Wednesday, September 5, 2012

Sikap hipokrit, cauvinis DAP perlu jadi amaran kepada Melayu



 Sikap DAP yang disifatkan sebagai rasis, hipokrit dan cauvinis oleh bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim baru-baru ini perlu menjadi amaran kepada masyarakat terutama orang Melayu.

Pengasas Utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia, Datuk Seri Jaafar Shaari berkata, parti tersebut dilihat memang seperti itu dari dulu lagi.

"DAP mengatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) rasis sedangkan mereka lebih rasis dan hipokrit. UMNO dan BN tidak rasis yang mana mereka telah berjaya membangunkan negara dengan kerjasama antara semua kaum.

"Saya menyeru kepada orang Melayu yang masih dalam DAP untuk tidak berterusan menjadi seperti 'boneka' mereka. Nilai dan lihat semula segala tindakan dan pendirian yang telah dibuat oleh DAP selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tulisan Tunku Aziz dalam akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times, Sabtu lalu.

Tunku Aziz berkata, sepanjang hampir empat tahun bersama DAP, beliau sudah dapat mengetahui di mana arah sebenar perjuangan parti itu.

Tambah Jaafar, penyertaan orang Melayu dalam DAP juga dilihat bagi menunjukkan mereka satu parti yang tidak rasis.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman berkata, sikap itu tidak memberi manfaat kepada negara dan rakyat yang berbilang kaum.

"Sekiranya dibiarkan berterusan, ia boleh membawa kepada kemarahan kaum-kaum lain dan jika lebih teruk lagi akan berlakunya kebencian di antara kaum. Perkara sebegini perlu dielakkan sama sekali.

"Kita tidak mahu keamanan dan kemajuan yang dinikmati rakyat dan negara terjejas ekoran bermulanya dengan kebencian yang boleh menjadi lebih teruk sekiranya tidak dikawal," jelas beliau.
Katanya, DAP juga sering mengatakan lebih demokrasi, adil dan sebagainya namun sebaliknya adalah berbeza.

Roslan berkata, rakyat sendiri perlu menilai dan menolak parti yang mempunyai sifat sebegitu agar rakyat negara yang berbilang kaum dan agama terus menikmati kehidupan sejahtera.

No comments:

Post a Comment