Sunday, April 8, 2012

PENDUDUK TERTIPU DENGAN SMART METER






Kota Bharu - Mungkin ramai Kelantan tidak menyedari bahawa mereka ditipu oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd supaya membayar bil yang lebih tinggi. Ini disebabkan langkah syarikat tersebut menukar meter lama pelanggannnya kepada meter berjenama Smart Meter yang didapati rosak.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengeluarkan surat pada 9 Ogos 2010 dan 11 Ogos 2011 kepada AKSB dan syarikat yang mendapat kontrak Smart Meter, Selcon Engineering Berhad supaya memberhentikan kerja-kerja memasang meter tersebut.Bagaimanapun ketika surat tersebut dikeluarkan sudah 80,000 meter tersebut dipasang di rumah-rumah pengguna.

Soalnya, bagaimana kedudukan pengguna ini, nampak gayanya AKSB buat bodoh kerana tidak ada sebarang makluman dibuat kepada pengguna sehingga hari ini mengenai kerosakan meter. Mengikut SPAN, Smart Meter tersebut telah menyebabkan bacaan bil yang tinggi melebihi kadar penggunaan lazim sesebuah premis dan tiada paparan LCD meter berkemungkinan disebabkan oleh bateri yang tidak tahan lama.

Untuk rekod jumlah keseluruhan untuk memasang semua meter tersebut bernilai RM11 juta.

Yang paling pelik kenapa AKSB meneruskan projek penukaran meter tersebut kerana semua operator air di negara ini menyatakan bahawa teknologi SMART METER tidak sesuai digunakan.

Syarikat Air Johor, SAMB, LAP dan JBA Kedah telah membuat uji kaji dan mendapati SMART METER tidak sesuai digunakan.

Keyakinan 'kata-kata' Daim

Oleh NIZAM YATIM


TUN Daim Zainuddin menyertai Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan pada 1984 dan kemudian meletakkan jawatan itu pada 1991. Kemudian pada 1999 sekali lagi beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan tetapi mengambil keputusan meletakkan jawatan dua tahun kemudian.

Selain ketokohan dalam bidang politik, beliau juga mempunyai rekod cemerlang dalam sektor korporat khususnya hartanah apabila membangunkan Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri di Kuala Lumpur pada 1973. Ketika itu jumlah pemaju hartanah bumiputera sangat kecil dan boleh dibilang dengan jari.

Ekoran rekod cemerlang Daim dalam politik dan ekonomi itu, pandangan beliau tentang kedua-dua bidang itu sentiasa ditunggu-tunggu.

Sebelum Pilihan Raya Umum 2008 misalnya, beliau ialah satu-satunya tokoh yang secara terbuka meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kehilangan beberapa negeri dan akan mencatatkan keputusan terburuk dalam pilihan raya itu.

Pada masa itu tidak seorang pun percaya kepada ramalan beliau. Setelah keputusan pilihan raya itu diumumkan, semua orang terkejut kerana ramalan Daim tepat.

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak tempoh hari ketika menyampaikan syarahannya di Universiti Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur, beliau turut meramalkan pembangkang akan memenangi beberapa kerusi tambahan di negeri itu, tetapi yakin BN akan terus berkuasa dengan 'majoriti selesa' dan firasatnya terbukti benar.

Pada Ahad lalu dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Daim yang bersikap agak merendah diri sambil menegaskan beliau tidak mahu dilihat sebagai peramal politik, tetap memberikan firasat bahawa UMNO dan BN mempunyai kelebihan berbanding pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

"Terdapat tanda-tanda keyakinan baru terhadap ekonomi negara. Ada kepastian dan kebolehpercayaan; saya sentiasa memberi penekanan terhadap kedua-dua perkara ini apabila ditanya mengenai keadaan ekonomi pada bila-bila masa.

"Saya percaya BN mempunyai kelebihan yang lebih baik untuk mendapat keputusan lebih cemerlang sekarang berbanding tahun-tahun sebelumnya," kata bekas Bendahari UMNO itu.

Antara faktor keyakinan Daim itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat lebih berkebolehan berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membawa perubahan politik dan ekonomi.

Menurut beliau, Najib telah menyertai politik lebih awal berbanding Anwar. Selain kelebihan dari segi senioriti, baginya anak Perdana Menteri kedua itu juga telah diuji dengan pelbagai dugaan serta ranjau paling sukar dan pemimpin itu mempunyai pemikiran amat tajam dan sangat berkeyakinan apabila berdepan dengan khalayak ramai.

Anwar pula disifatkan Daim sebagai seorang yang tidak memiliki keupayaan untuk memahami isu ekonomi kompleks berbanding Najib yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi industri dari Universiti Nottingham, Britain.

Ketua Pembangkang itu turut disifatkannya cenderung untuk menghafal perkara-perkara mengenai ekonomi dan kemudian mengulang seolah-olah dia membaca daripada lirik lagu.

Mengulas pandangan Daim itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak mengakui faktor Najib telah memberi harapan baru untuk BN dan negara.

Beliau berkata, sikap keterbukaan Perdana Menteri yang bertekad mahu membela nasib semua kaum menyebabkan kepimpinan beliau dihargai dan disenangi semua pihak.

"Populariti Najib adalah kelebihan kepada BN. Saya lihat sokongan golongan muda terhadap beliau juga turut meningkat," katanya.

Tambahnya, pelbagai transformasi dalam bidang ekonomi dijangka akan turut mempengaruhi pengundi tradisi Melayu, Cina dan atas pagar untuk beralih menyokong BN.

"Keadaan ekonomi negara yang semakin kukuh membuktikan Najib seorang pemimpin yang dinamik dan berkebolehan," katanya.

Mohamed Mustafa turut sependapat dengan Daim bahawa faktor pergolakan dalaman parti-parti pembangkang kini boleh dimanfaatkan bagi menarik sokongan rakyat terhadap BN.

"Pihak pembangkang kini menghadapi masalah kepimpinan dalam parti komponen mereka dan mereka juga berdepan dengan pelbagai masalah di negeri-negeri yang ditadbir sejak 2008," ujarnya.

Dalam pada itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan turut bersetuju dengan pandangan Daim bahawa parti komponen BN kini dilihat dapat bekerjasama rapat sebagai satu kumpulan.

"Saya melihat keadaan sekarang adalah positif dan jika semua parti terus bekerja keras sudah tentu ia akan membantu kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum PRU-13 diadakan, antaranya membabitkan penyelarasan tangga gaji baru kepada penjawat awam dan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Sementara itu, beberapa veteran UMNO yang diminta mengulas keyakinan yang diluah Daim terhadap kepimpinan Najib mengakui ia adalah selaras dengan realiti semasa kerana kebanyakan rakyat di peringkat akar umbi memandang tinggi kebolehan Perdana Menteri untuk membawa transformasi kepada negara.

Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail berkata, orang ramai berpandangan pelbagai program transformasi yang direncanakan oleh Najib boleh memacu negara untuk mencapai status negara maju pada 2020.

"Najib telah menunjukkan keprihatinannya kepada rakyat dalam segala bidang terutamanya aspek transformasi politik, peningkatan taraf ekonomi serta kebajikan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, BN yang dipimpin Najib mempunyai peluang cerah untuk memperoleh mandat lebih besar daripada rakyat pada PRU-13 kelak.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, turut sependapat bahawa BN diterajui Najib mempunyai peluang lebih baik berbanding pihak pembangkang yang kini semakin kelam-kabut.

"Usaha-usaha transformasi yang dibawa oleh Najib memang bagus dan membawa banyak keuntungan kepada rakyat," ujarnya.

Jika ramalan Daim sebelum ini terbukti benar, maka berdasarkan realiti semasa, firasat beliau mengenai peluang BN pada PRU-13 tidak mungkin tersasar jauh.

Kalau berjanji kena ikut kemampuan


Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia


SUHU politik negara semakin panas. Meskipun Parlimen belum dibubarkan secara rasmi, namun semua maklum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kemungkinan besar akan diadakan pada tahun ini. Rata-rata majoriti rakyat bercakap mengenai politik. Tidak kira yang berpangkat besar sehinggalah rakyat marhaen.

Sudah tentu yang paling sibuk ahli-ahli politik. Perang saraf di mana-mana. Bermula di pentas ceramah sampailah ke alam maya. Siapa yang dapat meyakinkan rakyat, merekalah yang akan terpilih.

Apakah yang rakyat mahukan sebenarnya? Sebagai rakyat marhaen, mereka mahukan suasana aman damai, makmur dan sejahtera. Itu secara amnya. Ahli-ahli politik mengetahui perkara ini. Namun, bukan semudah untuk mencapai suasana aman damai, makmur dan sejahtera. Memang mudah untuk bercakap di pentas ceramah atau di alam maya. Pelbagai gaya digunakan untuk meraih undi. Gaya sahaja tidak cukup tanpa adanya janji.

Ditaburnya pelbagai janji kepada rakyat demi untuk mendapat sokongan. Bagi rakyat, mereka akan menyukai janji-janji yang luar biasa. Janji biasa sahaja tidak mampu menarik perhatian mereka. Maka, lahirlah pelbagai janji yang luar biasa dan kadang-kala tidak masuk akal. Apabila bercakap mengenai janji, sesiapa sahaja boleh berjanji. Namun, persoalannya mampukah ditunaikan?

Antara janji yang dilontarkan berkaitan dengan subsidi minyak, pinjaman pelajaran dan juga pembayaran tol. Rakyat amat teruja dengan semua perkara di atas. Bayangkan, berapa banyak wang saku rakyat dapat "diselamatkan" jika sekiranya kesemua di atas benar-benar dilaksanakan.

Rakyat tidak perlu membayar harga minyak yang tinggi setiap hari, hutang pelajaran melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak perlu dibayar, manakala tol pula dihapuskan. Amat menarik! Apa lagi yang akan ditaburkan oleh ahli-ahli politik bagi menarik perhatian rakyat? Berjanji biarlah realistik.

Adakah selepas ini, segala-galanya percuma?

Kalau begitu, penulis pun amat teruja. Tidaklah perlu memikirkan masalah kewangan setiap hari. Segala-galanya ditanggung oleh kerajaan yang akan memenangi PRU-13. Kemenangan dicipta melalui janji-janji yang amat menarik perhatian rakyat.

Maka, lahirlah budaya subsidi yang tinggi dalam kalangan rakyat. Budaya subsidi inilah yang menghancurkan negara-negara Eropah seperti Greece, Itali, Sepanyol, Portugal dan United Kingdom. Sampaikan yang tidak bekerja dan tidak mahu bekerja pun dibayar elaun.

Apabila kerajaan mereka menarik semula keistimewaan, rakyat mula memberontak. Kacau bilau dibuatnya di negara-negara tersebut. Di Greece sahaja sudah seringkali rakyat memberontak di jalanan, angkara kesilapan besar kerajaan mereka yang terlalu memanjakan rakyat.

Dasar dan polisi kerajaan membutakan rakyatnya betapa negaranya suatu hari nanti berada di ambang kemuflisan. Greece secara teknikalnya telah muflis. Negara ini terpaksa membuat pinjaman luar semata-mata ingin menyeronokkan rakyatnya bagi meraih populariti ahli-ahli politik.

Di Malaysia juga ahli-ahli politik berjanji di sana-sini. Tetapi sejauh manakah mereka mampu tunaikan?

Perlu diingat, tiada satu pun negara di dunia yang mana sumber kewangan mereka tidak terhad. Berjanji dengan pelbagai perkara tanpa berlandaskan sumber kewangan negara yang sebenar memberi risiko besar kepada rakyat dan negara. Siapa yang akan bertanggungjawab jika sekiranya wang tidak mencukupi, tetapi terpaksa juga melaksanakan janji-janji luar biasa yang telah ditaburkan sepanjang kempen pilihan raya melalui manifesto masing-masing.

Memang benar, pungutan cukai negara semakin tinggi. Tahun lalu sahaja, cukai yang dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah berjumlah RM109.7 bilion iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jumlah tersebut belum termasuk jumlah cukai yang dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Tetapi sekali lagi sejauh manakah sumber kewangan ini disalurkan untuk rakyat.

Penyaluran wang kepada rakyat perlulah dilakukan dengan tanggungjawab berpaksikan untuk membantu golongan yang memerlukan dan pada masa yang sama untuk memacu ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti para pekerja. Yang amat dikhuatiri, sumber kewangan yang terhad ini disalurkan untuk meraih populariti yang akhirnya memudaratkan negara. Ambil iktibar sebagaimana kes Greece.

Rakyat mengetahui janji-janji mana yang tidak mampu ditunaikan. Kecualilah dinyatakan dengan jelas bagaimana untuk melunaskan janji-janji tersebut tanpa memudaratkan negara. Dengan kata mudah, sumber kewangan mana yang akan menampung segala janji-janji tersebut? Sekadar berjanji tanpa menyatakan sumber kewangan tersebut umpama janji-janji kosong yang tidak mungkin dapat ditunaikan.

Lebih baik tunaikan janji-janji PRU-12 yang lepas yang mana banyak lagi yang tidak ditunaikan berbanding menambah jumlah janji-janji terbaru. Rakyat tidak mudah lupa dengan janji-janji tersebut. Janji-janji tersebut wajib ditunaikan oleh ahli-ahli politik. Kalau masih tidak tunaikan, kepercayaan rakyat pastinya semakin terhakis.

Sedangkan kepercayaan rakyatlah yang meyakinkan mereka untuk memilih siapakah ahli-ahli politik terbaik yang amanah, bercakap benar dan menunaikan janji-janji terdahulu pada PRU-13 nanti. Jika masih tidak tunaikan janji-janji terdahulu, usah bercakap tentang janji-janji pada masa akan datang.

Apa-apa pun, segala janji perlu berpaksikan sumber kewangan negara. Barulah ekonomi Malaysia sentiasa mapan tanpa dimanipulasi oleh ahli-ahli politik yang sentiasa cuba mengabui mata rakyat dengan pelbagai janji kosong lagi palsu.

Jika saya Ketua Menteri Pulau Pinang...

YAMATO
Kuala Lumpur


JIKA saya Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang, saya tidak akan mengheboh-hebohkan peningkatan pelaburan negeri itu kerana kejayaan tersebut adalah hasil usaha semua.

Tidak wajar bagi seorang KM terlalu asyik dengan kedudukannya, sehingga memburuk-burukkan imej bandar lain sebagai bandar yang penuh dengan jenayah dan mengatakan sesuatu yang tak berasas mengenai Kilang Lynas di Kuantan.

Tindakan Lim Guan Eng mencerminkan beliau bukanlah wakil Parlimen untuk semua rakyat tetapi KM yang membuat perjuangan untuk diri sendiri.

Kita tidak ada bantahan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan yang utama di Malaysia tetapi bukan melalui cara beliau menjejaskan kepentingan dan imej negeri lain.

Jika saya KM Pulau Pinang saya juga perlu memastikan peningkatan pelaburan di Pulau Pinang akan membawa kepada peningkatan pendapatan dan mutu kehidupan rakyatnya.

Memastikan setiap daerah di Pulau Pinang maju dan berkembang bersama-sama, tidak ada golongan dan daerah yang ketinggalan.

Kehilangan bangunan warisan dan prestasi pasukan bola sepak Pulau Pinang juga mencerminkan Kerajaan Pulau Pinang tidak mengutamakan pembangunan insani.

Isu loji panel solar di Batu Kawan juga menunjukkan Kerajaan Pulau Pinang kurang cekap menangani isu pencemaran alam sekitar.

Jika saya KM Pulau Pinang, saya akan pastikan pembangunan di Pulau Pinang berjalan secara seimbang, berterusan dan lestari. Saya akan pastikan tidak ada golongan dan daerah di Pulau Pinang yang ketinggalan. Itulah impian saya sebagai anak tanjung yang dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang.