Saturday, October 1, 2011

Malaysiakini, KISAH MISMAH DAN KOD 71

( Oleh : Zulkiflee Bakar )

Heboh di alam siber apabila Malaysikini melaporkan konon seorang wanita Indonesia bernama Mismah memperoleh kerakyatan Malaysia dalam tempoh empat jam selepas mendapat status penduduk tetap, kemudian tersenarai sebagai bakal pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Isu itu telah digunakan oleh para penulis blog pro pembangkang untuk memburuk-burukkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), SPR dan kerajaan. Bagaimanapun, para penulis blog pro kerajaan terutama blog Double Y (yuseri-yusoff.blogspot.com) mengeluarkan bukti-bukti menunjukkan bahawa laporan portal berita itu tidak tepat dan bersifat fitnah.

Penulis ini berkata, wartawan yang membuat laporan itu, Kuek Ser Kuang perlu bertanggungjawab kerana dia yang menyediakan berita palsu berhubung Mismah dan selepas diasak oleh para penulis blog pro kerajaan, beliau menuduh pula SPR yang menukar status wanita terbabit dalam rekod mereka. Sehubungan itu, beliau menyeru wartawan terbabit didakwa dibawah akta-akta sedia ada.

“Bagi saya wartawan Kuek Ser tidak berfikir panjang dalam menilai keharmonian dan keselamatan sesuatu komuniti. Laporan berita yang ditulisnya berniat jahat menyerang agensi-agensi kerajaan. Kuek Ser berniat melemahkan keyakinan rakyat terhadap agensi penting macam JPN. Wartawan Malaysiakini ini wajar dikenakan dengan akta-akta yang telah wujud dalam negara kita, supaya menjadi pengajaran kepada wartawan lain agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sesuatu berita,” katanya.

Laporan JPN jelas menunjukkan bahawa tidak wujud sebarang proses kelulusan dalam tempoh empat jam sebaliknya Mismah sudah menjadi penduduk tetap selama 29 tahun dan kelulusan kerakyatannya pada Januari lalu.

Blog Papa Gomo (www.papagomo.com) juga membidas Malaysiakini kerana sanggup membuat laporan tidak benar dan rekaan setelah menyedari pembangkang semakin terdesak untuk mencari sokongan rakyat.

“Persoalan pada kita semua apa tindakan kerajaan Malaysia pula? KDN ( Kementerian Dalam Negeri) yang seharusnya mengambil tindakan tegas terhadap Malaysiakini yang telah membuat satu pembohongan ketara dalam pelbagai isu namun sehingga kini ditikam bagaikan tak lut oleh KDN. Apa yang telah Malaysiakini lakukan jelas membuat rakyat memandang serong terhadap kerajaan BN, walhal isu Mykad tersebut adalah satu konspirasi terancang pemimpin pakatan pembangkang,” katanya.

Blog Musram Rakun (musramrakun-man.blogspot.com) pula mahukan KDN menampilkan Mismah, individu yang menjadi bahan oleh pihak pembangkang untuk mempertikaikan ketelusan JPN, SPR dan Jabatan Imigresen.

“Jangan tunggu lagi, ambilah iktibar dari perhimpunan Bersih kerana lambat bertindak akhirnya meletup,” katanya.

Sementara itu blog KL Boyz (klboyz-wangsa.blogspot.com) pula berkata, sebenarnya bukan suatu perkara yang mudah bagi seseorang warganegara asing untuk memperoleh kerakyatan negara ini dan mereka perlu mendapat memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan. Katanya, jika mereka sudah berusaha untuk mendapatkan MyKad begitu lama dan dengan bersusah payah, kenapa mereka dihalang untuk mengundi kerana mereka telah menjadi rakyat Malaysia yang faham dan akur dengan undang-undang negara.

“Sebenarnya pembangkang ketakutan kerana ramai mereka yang berstatus penduduk tetap telah diluluskan oleh kerajaan untuk mendapatkan kerakyatan negara Malaysia setelah lama menginap disini yang rata-rata telah lebih dari 20 tahun,” katanya.

Selain Mismah, isu kod 71 pada kad pengenalan pengundi juga dijadikan bahan oleh pihak pembangkang untuk memperlekehkan SPR yang konon kod tersebut adalah kod bagi rakyat berstatus penduduk tetap tetapi dibenarkan mengundi.

Sehubungan itu MyMassa (mymassa.blogspot.com) mendedahkan bahawa jika benar kod negeri 71 bagi pengundi berstatus penduduk tetap, bermakna beberapa pemimpin mereka termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali juga boleh dianggap berpenduduk tetap seperti Mismah kerana mempunyai kod negeri yang sama.

Katanya, tuduhan bahawa mereka yang mempunyai kad pengenalan dengan kod negeri 71 sebagai pengundi hantu telah membongkar bahawa Azmin, Zuraidah Kamarudin (Ketua Wanita PKR) dan Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) juga dianggap berstatus penduduk tetap dan pengundi hantu.

“Jika BN menggunakan kod negeri 71 sebagai pengundi hantu, bagaimana dengan tiga ekor hantu ini? Dah sah-sah Azmin, Saifuddin dan Zuraidah juga penduduk tetap. Pembangkang lagi teruk bukan pakai penduduk tetap sebagai pengundi tetapi sebagai pemimpin,” katanya..

Blog House PK (parpukari .blogspot.com) pula berkata, isu kod negeri 71 yang dibawa oleh para blogger pro pembangkang ternyata makan diri sendiri apabila didapati para pemimpin mereka juga mempunyai kod negeri yang sama dengan pendatang.

“Maka tidak hairanlah mengapa mereka menentang sistem biometrik yang mahu diperkenalkan poleh SPR dengan bersungguh-sungguh sehingga sanggup menipu mengatakan penggunaan dakwat kekal celup jari lebih cekap berbanding sistem biometrik yang didakwa boleh ditipu. Sebabnya mudah sangat, kalau sistem biometrik diperkenalkan dan dikuatkuasakan, ramailah pemimpin pakatan haram yang akan didedahkan sebagai PATI (pendatang asing tanpa izin),” katanya.

BERTINDAK BETULKAN FAHAMAN SERONG PLURALISME

Fahaman pluralisme agama membawa maksud semua agama adalah sama dan benar. Namun hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar disisi Allah hanyalah Islam.

Kini pemikiran golongan moderate mendakwa semua bidang bersangkutan dengan hak asasi hidup adalah sama termasuk agama. Dengan mudah, kepelbagaian agama dianggap sama dan semua agama adalah sama.

Menggunakan konsep toleransi dalam agama mengajak masyarakat hidup dalam harmoni dan saling hormat menghormati, maka yang ditekankan dalam pemikiran ialah semua agama di negara ini adalah sama.

Salah seorang pemimpin politik beragama Islam di negara ini yang sering membawa mesej fahaman pluralism agama ialah Anwar Ibrahim. Ternyata dalam mesej bekas pemimpin utama Angkatan Belia Islam itu kepada rakan twitternya, Anwar mempertahankan fahaman pluralisme agama. Walaupun sebelum ini Datuk Seri Najib Tun Razak telah member ingatan bahawa ia merupakan ancaman baru bagi umat Islam di negara ini.

Kita boleh faham kenapa Anwar mempertahankannya. Beliau ingin menggunakan fahaman pluralism agama sebagai senjata untuk menarik sokongan bukan Islam kepadanya. Anwar pernah mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan didalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak salah untuk menarik pengundi bukan Islam untuk menyokong mana-mana parti tetapi bukan dengan cara mempermainkan agama. Perbuatan ini satu kesalahan yang amat besar kerana ia melibatkan soal akidah.

Konsep pluralisme agama ini juga sama sahaja tahap bahayanya dengan ajaran sesat, kerana ia menyerang umat Islam secara individu dengan menggoyahkan keyakinan, keimanan dan kefahaman terhadap kesucian agama Islam. Paling menyedihkan serangan sebegini boleh mendorong umat Islam menjadi murtad tanpa mereka sendiri sedari.

Amat berbahaya jika akidah umat Islam sudah terpesong dan rosak akibat fahaman itu. Jadi fahaman itu harus ditolak. Perkara-perkara melibatkan akidah seperti ini mesti kita betulkan. Kita boleh hormat agama lain tetapi jangan samakan Islam dengan agama lain. Sebab itu bagi mengekang pengaruhnya, para ulama, guru-guru agama, pihak berkuasa agama termasuk Jakim, Yadim, IKIM, jabatan dan majlis agama Islam negeri-negeri kena memantau dan menyedarkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman itu.

Jika tindakan tidak diambil dari sekarang, ia boleh merebak lebih besar. Apatah lagi fahaman ini boleh mengelirukan dan menyesatkan umat Islam. Sesungguhnya tidak ada umat Islam Malaysia yang tergamak membiarkan agama suci ini rosak akibat wujudnya pemimpin-pemimpin yang seperti ini.

Kepada Anwar, bertaubatlah dan segera kembali kepangkal jalan. Usah terlalu mengikut nafsu mahu mencapai matlamat politik. Anwar patut kembali mengamalkan ajaran Islam sebenar dan tidak perlu mengambil mana-mana fahaman lain untuk berpolitik.

- Zulkiflee Bakar

Wednesday, July 20, 2011

JANGAN BIARKAN PUAK MUNAFIK ROSAKKAN MALAYSIA

Perang Uhud adalah diantara peperangan yang masyhur dalam sejarah Islam. Ia berlaku selepas Perang Badar yang mencatitkan kemenangan pertama tentera Islam dibawah pimpinan Rasulullah SAW. Jika Perang Badar masyhur kerana 313 orang tentera Islam berjaya menewaskan tentera musyrikin yang berjumlah lebih 1,000 orang, Perang Uhud diingati kerana kekalahan yang menyebabkan ramai pengikut-pengikut Rasulullah mati syahid termasuk bapa saudaranya Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib.

Menurut sejarah, ada dua faktor utama yang menyebabkan kekalahan dalam Perang Uhud. Pertama, kira-kira 300 orang kaum munafik yang diketuai Abdullah bin Ubai telah berpaling tadah pada saat-saat akhir, meninggalkan Rasulullah bersama 700 tentera Islam untuk menentang tentera musyrikin yang jauh lebih ramai.

Faktor kedua, kira-kira 50 pemanah yang Rasulullah perintahkan supaya tidak meninggalkan kubu lereng bukit telah melanggar perintah arahan kerana mengejar harta yang ditinggalkan oleh tentera musyrikin di medan pertempuran. Tanpa pasukan pemanah, tentera Islam yang berada ditempat yang stratejik dilereng bukit telah hilang kekuatanmenyerang dan tentera musyrikin yang melarikan diri berpeluang mengumpul semula kekuatan dan melakukan serangan balas yang akhirnya memberikan mereka kemenangan.

Perang Uhud memberikan pengajaran besar bagi memelihara kekuatan umat Islam. Mesejnya amat jelas iaitu jangan percaya kepada puak munafik dan taatlah kepada perintah ketua atau pemerintah. Orang munafik lebih berbahaya daripada orang-orang kafir yang memusuhi Islam kerana mereka pandai berpura-pura melindungi kemunafikan mereka. Pada zaman Rasulullah, mereka turut membina sebuah masjid dengan tujuan untuk memecah-belahkan umat Islam seperti dalam firman Surah At-Taubah ayat 107:-

“Dan (diantara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah :”Kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).”

Senang cakap, mereka ini ibarat pepatah Melayu “gunting dalam lipatan”. Tidak mudah untuk mengenali mereka kerana pakaian dan cara hidup mereka zahirnya juga sama seperti lain-lain orang Islam. Malah ada yang kelihatan lebih warak dari segi pakaian dan perbuatan.

Bagaimanapun mereka ini hanya dapat menyembunyikan diri daripada mata kasar kebanyakkan orang. Mereka tidak dapat menyembunyikan diri daripada pandangan mata hati orang-orang beriman, jauh sekali daripada pengetahuan Allah SWT. Orang-orang munafik ini asalnya adalah orang-orang beriman tetapi disebabkan mereka lebih taat kepada hawa nafsu daripada tunduk kepada Allah akhirnya mereka menjadi kafir dan munafik. Mereka ini amat susah untuk kembali kepangkal jalan kerana Allah telah menutup pintu hati mereka. Berapa banyak sekalipun nasihat dan teguran diberikan mereka tidak akan berubah seperti firman Allah dalam surah Al-Munafikun ayat 3 :-

“Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati, kerana itu mereka tidak dapat mengerti.”

Kepada umat Islam yang mengaku beriman, berwaspadalah dalam mengharungi kehidupan dunia. Janganlah kita diperangkap godaan nafsu dan hasutan syaitan. Segalanya bermula daripada nafsu. Ingatlah bahawa ibu bapa manusia, Nabi Adam dan Hawa telah terkeluar daripada syurga kerana runtunan hawa nafsu dan hasutan iblis (penghulu syaitan). Peringatan mengenai bahaya nafsu ini dinyatakan berulang-ulang dalam Quran. Antaranya daripada surah At-Jaatsuyah ayat 23 :-

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat)? Maka mengapa mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”.

Sebab itulah Rasulullah pernah mengingatkan para sahabat baginda bahawa jihad yang lebih besar selepas berperang membela agama ialah jihad melawan hawa nafsu. Orang-orang munafik ini telah menjadikan nafsu mereka mereka sebagai tuhan kerana mereka membelangkangi Quran dan sunah Rasulullah dalam pendirian dan tindak tanduk mereka. Lantaran itu Allah menutup rapat hati mereka daripada menerima kebenaranNya. Tertutup hati sekalipun pada zahirnya mereka memakai seban, ketayap, selalu bersolat jemaah di masjid, malah ada yang kadang kala berdiri diatas mimbar membaca khutbah Jumaat.

Malangnya, ramai umat Islam yang lemah imannya mudah mempercayai mereka. Sebabnya, mereka ini mempunyai penampilan atau ketrampilan yang memikat selain pandai berkata-kata seperti firman Allah dalam surah Al-Munafikun ayat 4 :-

“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka (ketrampilan luaran) menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan yang tersandar (tidak kuat dan bersandar kepada kekuatan orang lain). Mereka mengira bahawa pada mereka tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka (mereka cepat melatah). Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?.”

Jika anda masih sukar untuk mengenali siapakah orang munafik yang akan terus berada dikalangan umat Islam sejak zaman Rasulullah hingga keakhir zaman, maka renungilah hadis yang masyhur ini :-

Hadis sahih Muslim : Dari Abdullah bin Amru, Rasulullah SAW pernah bersabda :”Ada empat sifat yang bila dimiliki maka pemiliknya adalah munafik tulin. Dan barang siapa yang memiliki salah satu diantara empat tersebut, itu bererti ia telah menyimpan satu tabiat munafik sampai ia tinggalkan. Apabila ia berbicara ia berbohong, apabila bersepakat ia berkhianat, apabila ia berjanji ia mengingkari dan apabila bertelingkah ia buat curang.”

Berbahaya sungguh orang munafik ini. Jika orang kafir memusuhi Islam, memang mudah kita mengenali mereka dan berwaspada, tetapi tipu muslihat orang munafik sangat licik sebagai yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Sebenarnya pada hari ini umat Islam di Malaysia juga sedang berhadapan dengan puak munafik. Malah mereka ini tanpa segan silu menyokong puak kafir yang memusuhi Islam secara terbuka, sebagaimana yang akhirnya berlaku pada zaman Rasulullah. Mereka begitu berani kerana mereka mendapat sokongan daripada sebilangan umat Islam sendiri. Apakah mereka yang menyokong ini sudah Allah tutup pintu hati mereka? Jika Allah sudah menutup pintu hati mereka, tiada siapa lagi yang boleh menolong. Namun kita masih berpeluang memberikan nasihat dan teguran kepada kalangan yang baru berjinak-jinak dengan puak munafik ini. Jika mereka saudara mara atau handai taulan kita, sayangilah mereka. Nasihatilah mereka sebelum hati mereka terbenam ke lubuk munafikan dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Dan kepada mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulullah, marilah kita perangi puak munafik ini dengan menjauhkan diri daripada mereka. Jika mereka cuba melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang negara, tentanglah mereka dengan cara terbaik yang dibenarkan oleh syariat dan undang-undang negara.

Dan desaklah pihak berkuasa dan pemerintah supaya mengambil tindakan keras mengikut undang-uindang terhadap mereka. Kita wajib melindungi negara yang dicintai daripada kerosakan dan kemusnahan angkara puak kafir dan munafik ini.

KISAH NIK AZIZ…


Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat menunjukkan pemikirannya yang semakin bercelaru. Tok Guru itu tidak habis-habis memalukan Pas.

Terbaru beliau mempertahankan kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew agar umat Islam di republik itu tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran dan nilai Islam.

Aneh, seorang pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam boleh berkompromi dengan kenyataan Kuan Yew. Mujurlah sebahagian pemimpin Pas tidak senada dengan beliau. Antaranya Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang membidas Kuan Yew. Beliau ada keberanian menyanggah pengasas Singapura itu dengan hujah-hujah ilmiah mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Namun sikap Nik Aziz tidak mengejutkan. Jika beliau boleh tunduk dengan DAP maka tiada sebab untuk tunduk dengan Kuan Yew yang merupakan pengasas PAP, parti yang memerintah Singapura sehingga kini. Ini kerana PAP dan DAP ada jalinan stratejik. Sebab itu Nik Aziz tidak berani untuk bersuara mempersoalkan Pengerusi DAP Karpal Singh yang terus menolak penubuhan negara Islam. Pertama kali dalam sejarah ada pemimpin utama Pas yang menjadi alat DAP. Awang dapat tahu ramai ahli Pas yang kecewa dengan kenyataan Nik Aziz lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya kecil Tenang. Malah ada yang menyatakan beliau sudah tidak lagi relevan selain menjadi liabiliti kepada Pas. Awang juga berpendapat begitu. Anak Nik Aziz, Nik Abduh jauh lebih bijak dan wajar diberi peranan untuk meneruskan legasi bapanya suatu hari nanti.

Beberapa hari lalu pula, Nik Aziz mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa mereka yang tidak mengundi Pas sebagai golongan jahiliah. Awang sudah tidak larat geleng kepala apabila bercakap tentang kecelaruan Nik Aziz. Menteri Besar Kelantan itu nampaknya riak dan semakin banyak menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik. Dua tokoh agama dari Kelantan iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Ulama Pas, Mohd Noor Idris dan Pengagas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah turut menyelar kenyataan Nik Aziz. Awang harap Nik Aziz tidaklah meletakkan imejnya seperti pengamal ajaran sesat Ayah Pin yang sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Jika dibuat perbandingan siri-siri kenyataan Nik Aziz sejak bertahun-tahun lalu dan Ayah Pin, rasanya Tok Guru itu lebih banyak mengelirukan umat Islam. Tetapi apa kan daya, ketaksuban oleh sebahagian ahli dan penyokong Pas, menengelamkan rasional. Sedihnya, diantara Islam sejati dan fahaman Nik Aziz, ramai juga yang sanggup memilih untuk akur dengan Tok Guru yang celaru.

Thursday, June 23, 2011

Perjuangan Hipokrit Pas...

Wajah sebenar Pas terdedah

Pada tahun 1995, ketika berlangsungnya pilihan raya umum, penulis ada bertanya kepada seorang warga emas yang berusia 80-an kenapa beliau menyokong Pas, jawapannya, “Pas hendak menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam.”

Jumaat lalu pula ketika berbual dengan seorang mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi yang menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke – 57 di Taman Melewar, Gombak, penulis turut bertanya soalan yang sama, jawapannya, “Pas dipimpin oleh para ulama dan kita sebagai orang Islam kena sokong”.

Perjuangan menegakkan negara Islam dan memperkasakan kepimpinan ulama inilah dua faktor utama yang mendorong sejak tahun 1951 kenapa sebahagian umat Islam di negara ini menyokong Pas. Bagi mereka yang taksub, Pas adalah Islam, Islam adalah Pas. Pintu hati dan fikiran mereka sudah ditutup untuk melihat segala pengorbanan dan kejayaan UMNO yang telah memartabatkan Islam sehingga Malaysia menjadi negara Islam contoh.

Tetapi apa yang berlaku sepanjang Muktamar Pas yang berakhir semalam sudah menjadi bukti bahawa parti itu kini bukanlah pejuang negara Islam dan tidak lagi dipimpin oleh para ulama sebagai pemain utama. Sebaliknya golongan ulama hanya ditempatkan di Dewan ulama dan menganggotai Majlis Syura yang belum tentu suara mereka akan didengari biarpun dikatakan menjadi badan pemutus perjalanan politik Pas. Ternyata sekali, Pas menyambut 60 tahun usianya pada tahun ini dengan menyaksikan golongan ulama semakin terpinggir daripada arus perdana politik Pas.

Tewasnya calon-calon berlatar belakang agama bagi kerusi-kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden serta Ahli Jawatankuasa Pas pusat sudah menjadi bukti bahawa ahli-ahli Pas kini sudah beralih arah. Mereka semakin hilang keyakinan kepada kepimpinan ulama untuk menerajui parti itu dalam mencapai impian ke Putrajaya bersama-sama sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh puak-puak yang menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pemilihan berlaku mengenai betapa perlunya profesional menerajui Pas ternyata memberi kesan. Ahli-ahli Pas termasuklah perwakilan telah disogokkan dengan pemahaman bahawa kepimpinan ulama Pas adalah lemah, tidak agresif, tidak mempunyai visi dan tidak akan mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Oleh itu jika Pas mahu bersama-sama meraih kuasa satu kapal dengan PKR dan DAP maka pemilihan kali ini perlu memastikan golongan profesional terutamanya mereka yang ‘berkhiblatkan’ Anwar mencapai kejayaan. Ternyata usaha itu berjaya. Pas kini dikuasai sepenuhnya oleh golongan yang sebahagian besarnya adalah penyokong kuat Anwar, PKR dan DAP. Kegagalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membaca percaturan politik yang dilakukan oleh kumpulan penyokong Anwar dalam Pas telah memungkinkan beliau turut terjebak dan terikut-ikut dengan keghairahan untuk ke Putrajaya.

Tindakan Abdul Hadi yang menganggap barisan terpilih dalam pemilihan kali ini adalah kabinet pilihan raya juga menimbulkan persoalan apakah selama ini Pas yang mengetengahkan ulama sebagai peneraju utama tidak yakin bahawa golongan itu boleh berjaya dalam pilihan raya? Terbuktilah sudah bahawa muktamar Pas kali ini memaparkan wajah sebenar parti itu dalam era politik negara.

Pas telah tersasar jauh atau sudah meninggalkan perjuangan Islamnya yang menjadi faktor utama kenapa sebahagian umat Islam di negara ini meyokong mereka. Pas yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama bagi menegakkan hukum Allah di negara ini sudah tidak boleh lagi dilihat sebagai parti Islam tulen. Parti Islam hanya ada pada nama sahaja tetapi dari segi visi, matlamat dan tujuan Pas kini sebaris atau satu kapal bersama dua parti secular lain iaitu PKR dan DAP.

Kalau sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap bahawa Pas tidak boleh bekerjasama dengan UMNO kerana UMNO mengamalkan dasar kebangsaan, apakah sekarang Pas boleh memberi jaminan dasar Islamnya kekal dengan perjuangan menegakkan negara Islam sudah ditinggalkan dan digantikan dengan negara kebajikan? Kenapakah baru sekarang Pas begitu beria-ia hendak mewujudkan negara kebajikan sedangkan sejak 30 tahun lalu Pas bercakap soal negara Islam sehingga UMNO dihina, dicaci dan suatu ketika dituduh kafir? Bukankah satu ketika dulu Abdul Hadi yang menganggap Perlembagaan negara adalah perlembagaan kafir justeru adakah dengan bekerjasama dengan PKR dan DAP, Pas akan berupaya menubuhkan perlembagaan Islam?

Penulis berani menyatakan bahawa impian Pas untuk menegakkan Islam melalui kerjasama tersebut hanyalah mimpi disiang hari.

PKR dan DAP sama sekali tidak akan bersetuju dengan perjuangan seumpama itu. Sebaliknya Pas hanya akan tunduk kepada telunjuk kedua-dua parti berkenaan sahaja. Apatah lagi sepanjang muktamar berlangsung tidak ada seorang pun perwakilan dalam perbahasan mereka mendesak supaya Pas dominan dalam pakatan pembangkang. Sebaliknya mereka juga terus hanyut dengan hembusan angin perubahan yang melanda kepimpinan Pas dan keterujaan ke Putrajaya sehinggakan mereka melihat PKR dan DAP adalah ‘saudara politik’ paling sempurna.

Mungkin mereka juga yakin bahawa kepimpinan ulama dan perjuangan menegakkan negara Islam sudah tidak lagi relevan jika Pas mahu ke Putrajaya. Oleh itu pada pandangan mereka tidak apalah kalau kedua-dua perkara itu dikorbankan asalkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti Pas menjadi kerajaan bersama-sama PKR dan DAP. Namun dalam keterujaan itu, mereka tidak harus lupa bahawa pilihan raya bukan berkaitan dengan sokongan penyokong Pas, PKR dan DAP tetapi rakyat secara keseluruhannya.

Golongan pemerhati terutamanya orang Melayu ramai diluar Pas. Mereka akan menilai apa yang berlaku dalam muktamar kali ini dengan penuh minat. Wajah sebenarnya Pas dalam perjuangan politik di negara ini sudah terdedah dalam muktamar yang berlangsung. Pas kini tidak ada bezanya dengan parti-parti politik lain. Jika mereka suatu ketika mengecam UMNO kerana belkerjasama dengan MCA dan MIC, kini mereka pula menyanjung tinggi kerjasama dengan PKR dan DAP.

Kalau dulu mereka kata memperjuangkan Islam menjadi matlamat utama, sekarang misi utama ialah menawan Putrajaya, soal apa akan berlaku kepada perjuangan Islam, itu bukanlah lagi perkara yang perlu diutamakan.

Berikutan apa yang berlaku sepanjang muktamar kali ini, maka Pas tidak perlu lagi mendabik dada bahawa mereka parti Islam yang memperjuangkan Islam dan akan berusaha menegakkan Islam melalui kepimpinan ulama.

Ia kerana semua itu sudah tidak ada lagi dalam kamus perjuangan Pas. Yang ada ialah matlamat menumbangkan UMNO dan BN dengan mengikut telunjuk parti sekular PKR dan DAP melalui barisan kepmipinan baru Pas yang mempunyai latar belakang ‘berwarna-warni’.


- Oleh Zulkiflee Bakar

Tak Kenal Tapi MenyintaiNya..

Apakah yang menyebabkan ummah, wilayah dan Negara Islam moden paling kerap ditimpa bencana? Dilanda peperangan demi peperangan. Samada diserang bukan Islam atau berperang sesama sendiri. Darah mengalir dibumi Palestin, Bosnia Herzegovinia, Chechnya, Iraq, Tunisia, Libya dan lain2 lagi.

Dilanda Tsunami yang paling buruk juga bumi Islam iaitu Acheh. Dilanda banjir yang mengorbankan banyak nyawa, juga Negara Islam iaitu Bangladesh dan Pakistan. Apakah itu sebagai ujian atau musibah kepada umat Islam? Adakah Allah SWT telah menzalimi kita umat agama terakhir yang diperintahkan memimpin manusia lain kejalan yang lurus?

“Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba2Nya akan tetapi hamba2Nya lah yang selalu menzalimi diri mereka sendiri” – surah Yunus ayat 44.

Jika kita benar2 yakin kepada Al-Quran sebagai petunjuk dari Allah, ayat diatas adalah sebahagian daripada jawapan yang wajib umat Islam terima. Apakah bentuk kezaliman yang telah kita lakukan kepada diri sendiri? Miskin kerana malas, bodoh kerana tidak mahu belajar, tidak pandai buat senjata canggih atau tidak bersatu kerana suka bergaduh?

Sebenarnya kezaliman paling besar ialah tidak beriman kepada Allah yang Maha Esa. Samaada tidak lagi menyembahNya atau menyekutukanNya atau sekadar tidak lagi taat kepadaNya atau sekadar melupai kekuasaanNya.

Akibatnya, Allah tidak lagi memberikan pertolongan kepada umat Islam sebagaimana pertolongan yang diberikan kepada Rasulullah SAW, para sahabat dan zaman empayar khalifah. Mereka mengembangkan Islam, membina ketamadun dan pemerintahan dengan iman dan penyerahan diri yang tidak berbelah bagi kepada Allah. Apabila empayar Islam sampai kezaman kemuncaknya, kemewahan telah menyebabkan pemimpin2 dan umat Islam melupai Allah.

Mereka mulai lupa bahawa rezki, kemuliaan, kekuatan, kekuasaan ilmu, nyawa dan segalanya adalah daripada Allah. Keadaan lebih teruk pada zaman kemudian apabila bukan islam lebih makmur, maju dan gagah. Umat Islam berasa daif, lalu turut terikut-ikut dengan gelagat keduniaan dan keakuan masyarakat bukan islam. Mereka cintakan dunia dan takut mati. Kita juga cintakan dunia dan takut mati. Pada hal orang2 yang beriman hanya takut kepada Allah, tidak kepada yang lain. Inilah tanda kita sudah hilang iman.

Kita umat Islam pada hari ini sudah lupa bahawa imanlah yang membolehkan Islam dikembangkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat baginda, khalifah2 dan pendakwah selepas zaman baginda sehingga akhirnya agama ini meliputi hampir dua pertiga dunia. Kajilah Al-Quran dan sirah Rasulullah, jelas bahawa imanlah menjadi kunci kekuatan umat Islam dahulu. Sebabnya orang2 beriman sentiasa mendapat pertolongan Yang Maha Kuasa, Maha Kaya lagi Maha Perkasa.

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan” – surah An Nahl ayat 97.

Janganlah terkejut atau pelik jika kita dikatakan tidak beriman. Nabi Muhammad sendiri tidak mengetahui apa itu iman hanya selepas mendapat wahyu daripada Allah.

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu ( Muhammad ) wahyu dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab (Al-Quran) dan tidak pula mengetahui apakah itu iman tetapi Kami menjadikan Al-Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang Kami kehendaki diantara hamba2 kami. Dan sesungguhnya kamu benar2 memberi petunjuk kepada jalan yang lurus” – surah Asy Syuura ayat 52.

Proses mengimankan Rasulullah dan para pengikut baginda berjalan selama 13 tahun melalui wahyu2 yang diturunkan kepada baginda ketika di Mekah sebelum berhijrahke Madinah.

Wahyu2 yang diturunkan di Mekah ini dinamakan Makkiyah. Surah2 Makkiyah berkisar kepada soal akidah atau keimanan. Ayat2 An Nahl dan Asy Syuura yang telah disebutkan adalah Makkiyah. Semasa di Mekah umat Muhammad belum lagi diwajibkan menunaikan solat, puasa dan ibadat haji.

Segala hukum hakam hanya diperintahkan melalui wahyu2 yang diturunkan setelah baginda berhijrah di Madinah. Pada hari in wahyu2 ini dinamakan Madaniyyah. Hanya dalam surah2 Madaniyyah terdapat firman Allah yang bermula dengan seruan “wahai orang2 yang beriman”, tidak pula Allah berfirman “wahai orang2 islam”. Maknanya setelah beriman, mereka hendaklah bertakwa dengan melaksanakan segala yang Allah perintahkan.

Pengukuhan iman amat penting kerana syariat agama yang meliputi akhlak dan ibadat tidak akan berdiri kukuh tanpanya. Sebaliknya pendidikan umat Islam pada hari ini lebih bertumpu kepada mengenal syariat agama. Itulah puncanya sebilangan besar umat Islam tidak kenal Allah, walaupun banyak pelekat yang berbunyi I LOVE ALLAH ditampal pada kereta. Tidak munasabah kita boleh jatuh cinta kepada seseorang yang tidak dikenali. Sudah kenal barulah datang rasa cinta.

Maha Suci Allah yang tidak boleh dilihat dan dibayangkan, bagaimana mahu kenal apatah lagi cinta kepadaNya? Sebenarnya Allah boleh dikenali melalui iman dan cinta kepadaNya akan datang bersama takwa dan amal soleh.

Disebabkan tidak mengenali Allah, maka iman yang kononnya ada dalam diri kita hanyalah bersifat ikut-ikutan atau pinggiran. Kita dengar ceramah di masjid, radio atau TV, kita pun berasa sudah kenal Allah. Pada hal yang bercerita itu sendiri mungkin belum tentu kenal Allah. Kita diajar disekolah tentang sifat 20 tetapi ustaz yang mengajar pun tidak begitu faham apa yang dituturkannya.

Renungkanlah firman Allah kepada Nabi Muhammad apabila sekumpulan orang Badwi yang telah memeluk Islam datang kepada baginda dengan pengistiharan bahawa mereka sudah beriman.

“Orang2 Arab Badwi itu berkata : Kami telah beriman. Katakanlah : Kamu belum beriman, tapi katakanlah kami telah tunduk ( Islam ) kerana iman itu belum masuk kedalam hatimu, dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” – surah Hujarat ayat 14.

Seterusnya Allah berfirman lagi :

“Sesungguhnya orang2 beriman hanyalah orang2 yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu2 dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang yang benar” – surah Hujarat ayat 15

Ulama Iblis menyerupai manusia..

Sulit sekali untuk menjawab soalan orang yang bertanya siapa ulama sebenar, kerana ulama tidak mempunyai identiti zahir yang boleh dikesan oleh pancaindera seperti paderi bagi agama Kristian dan sami bagi kepercayaan agama Buddha atau Hindu. Tidak ada lambang tertentu atau pakaian khusus yang membezakan antara ulama dengan golongan yang bukan Ulama. Juga tidak ada tanda2 istimewa yang meletakkan mereka maksum, suci atau khudus. Begitu juga dengan ulama PAS.

Kesulitan ini timbul kerana zaman ini ada orang yang tidak lagi menilai ulama berteraskan kepada ilmunya yang mendalam agama Islam, akhlaknya, kesolehannya, kewarakannya dan ketakwaannya. Tetapi lebih cenderung menamakan ulama itu semata2 kepada mereka yang berkelulusan dari pusat2 pengajian tinggi Islam, atau mereka yang bekerja dijabatan2 yang berhubung dengan urusan pentadbiran agama.

Paling anehnya ramai juga mereka yang melabelkan ulama itu pada mereka yang dapat mencipta imejnya dengan serban, jubah dan janggut. Atau mereka yang dapat berpidato dengan baik dan dapat membaca dalam ucapannya ayat2 al-Quran dan hadis dengan fasih. Atau mereka yang menjadi ahli kepada pertubuhan yang diberi nama ulama atau sebagainya.

Kecenderungan seumpama inilah yang menyebabkan timbulnya kekeliruan dan kecelaruan tentang pengertian dan konsep ulama sebenar, sehingga madlul ulama menjadi kabur. Lebih2 lagi apabila ada pihak2 tertentu yang gigih memperalatkan institusi ulama bagi kepentingan diri dan golongan untuk maksud duniawi.

Sebelum ini tidaklah sepayah hari ini untuk mengenali ulama Malaysia. Walaupun tidak ada seorang pun dikalangan mereka yang mendakwa sebagai ulama, tetapi mereka dikenali dan diiktiraf umum sebagai ulama.

Pengiktirafan yang diberi adalah kerana ilmunya yang memberi manfaat, tutur katanya meninggalkan kesan yang segar. Buku2 dan hasil penulisannya tersebar luas dan akhlaknya menarik. Mereka adalah penegak perkara2 baik ( makruf ) yang meliputi mungkar kejahilan, kemiskinan, kemunduran dan segala bentuk kelemahan.

Mereka adalah golongan yang selaras dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran surah Fatir ayat 28 sebagai golongan yang paling takut pada Allah. Ertinya ulama itu adalah golongan yang gemar kepada apa yang diredhai oleh Allah dan jauh daripada apa yang dimurkaiNya. Mereka adalah contoh teladan atau obor masyarakat. Tetapi tidak demikian bagi kebanyakan mereka yang bergelar ulama hari ini.

Syiekh Mustafa Masyhur dalam bukunya Al-Qidayah Wal-Jundiyah telah mencatatkan beberapa ciri yang patut ada pada seorang yang bergelar ulama. Antara lainnya, sentiasa mengharapkan keredahaan Allah. Jauh daripada penyakit hati yang dapat menghancurkan amal usahanya seperti riak, gila kuasa, kejar pangkat, cari pengaruh dan sebagainya. Berperangai penyantun, kasih sayang, lembut dan ramah. Suka bersahabat dengan semua orang tanpa memilih orangnya. Benar dalam kata2, perbuatan dan sikap, pemaaf dan mampu menahan marah.

Disamping itu ada pula golongan yang membuat ukuran ulama dari sudut kepentingan diri dan puak. Ulama yang tidak daripada golongan mereka dikatakan jahil dan orang jahil daripada golongan mereka didakwa sebagai ulama.

Mungkin si Anu itu benar2 alim orangnya, dapat memahami kitab2 tradisi islam, dapat membaca tuntutan masa dan kehendak tempat serta ramai pula murid yang berguru dengannya. Tetapi pandangan dan fikirannya tidak sealiran dengan golongan tertentu, maka alimnya si A itu tidak diberi pengiktirafan oleh golongan berkenaan.

Jika si A ini tidak alim orangnya, tidak pernah belajar agama, tetapi berimej agama, petah berbicara agama dengan sebutan istilah2 agama dengan fasih, kemudian dia menjadi ahli kepada persatuan ulama atau organisasi yang bernama agama, maka dialah ulama, walaupun orang yang didakwa sebagai ulama itu kerja menyulitkan orang ramai, menghalang kerja2 pembangunan dan kebajikan dan seiring membangkitkan kebencian dan kemarahan orang .

Semasa Pilihanraya umum 1999 dahulu ada seorang yang mendakwa dirinya ulama. Dia membawa cerita kononnya diDamansara, PJ ada seorang kaya yang mati. Jenazahnya bertukar menjadi khizir. Katanya dia sendiri bertanggungjawap menyempurnakan jenazah itu. Ceritanya ini disebarkan melalui pidatonya yang dirakam dan dijual dengan larisnya keseluruh negara.

Orang ramai percaya dengan cerita bohong itu kerana penceritanya adalah seorang yang didakwa sebagai ulama. Menjelang Pilihanraya itu juga Professor Datuk Shannon ( arwah ) ada menulis dan mengedarkan novel tulisannya berjudul SHIT. Buku itu menjadi debat hangat dikalangan orang ramai kerana ia sarat dengan maki hamun dan caci cerca. Buku ini amat laris dipasaran dan menjadi bahan debat diwarung2 kerana ada ulama yang menghalalkan maki hamun dan carut mencarut yang menjadi tema kepada buku tersebut dan mengeluarkan fatwa2 dan ayat2 suci al-Quran bagi mempertahankan dosa ahli2 mereka.

Masyarakat amat terpengaruh dengan mereka yang bernama ulama sehingga yang mungkar pun menjadi makruf dan makruf bertukar menjadi mungkar apabila ada ulama yang berkata begitu. Mereka tidak tahu membezakan diantara ulama sebenar yang dikatakan sebagai pewaris Nabi dengan orang yang berlakon sebagai ulama atau ulama politik atau ulama yang mencari habuan dunia dengan menjual agama.

Mereka adalah pelakon yang hebat. Mereka pandai berwatak sebagai orang yang bertakwa, warak, zuhud dan sebagainya. Pada episode yang lain mereka bertukar warna kepada keadaan biasa. Mereka ini adalah pelakon yang berjaya. Mereka juga ahli perniagaan bermodalkan agama. Perniagaan mereka laris dan menguntungkan, kerana ia mudah dibeli pengguna. Mereka lupa kepada amaran Allah bahawa kerja2 seumpama ini adalah dikutuk.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh sebuah hadis yang memberi erti,” Akan tiba kepada manusia suatu zaman. Tidak ada lagi Islam melainkan pada namanya. Tidak ada Ad-Din melainkan pada tulisannya. Mereka memakmurkan masjid, tetapi sunyi daripada sebutan nama Allah. Orang paling jahat pada zaman itu ialah ulama mereka. Dari mulut ulama jugalah keluar fitnah dan fitnah itu kembali kepada ulama. Dan itulah salah satu daripada alamat kiamat.”

Ahli Sufi pernah berkata,” …akan datang suatu zaman dimana Iblis akan menyerupai manusia untuk menyesatkan manusia”. Sekarang pun sudah nampak terang2 siapa manusia itu.