Wednesday, September 5, 2012

Malaysiakini perlu kembali kepada perjuangan asal - Tokoh Akademik




 Portal berita Malaysiakini dilihat semakin agresif dan tersasar daripada matlamat asal penubuhannya dalam mempelbagaikan pilihan masyarakat negara ini untuk mendapatkan sumber berita.

Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Adnan Hussein berkata, portal berita itu kini dilihat semakin jauh daripada prinsip dan pegangan yang selama ini dilaung-laungkan iaitu mahu menjadi portal berita yang bebas dan seimbang.
Katanya, kebanyakan laporan yang disiarkan Malaysiakini lebih memihak kepada parti pembangkang dan tidak mustahil portal berita itu turut mempunyai agenda sendiri cuba memburukkan imej kerajaan.

"Laporan yang disiarkan seolah-olah mahu menunjukkan apa yang dilakukan kerajaan adalah salah dan tidak sepatutnya dilakukan.

"Sudah tidak nampak di mana kebebasan dan keseimbangan yang mereka laungkan dahulu. Justeru, Malaysiakini perlu kembali kepada permulaan mereka yang mahu membawakan berita yang seimbang tanpa memihak kepada mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai artikel bertajuk Persoalan integriti Malaysiakini yang disiarkan Utusan Malaysia, hari ini.

Dalam artikel berkenaan, beberapa isu yang dilaporkan Malaysiakini seperti dakwaan seorang penduduk tetap mendapat taraf warganegara dalam masa empat jam dan lebihan kertas undi di pusat mengundi SK Pasai Siong Tengah, Sarawak pada pilihan raya negeri itu April tahun lalu didapati tidak benar.

Adnan yang juga bekas Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM menambah, portal berita yang diterajui oleh Steven Gan itu juga didapati tidak sensitif terhadap isu-isu yang berkait rapat dengan pola masyarakat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Malah katanya, Malaysiakini juga dilihat seperti cuba mahu mencabul kredibiliti dunia kewartawanan dan media.

"Dalam beberapa laporan berita yang disiarkan, ia dilihat agak tergesa-gesa dan pihak Malaysiakini tidak menyemak semula fakta yang ada sebelum menyiarkan berita tersebut sehingga akhirnya terbukti tidak benar," jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Siti Zabedah Mohd. Shariff berkata, integriti sesebuah organisasi media merupakan faktor penting yang harus didukung oleh organisasi itu sendiri.
Namun katanya, walau apa pun yang dilaporkan, para pembaca sendiri bertanggungjawab untuk menilai kesahihan dan fakta yang disampaikan.

"Kita sebagai pembaca tidak seharusnya terpengaruh dan terus mempercayai setiap laporan yang dibaca. Kita jangan terlalu bergantung kepada satu-satu bahan bacaan dan ia harus dipelbagaikan.
"Apa yang penting, sebagai pembaca kita harus mengimbangi bahan bacaan supaya dapat memastikan sesuatu laporan itu adalah benar," kata beliau.

No comments:

Post a Comment