakukan perkara yang betul walaupun hakikatnya mereka mencetuskan huru hara dan kerugian kepada masyarakat. Mereka juga turut memesongkan persepsi, mencorakkan perubahan undang-undang berdasarkan kepentingan diri.

Golongan pelampau agama ini sebenarnya lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Allah SWT memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik bukan dengan kekerasan. Al-Quran tidak pernah menyebut perihal perlakuan yang kasar dan keras kecuali dalam dua keadaan iaitu ketika di medan perang dan berhadapan dengan musuh, dan sewaktu melaksanakan hukuman yang disyariatkan ke atas orang yang berhak menerima hukuman dan tidak boleh merasa belas kasihan dalam menjalankan hukuman hudud.

Ingatlah, Allah memerintahkan kita membina kekuatan, bukan untuk mengancam dan menakutkan orang lain hatta masyarakat umum. Memiliki kekuatan bukan untuk menganiaya atau memusnahkan. Ia sepatutnya boleh digunakan untuk membangunkan ummah.

Bagi mengelak kejadian ini berlaku dan menganggu ketenteraman awam pihak keselamatan perlu mempertahankan undang-undang dengan lebih tegas.

Hakikatnya, langkah pencegahan dan pengawalan tersebut wajar dilakukan untuk mengawal keselamatan harta benda awam. Keselamatan negara dan orang awam adalah lebih diutamakan daripada membela seseorang yang cuba mempertikaikan undang-undang dan sistem kehakiman kerana dibayangi oleh ketakutan rasa bersalah.

Langkah pencegahan tersebut juga sangat penting untuk menghadapi keganasan yang ditimbulkan oleh mana-mana pengkhianat atau penjenayah tanpa sebarang tolak-ansur.

Selain itu, ia juga akan memberi kesempatan dan pertimbangan kepada mereka yang mengaku silap dan sebagainya. Agama telah menggariskan kata-kata panduan iaitu kesilapan pemerintah dalam memaafkan pesalah itu lebih baik dan lebih disenangi Allah daripada kesilapannya dalam mengambil tindakan kepada pesalah.

Justeru sudah tiba masanya umat dijernihkan pemikiran mengenai budaya politik yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran agar membebaskan diri daripada belenggu budaya politik asabiah yang menyesatkan.

No comments:

Post a Comment