Thursday, December 22, 2011

SAMPAI BILA MAHU BOHONG?


Pada 17hb Dis 2011, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi membuktikan bekas Perdana Menteri itu pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999.

Menurut negarawan itu, beliau tidak pernah berbuat demikian seperti didakwa Ketua Pembangkang itu sebaliknya menolak permintaan daripada wakil Bank Dunia yang datang untuk menawarkan bantuan.

Cabaran itu dibuat ekoran portal propembangkang, Malaysiakini melaporkan Anwar ketika berucap pada majlis makan malam membincangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini, mendakwa Dr. Mahathir telah melakukan perbuatan yang akan merugikan negara itu.

Dalam reaksinya sehari selepas itu, Anwar cuba mencari alasan untuk tidak menyahut cabaran berkenaan termasuk mendakwa apa yang dibangitkannya melibatkan soal rasuah dan jenayah yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan bersumpah. Sebenarnya, berbohong, memutar-belit fakta dan memperalatkan siapa juga demi kepentingan politik yang menjadi tabiat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukanlah sesuatu yang baru.

Ini dapat dilihat pada 1998, apabila beliau mendakwa menyimpan enam kotak dokumen rahsia yang dikaitkan dengan kegiatan rasuah pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini tidak pernah didedahkan.

Pada 1999 pula, Anwar digambarkan akan meninggal dunia dalam tempoh terdekat berikutan terdapat konspirasi terancang untuk membunuhnya menggunakan racun arsenik. Isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi penyampai segala dakwaan Anwar itu turut menuduh suaminya disuntik dengan virus HIV semasa dalam penjara dan akan meninggal dunia dalam tempoh singkat kerana AIDS.

Isu keracunan arsenik dan virus HIV itu dibangkitkan ketika Anwar menghadapi pertuduhan meliwat pemandu, Azizan Abu Bakar. Pun begitu, walaupun diramal meninggal dunia dalam tempoh singkat, sehingga kini Anwar segar bugar dan pemeriksaan yang dilakukan doctor mendapati tiada sebarang sisa arsenik dalam tubuhnya.

Biarpun berhadapan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, kreativiti Anwar dalam menghasut dan meracuni fikiran rakyat tidak pernah luntur. Semua ini dilakukan bagi mengalihkan perhatian masyarakat terhadap pelbagai isu moral yang dihadapinya dan untuk mencapai matlamat menjadi Perdana Menteri yang di idam-idamkannya.

Pada tahun 2001, Anwar digambarkan berkeadaan sangat uzur hingga terpaksa berkerusi roda dan memakai pendakap leher kerana menghadapi penyakit belakang yang kronik. Penipuan mengenai penyakit yang dihadapinya terbongkar apabila satu rakaman video menunjukkan Anwar dalam keadaan sihat ketika berada di hospital.

Apabila Anwar dibebaskan daripada penjara pada tahun 2004, beliau dengan berkerusi roda dan memakai pendakap leher telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendapat rawatan di Hospital Munich, Jerman.

Sebaik saja tiba di Munich, stesen televisyen CNN menyiarkan siaran langsung yang menunjukkan beliau tidak lagi memakai pendakap leher dan boleh berjalan sendiri tanpa kerusi roda walaupun belum dirawat.

Dalam pada itu, tidak semena-mena apabila bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa diliwat pada Jun 2008, Anwar berkejar ke kedutaan Turki bagi medapat perlindungan dengan alasan menerima ugutan bunuh. Persoalannya siapa yang mahu membunuh Anwar? Pelbagai pihak selepas itu menyfatkan tuduhan beliau tidak masuk akal sama sekali, tambahan beliau tidak pernah membuat laporan polis berhubung ugutan itu.

Anwar juga mendakwa ulama terkenal, Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi turut menyokongnya apabila dituduh terlibat dalam kes meliwat Mohd. Saiful. Akhirnya, penipuan itu terdedah apabila Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang juga bekas peguamnya mendedahkan bagaimana beliau diminta menyediakan soalan berbentuk berat sebelah bagi mendapatkan fatwa Yusuf untuk menyokong Anwar.

Pada 17 Mac 2010, sekali lagi tembelang Anwar terdedah apabila bekas sahabat baiknya yang Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ketua Pembangkang itu pernah mendakwa mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melaksanakan misi rampasan kuasa 16 September 2008 yang tidak kesampaian.

Antara pembohongan Anwar yang didedahkan Zahrain ialah 31 ahli Parlimen BN akan melompat parti bagi menyertai pembangkang dan Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sedang menunggu di Istana Negara untuk mengesahkan bilangan yang melompat parti itu.

Bagi memperbaiki imejnya yang telah tercalar ekoran pendedahan Zahrain itu, Anwar sekali lagi menunjukkan taringnya sebagai ‘raja putar alam’ apabila mencanangkan di Dewan Rakyat kononnya gagasan 1Malaysia diilhamkan oleh APCO Worldwide, syarikat perunding Amerika Syarikat yang dituduhnya dibelakang kempen One Israel. Walaupun dicabar beberapa kali supaya membuktikan dakwaannya itu, Anwar gagal menyerahkan bukti terbabit kepada Parlimen yang kemudiannya memutuskan untuk menggantungkannya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 16 Disember 2010.

Zulkifli yang merupakan bekas orang kuat anwar ketika mengulas isu Apco itu berkata, antara sebab beliau tawar hati untuk terus bersama PKR adalah berikutan sikap Anwar yang memutar belitkan fakta.

“Kerana slogan 1Malaysia dan One Isreal yang kelihatan sama, maka terus dituduh Malaysia telah diresapi dan dipengaruhi Yahudi bagaimana pula dengan lambang mata Illuminati Yahudi dengan lambang satu mata PKR? Adakah wajar kalau orang menuduh ia dipengaruhi dan diresapi oleh unsur Yahudi?” katanya.

Mengenai isu sakit belakang yang dialami Anwar, Zulkifli berkata, beliau sendiri tidak sedar penipuan yang dilakukan berikutan kepandaian Ketua Pembangkang itu berbohong.

“Bayangkan saya yang menjadi peguamnya selama bertahun-tahun dan kerap menziarahi dia semasa dalam Penjara Sungai Buloh pun boleh kena kelentong begitu lama, ingat dia sakit belakang sampai tak boleh bangkit,” ujarnya.

Sementara itu Zahrain yang mengulas isu sama berkata, rakyat harus mengingati tarikh 16 September 2008 sebagai bukti pembohongan Anwar yang begitu jelas dan nyata. Mengenai cabaran Dr. Mahathir supaya Anwar menjunjung al-Quran berhubung isu surat kepada Bank Dunia, beliau menyifatkan dakwaan Penasihat PKR itu hanyalah strategi menggangu kepercayaan rakyat terhadap bekas Perdana Menteri itu dan BN

Katanya beliau dimaklumkan Anwar masa ini amat tertekan dengan kes liwatnya itu dan berikutan negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Nampaknya setelah hampir 12 tahun berlalu, rakyat Malaysia terus dibohongi Anwar. Persoalannya sampai bila beliau perlu berbohong dengan menganggap ia tidak akan disedari oleh sesiapa?

Ingatlah, bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru buat selama-lamanya. Semoga kedatangan 2012 yang dikaitkan sebagai era transformasi besar-besaran terhadap evolusi umat manusia akan membuat Anwar sedar mengenai kewajipan seseorang muslim untuk bercakap benar walalupun pahit.

Saturday, December 10, 2011

PAS PERLU TERIMA HAKIKAT


(Oleh Zulkiflee Bakar)

Ketika berlangsung muktamar tahunannya baru-baru ini, Pas dengan penuh bersemangat menguar-uarkan kepada ahli dan penyokong parti itu bahawa mereka sudah bersedia menggantikan UMNO. Pas berhujah UMNO kini semakin lemah dan tidak lag berupaya membela nasib orang Melayu, oleh itu tanggungjawab berkenaan akan terpikul dibahu Pas.

Itulah impian Pas dan itulah mimpi Pas, tetapi kelmarin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jawapan kepada angan-angan Pas itu.

Muhyiddin menegaskan,”apa yang akan berlaku hari ini bukan Pas ganti UMNO seperti dicanangkan oleh mereka. Pas takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti Pas“.

Seperti biasa sudah pasti Pas akan menganggap kenyataan Muhyiddin itu menunjukkan UMNO semakin takut dengan kekuatan Pas tetapi Pas tidak boleh menipu sendiri apatah lagi rakyat. Semua orang tahu apa yang terjadi kepada Pas apabila mereka mengikat perjanjian politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Segala-galanya mereka gadai dan pertaruhkan demi memastikan mereka tidak ditinggalkan olehk edua-dua parti itu dalam mengejar impian Putrajaya.

Oleh itu apa sahaja yang mereka lakukan, Pas tidak akan melihat kehadapan, sebaliknya akan menoleh dahulu untuk melihat reaksi DAP dan PKR. Ia kerana keyakinan diri Pas sudah semakin terhapus, Pas seolah-olah begitu lemah untuk berdiri sendiri dan semakin terpengaruh dengan janji-janji politik PKR dan DAP.

Atas sebab itulah demi kepentingan politik kekuasaan yang diburu, Pas sanggup mengorbankan perjuangan Negara Islam dan mengantikannya dengan Negara berkebajikan. Pelbagai hujah dikeluarkan oleh parti itu bagi ‘menghalalkan’ tindakan mereka mengubah hala tuju perjuangan, mereka mendakwa kononnya apa yang dilakukan tidak laridaripada semangat Islam yang diperjuangkan.

Tetapi hakikatnya sepertimana kata Muhyiddin, Pas sudah tidak ada lagi keberanian untuk bersuara lantang memperjuangkan Islam, kesudahannya Pas dilihat hanyalah ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang.

Pas perlu menerima hakikat bahawa parti yang paling dominan dalam pakatan pembangkang bukannya mereka tetapi sebaliknya adalah DAP, manakala PKR pula tidak peduli apa. Matlamat mereka hanya satu iaitu untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Justeru, Pas tidak boleh mendabik dada apatah lagi menyimpan impian untuk menggantikan UMNO kerana Pas tidak ada keberanian untuk menyanggah DAP. Sebab itulah DAP begitu berani menyentuh pelbagai isu sensitivf melibatkan orang Melayu dan umat Islam kerana mereka tahu Pas tidak akan berani menegur mereka.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Selangor, apabila Pas tidak mampu bertindak apa-apa apabila kerajaan negeri pimpinan PKR dan didokong kuat oleh DAP menghalang hasrat Pas untuk mengharamkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka. Pas hanya tunduk dan terpaksa akur dengan kehendak rakan sekutunya itu, malahan Pas juga diam membisu apabila DAP tanpa segan silu menyatakan bahawa apa pun berlaku, mereka mahu menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kalau pembangkang memerintah.

DAP membua tkenyataan seumpama itu tanpa mempedulikan hati dan perasaan pemimpin-pemimpin Pas yang sepatutnya perlu diberi keutamaan kerana bukankah dari segala segi, pemimpin Pas lebih layak?

Pas ditubuhkan lebih awal daripada PKR. Pemimpin Pas dilihat jauh lebih bermoral berbanding pemimpin PKR tetapi kenapa tidak ada sekumit pun kenyataan daripada DAP untuk melantik pemimpin Pas sebagai Perdana Menteri?

DAP hakikatnya tidak pernah menghormati Pas sebaliknya hanya mahu menjadikan parti yang dianggotai seratus peratus orang Melayu sebagai kuda ‘tunggangan‘ bagi mencapai cita-cita politiknya.

DAP tahu mereka tidak boleh bergantung kepada PKR kerana parti itu tidak ada kekuatan dikalangan orang Melayu tetapi Pas mempunyai keupayaan untuk ‘mencairkan orang Melayu dengan pendekatan agama yang dibawa.

Pas bukannya tidak sedar tentang niat serong DAP itu, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh Pas kerana Pas hanya mahu kuasa. Sebab itulah DAP tidak pernah peduli apa pun yang Pas kata kerana mereka tahu Pas ‘kemaruk kuasa‘. Kalau Pas mahu menentang DAP maka DAP akan bertindak menyingkirkan mereka daripada pakatan pembangkang.

Pas sudah tentu tdak mahu keadaan itu berlaku, oleh itu apa yang boleh Pas lakukan hanya menurut sahaja. Kalau benar Pas mahu menafikan kenyataan Muhyiddin atau tafsiran pelbagai pihak bahawa mereka hanya ‘pak turut‘, Pas perlu membuktikan dalam pilihanraya umum akan datang mereka bertanding lebih banyak kerusi daripada DAP dan PKR.

Ia kerana hanya cara itu Pas akan dominan, tetapi kita percaya Pas tidak akan mempunyai keberanian sedemikian, justeru janganlah orang Melayu mengharapkan apa-apa kepada Pas. Orang Melayu sebenarnya meletakkan masa depan mereka dalam bahaya jika mereka percaya jika kuasa pemerintahan diberikan kepada pakatan pembangkang, Pas akan mampu membela nasib mereka.

Percayalah Pas tidak ada kekuatan apatah lagi keberanian untuk menjadi wira dan pejuang kepada orang Melayu seperti mana apa yang dilakukan oleh UMNO dalam Barisan Nasional (BN). Ini kerana parti komponen dalam BN mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada UMNO dan yakin bahawa apabila UMNO menjadi tonggak pemerintahan negara, semua kaum mendapat pembelaan, sejarah sudah pun membuktikan fakta ini.

Tetapi ini berbeza jika pakatan pebangkang memerintah, segalanya ditentukan oleh DAP manakala PKR dan Pas hanya mengikut sahaja. Melalui pendekatan pemerintahan seumpama itu mampukah seluruh rakyat mendapat pembelaan sewajarnya manakala nasib dan kepentingan orang melayu akan terbela dan terpelihara?

Sudah pasti tidak! Atas sebab itulah ahli-ahli UMNO perlu memahami pesanan Muhyiddin bahawa mereka perlu yakin bahawa apa yang diperjuangkan adalah satu jihad untuk agama, bangsa dan negara, jihad untuk keadilan dan jihad untuk mempertahankan hak.

Rakyat terutamanya orang Melayu perlu dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan politik kekuasaan pembangkang dan kononnya Pas mampu menggantikan UMNO. Sebaliknya mereka perlu diyakinkan hanya UMNO sahaja mampu menjadi tonggak kekuatan politik orang Melayu, hanya UMNO sahaja mempunai keberanian mempertahankan kepentingan umat Islam di negara ini dan hanya UMNO sahaja yang tidak akan menggadaikan segala-galanya demi meraih kuasa.

KENAPA UMNO TERUS MENEGUR PAS?

( Oleh Zulkiflee Bakar )

Seperti diduga, segala pendedahan dan teguran yang dibuat terhadap Pas dalam Perhimunan Agung UMNO yang berakhir pada Sabtu 3hb Disember lalu dianggap sebagai satu tohmahan oleh Pas. Malahan ada dikalangan pemimpin Pas yang menganggap serangan berkenaan dilakukan kononnya kerana UMNO takut dengan kekuatan Pas yang kini bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sekali gus akan menjadi saingan utama kepada Barisan Nasional (BN).

Itulah hujah mereka. Pas ternyata tidak mahu mengambil kesempatan daripada pendedahan dan teguran setiap tahun untuk bermuhasabah sama ada apa yang dikatakan oleh UMNO benar atau tidak.

UMNO menyerang Pas bukan kerana politik, UMNO menegur Pas bukan kerana Pas lebih Islam daripada UMNO, UMNO mengkritik Pas bukan kerana Pas semakin berpegaruh dan UMNO menasihati Pas bukan kerana pakatan pembangkang semakin ampuh.

Tetapi UMNO terpaksa melakukan semua itu kerana melihat kehadiran Pas dalam persada politik negara semakin hari semakin membawa kemudaratan kepada orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Pas sudah tidak berpegang lagi kepada asas penubuhannya pada tahun 1951 yang ketika itu sekumpulan ulama melahirkan Pas dengan matlamat melalui landasan demokrasi kearah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah.

Lebih buruk, Pas yang semakin ghairah untuk berkuasa sanggup melakukan tindakan-tindakan yang dilihat memecah-belahkan orang Melayu dan umat Islam. Sebab itulah UMNO menegur Pas kerana tidak mahu propaganda dan tindakan Pas boleh membawa ‘bencana‘ kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Suatu ketika Pas melemparkan pelbagai kecaman kepada UMNO kerana bekerjasama dengan parti bukan Islam tetapi sekarang Pas berkawan rapat dengan DAP atas alasan tahaluf siyasi (kerjasama politik).

Dan lebih mengelirukan, Pas menolak biar pun sekadar berbincang dengan UMNO dalam soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam. Apa yang lebih membimbangkan, Pas dilihat memperalatkan ayat-ayat al-Quran dan Hadis bagi ‘menghalalkan‘ segala tindakan mereka.

Selain itu ayat-ayat al-Quran dan Hadis juga digunakan diatas pentas-pentas ceramah yang acap kali penuh dengan maki hamun dan cacian kepada pemimpin UMNO dan kerajaan. Lebih memburukkan keadaan, Pas tidak menegur sikap penceramah atau pendakwah yang menyokong nmereka menyalahgunakan masjid dan surau bagi menyampaikan ceramah politik.

Keadaan itu sudah tentulah boleh menimbulkan kekeliruan dan mencemarkan kesucian Islam kerana tempat ibadah tersebut sepatutnya digunakan untuk menyatukan ummah dan bukan memecah belahkan ummah.

Selain tu, UMNO juga membuat teguran kerana semakin resah dengan tindakan Pas yang seolah-olah tidak mampu mengawal tindak tanduk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz. Satu demi satu kenyatan kontroversi oleh Menteri Besar Kelantan itu seolah-olah tidak mampu ditegur oleh kepimpinan Pas biar pun mereka mempunyai Dewan Ulama.

Oleh kerana Nik Aziz bertaraf ulama, kenyataan kontroversi beliau berkaitan sesuatu isu boleh mencetuskan kekeliruan dikalangan umat Islam. UMNO juga ingin menasihatkan Pas supaya jangan menggadaikan prinsipnya semat-mata kerana ingin memburu kuasa bersama-sama dengan DAP dan PKR.

UMNO tidak cemburu Pas bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan kerana UMNO tiada hak untuk menghalang berkawan dengan sesiapa, tetapi janganlah sampai Pas dilihat hanya menjadi pak turut sahaja dalam pakatan pembangkang sehingga soal berkaitan Islam pun Pas tidak berani bersuara.

Sebagai contohnya, dalam isu memurtadkan umat Islam dan Seksualiti Merdeka, Pas pusat tidak berkata apa-apa. Begitu juga dalam isu moral melibatkan pemimpin pembangkang, pelbagai hujah ulama Pas keluarkan untuk mempertahankan rakan sekutunya.

Tetapi apabila ada dakwaan dan tuduhan kepada pemimpin UMNO, sudah pasti Pas akan beria-ia mendesak supaya pemimpin berkenaan dikenakan tindakan atau meletakkan jawatan. Ini mengelirukan umat Islam kerana sepatutnya Pas berpegang kepada prinsip yang benar tu benar dan yang bathil itu bathil.

Tujuan UMNO adalah demi kebaikan orang Melayu, umat Islam dan negara. UMNO tidak mahu segala usaha parti itu melalui kerjasama dengan BN yang memungkinkan Malaysia diiktiraf negara Islam contoh dirosakkan oleh cita-cita politik tidak bertempat Pas.

Ini jelas kerana Pas tidak pernah mahu mengiktiraf sumbangan UMNO dalam menonjol, menyampaikan dan membangunkan Islam di Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu. Ada sahaja hujah yang mereka keluarkan bagi menolak kebaikan yang dilakukan oleh UMNO, biar pun selama ini mereka turut merasai nikmatnya.

Jika Pas berhujah bahawa UMNO takut dengan kekuatan pakatan pembangkang, percayalah mereka hanya bermimpi disiang hari. UMNO tidak bimbang soal itu, Cuma apa yang UMNO bimbangkan ialah keghairahan Pas untuk mengejar kuasa bersama-sama PKR dan DAP sehingga segala-galanya sanggup dipertaruhkan hatta masa depan orang Melayu dan umat Islam sekali pun.

Semua ini telah diperingatkan oleh pembahas-pembahas terutama mereka betaraf ustaz di Perhimpunan Agung UMNO. Percayalah jika Pas terus bersikap seperti sekarang, merekaakan hanya menjadi alat kepada DAP dan PKR bagi mencapai cita-cita politik kumpulan itu.

Pas tidak akan mendapat apa-apa sebaliknya dalam pilihan raya umum akan datang Pas akan menjadi kelompok paling rugi. Ia kerana selama ini Pas dilihat lebih banyak berkorban demi menjaga hubungannya dengan kedua-dua parti tersebut. Sikap itu termasuklah mengubah usaha memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Sedangkan DAP dan PKR sama sekali tidak akan memberi ruang kepada Pas untuk menjadi tonggak pakatan pembangkang kerana mereka hanya mahu meraih pengaruh Pas menarik pengundi Melayu daripada UMNO.

Kesudahannya Pas akan menjadi golongan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran, menang sorak kampung tergadai, orang lain mendapat nikmat, mereka hanya diperalat. Akibat daripada keghairahan Pas itu, ia akan menyebabkan orang Melayu dan umat Islam terus berpecah-belah serta tidak akan dapat bersatu hati.

Keadaan inilah yang memungkinkan UMNO sentiasa memberi ingatan kepada Pas tentang bahaya politik yang mereka amalkan dan UMNO tetap membuka pintu untuk usaha penyatuan ummah tanpa mengira fahaman politik seperti mana terkandung dalam usul agama yang dibentangkan pada perhimpunan agung parti itu.

Semua itu UMNO lakukan kerana percaya apabila orang Melayu dan Islam bersatu ia bukan sahaja menguntungkan mereka tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

ANALOGI ENAM JAHANAM TERHADAP PEMBANGKANG


KUALA LUMPUR 30 Nov – Ketua Pemuda UMNO,Khairy Jamaluddin hari ini menarik perhatian perwakilan ketika menyampaikan ucapan dasar sayap parti itu apabila membuat analogi polemik pembangkang dengan filem tersohor Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Enam Jahanam.

Dalam perbandingan itu, Khairy berkata, orang ramai kini tidak terlepas daripada terpaksa berhadapan dengan enam jahanam versi moden iaitu percubaan pembangkang yang berangan-angan melaksanakan enam formula kehancuran negara.

Enam Formula itu adalah :-

1. Menjahamkan sistem demokrasi negara dengan menggunakan kebangkitan di Asia Barat untuk menghasut rakyat kearah revolusi jalanan dan meniup kebencian kepada kerajaan.

2. Menjahanamkan sistem pentadbiran negara apabila dengan angkuhnya mahu mengurangkan bilangan penjawat awam.

3. Menjahanamkan maruah negara dengan memburuk-burukkan nama dan kepimpinan negara kepada orang luar selain memperlekehkan Jalur Gemilang.

4. Menjahanamkan sejarah negara apabila sanggu mengangkat pengkhianat dan komunis sebagai wira negara manakala pegawai polis yang terkorban dilabel sebagai tali barut British.

5. Menjahanamkan jati diri bangsa apabila sanggup menggadai kepentingan bangsa dan mencabar kesucian agama.

6. Menjahamkan kemakmuran ekonomi negara apabila menjaja kononnya pembangkang merupakan sebuah kerajaan yang bersedia memberikan segala-galanya secara percuma kepada rakyat.

Sebagai tambahan kepada usaha menjahanamkan negara oleh pembangkang, jelas Khairy, janji-janji manis dalam Buku Jingga jika dilaksanakan akan menyebabkan negara bankrap dalam tempoh dua tahun.

“Mana tidaknya, untuk mengotakan sebahagian janji manis kebajikan mereka, hutang kerajaan akan mencecah RM617 bilion pada tahun kedua sahaja. Maka kita akan mempunyai tidak lebih daripada setahun untuk bersorak-sorai meraikan kenikmatan sementara kehidupan percuma, sebelum terpaksa meratib penuh sesal kemusnahan ekonomi negara untuk beberapa generasi selepas itu,” katanya.

ELOKLAH MURSYIDUL AM PAS BERSARA – DR. MAHATHIR


LANGKAWI 6 Dis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya segera bersara daripada arena politik memandangkan Menteri Besar Kelantan itu sudah terlalu lama menyandang jawatan tersebut.

“Eloklah dia bersara, saya sendiri telah bersara dan dia lebih lama daripada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) 2011 disini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz di Kota Bharu semalam yang mengulangi hasrat untuk terus bertanding pada pilihan raya umum akan datang biarpun telah menjadi wakil rakyat kira-kira 40 tahun.

Hasrat tersebut disebabkan Nik Aziz mahu terus melawan UMNO yang didakwa telah memecah-belahkan rakyat. Menteri Besar Kelantan itu seterusnya memberikan alasan keputusan berkenaan dibuat kerana beliau telah banyak membawa pembangunan dan kemakmuran di Kelantan.

Dalam pada itu, kata Dr. Mahathir, kenyataan Nik Aziz menunjukkan pemimpin utama Pas tersebut sangat membenci UMNO.

“Bagi dia, lebih baik Karpal Singh darpada UMNO. Itulah Nik Aziz,“ ujarnya secara sinis.

Ulasannya :-

1. Alasan sebenar Tok Guru bukan nak lawan UMNO tetapi takut gaji dan elaun Menteri Besar tiap2 bulan dia tak dapat. Apa nak susah, dok goyang kaki tiap2 bulan dapat gaji. Bukannya buat apa pun.

2. Lawak bodo betoi Tok Guru ni bila kata dia banyak bawa pembangunan dan kemakmuran di negeri Kelantan. Kalau macam tu kenapa rakyat dia lari keluar Kelantan untuk cari makan? Isu air di Kelantan pun tak selesai lagi selepas 20 tahun dah.

Dulu bukan main dia hentam Dr. M suruh letak jawatan sebab terlalu lama pegang jawatan Perdana Menteri..sekarang terkena batang hidung sendiri dia pula tak mau letak jawatan..ibarat meludah kelangit lah gitu..Itulah balasan Allah supaya dia sedar dengan apa dia kata pada orang.