Saturday, October 1, 2011

FIKIRAN KONTOT, TAFSIRAN DANGKAL MAT SABU

( Oleh Tok Ki )

Saya telah meneliti ucapan Muhamad Sabu atau Mat Sabu dalam You Tube. Memang beliau seorang tokoh penglipur lara politik yang sifatnya menghibur. Soal benar atau tidak fakta yang dibawanya, tidak diambil kira. Yang penting pendengar akan tidak kering gusi dengan gelak ketawa kerana cerita yang dibawanya.

Dalam menanggapi Mohd Indera yang bersubahat dengan komunis sebagai hero dan sebaliknya anggota polis yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong sebagai pengkhianat, terdapat elemen anarki yang tinggi dan tafsir yang songsang. Mana mungkin pendekatan membunuh manusia dianggap sebagai hero? Mana mungkin fahaman komunis yang tidak selari dengan Islam diletakkan dalam martabat tinggi?

Tidak ada alasan syarie atau syarak yang membolehkan perjuangan komunis diiktiraf sebagai perjuangan yang sah. Kafir harbi pun secara syarienya ada kedudukan dalam hukum fiqah Islam. Ini pula fahaman komunis yang menentang agama dan melakukan kekejaman dan kezaliman terhadap orang lain. Meneliti kecenderungan Mat Sabu dalam ucapannya itu, maka elemen-elemen radikal dan revolusioner amat nyata. Apakah Mat Sabu yang mengkagumi Revolusi Iran dan Imam Khomeinei ingin membawa faham dan cara tersebut ke Malaysia? Sekiranya hal ini benar, maka ia amat berbahaya.

Semua orang Islam tahu fahaman komunis adalah bercanggah dengan Islam. Pedekatan komunis terhadap orang Islam dimana-mana amat zalim dan penuh dengan sejarah hitam. Atas rasional apa Mat Sabu mengangkat orang komunis sebagai wira sebenar? Komunisme dan pergerakan komunis mempunyai rangkaian diseluruh dunia dan bercita-cita menjadikan komunis suatu fahaman politik dan ingin menguasai dunia.

Apakah Mat Sabu pernah terbaca sejarah perjuangan Chandra Bosh di India yang memperjuangkan fahaman komunisnya? Apakah Mat Sabu terlupa dengan Stalin dan Lenin di Russia dan Mao Tze Tong di China semuanya ingin membawa fahaman komunis diseluruh dunia? Tidakkah dengan mentafsir Mohd Indera sebagai hero menyebabkan Chandra Bosh, Stalin, Lenin dan Mao Tze Tong juga dianggap sebagai hero antarabangsa?

Disinilah kontotnya pemikiran Mat Sabu dan dangkal tafsirnya semata-mata niat politiknya untuk memenangi hati golongan tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Kenyataan Mat Sabu itu adalah suatu penghinaan yang amat jijik kerana ia berlaku ketika umat Islam berada di sepuluh hari terakhir Ramadan yang besar ertinya dalam mengukuhkan akidah dan ibadah umat. Tiba-tiba lahir suatu kenyataan yang menyatakan komunis itu sebagai pejuang sebenar. Tidakkah kenyataan ini bercanggah dengan akidah tauhid kerana fahaman komunis bercanggah dengan Islam?

Kedua, ia berlaku pada saat Malaysia sedang menghadapi ulang tahun kemerdekaan. Kenyataan itu seolah-olah menafikan sama sekali pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu seperti Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan pasukan keselamatan negara bahawa mereka adalah pengkhianat, bukan hero yang sebenarnya.

Saya percaya tidak semua orang Cina atau Melayu atau India yang percaya kepada fahaman dan perjuangan komunis. Pengalaman menentang komunis Malaya ( kemudian Malaysia ) adalah perjuangan semua pihak khususnya orang Melayu yang beragama Islam. Banyak pengorbanan yang dilakukan pleh orang Melayu tidak saja pada zaman penjajah tetapi selepas merdeka dalam menentang angkara komunis di Malaysia.

Kalau zaman penjajah Mat Sabu mengatakan polis dan tentera adalah alat penjajah. Kalau selepas merdeka dan komunis masih ada – mereka itu alat siapa? Mat Sabu akan menjawab mereka alat kepada kerajaan. Maksud Mat Sabu ialah mengajak orang ramai menentang kerajaan atau menentang UMNO? Inilah inti penglipur lara Mat Sabu yang sebenarnya. Tetapi mengapa nak bandingkan dengan komunis? Apakah sampai begitu kebenciannya terhadap kerajaan dan UMNO? Apakah tidak cukup dengan label-label taghut, kafir, sekular, liberal sehingga perlu dilabel komunis pula kerana pada hemat Mat Sabu, komunis adalah hero dan orang lain adalah pengkhianat.

Kalau Mat Sabu berjaya menumbangkan kerajaan yang ada kerana mereka adalah pengkhianat, apakah Mat Sabu bila memerintah nanti akan mendukung fahaman komunis kerana mereka adalah hero dan bagaimana pula dengan perjuangan Islamnya sekian lama?

Mat Sabu harus mampu meneliti jejak-jejak sejarah secara waras. Mat sabu mungkin tidak pernah dengar kisah kekosongan sewaktu Jepun menyerah kalah selama 13 hari sebelum pentadbiran Tentera British sampai dari India. Ramai orang Melayu dibunuh dengan kejam dan komunis secara paksa cuba menguasai tempat-tempat strategik dalam negara ini.

Kedatangan Jepun ke Malaya sebenarnya ingin menentang penjajah British juga samping membawa kesedaran baru “Asia untuk Orang Asia”. Apakah Jepun juga boleh dianggap sebagai hero kerana Jepun menentang British dan melakukan kezaliman yang luar biasa terhadap masyarakat Tanah Melayu khususnya orang Islam?

Oleh itu pandangan Mat Sabu terhadap isu ini amat dangkal dan tafsirannya amat cetek sekali. Saya katakan begitu kerana Mat Sabu tidak meletakkan sejarah dan tafsirannya dalam perspektif yang betul. Datuk Sagor, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan lain-lain dalam buku-buku teks sejarah Malaysia dilihat sebagai pejuang. Sumbangan tokoh-tokoh ini dan yang seumpamanya diletakkan dalam perspektif yang betul.

Begitu juga banyak kajian ilmiah dibuat terhadap Abu Bakar Bakir, Burhanuddin al Helmi dan lain-lainnya mempunyai sumbangan dalam perjuangan kemerdekaan seperti juga peranan yang dimainkan oleh Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Malah tokoh seperti Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan ada juga peranannya dalam perjuangan kemerdekaan. Sejarah adalah cerminan kisah silam dan boleh diberi dengan pelbagai tafsiran. Tetapi tafsiran biarlah munasabah dan tidak mengambil pendekatan yang ekstrem.

Yang pastinya pada hemat saya, bekas-bekas anggota polis dan tentera dalam Pas akan merasa tidak senang dengan kenyataan Mat Sabu itu. Ia tidak baik bagi Pas dan PKR. Orang bukan Melayu pun saya fikir tidak berasa selesa dengan kenyataan Mat Sabu itu. Sebahagian besar orang Cina senang dengan sistem kapitalis laizzerfaire atau pasaran bebas yang bercanggah dengan sistem komunis. Apakah dengan kenyataan Mat Sabu itu menenui nasib seperti bak kata pepatah “yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran”.

Mat Sabu kena faham bahawa orang Malaysia tidaklah sebodoh yang beliau sangka. Sebahagian besar orang Malaysia ada ilmu dan sebahagiannya lagi adalah pengamat kritis tetapi ada etika dan tanggungjawab. Sekiranya Mat Sabu membuat justifikasi yang cetek dan dangkal dalam analisisnya, ia memperlihatkan integriti yang rendah terhadap pemimpin nombor dua Pas itu.

Dan sekiranya pendapat Mat Sabu dianggap benar maka seluruh tradisi akademik atau pun ilmiah dianggap tidak mempunyai nilai apa-apa. Dan sekiranya seluruh tafsiran sejarah akan diubah apabila Mat Sabu dan sekutunya berkuasa nanti (minta dijauhkan Allah), maka perjalanan sejarah akan menjadi kacau dan perspektif perjuangan komunis dianggap sesuatu yang unggul – pastinya bercanggah dengan Islam itu sendiri.

Apakah ini membawa petanda Mat Sabu dan kawan-kawannya akan bertukar kearah konsep negara berkebajikan kepada liberal, pluralis, sosialis dan komunis?

No comments:

Post a Comment