Saturday, October 1, 2011

MAT SABU, BUKIT KEPONG DAN PAS

( Oleh – Zaini Hassan )

Pendapat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan perucubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia. Taktik Mat Sabu tidak menyebutkan perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah satu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai oleh PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.

Strategi diguna pakai ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.

Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif dikalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dalam parti pemerintah.

Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.

Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya ‘membebaskan Malaya’ maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintah Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, disebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.

Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.

Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu akan sanggup menyertai atau menyokong PKM.

Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terenganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara. Kedua-dua mereka itu tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.

Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.

Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahiliah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid?

Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan agama tauhid? Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa?

Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya. Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata? Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera. Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan? Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat?

Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka? Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah. Bagi mereka, kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideology komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.

Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit. UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah. Presiden-Pengasas UMNO, Allahyarham Dato’ Onn dan Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato’ Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara? Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu, jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka. Jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.

Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis? Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya yang menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan kongres pertama di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malaya dalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya?

Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara. Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding intergrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.

Percubaan ‘historical revisionism’ oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi ‘Anwarisme’ dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutamanya oleh rakan pembangkangnya DAP.

Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandangnya dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.

Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat Amanat Haji Hadi Awang, ramai individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.

Amanat ini telah memecah belahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah. Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat Amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.

Ketiganya, apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhwah umat islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu berkompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.

Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.

Kesimpulannya :

- Pas bukan parti Islam

- Pas sanggup buat apa saja demi untuk kepentingan politik

- Pemimpin Pas kebanyakan tidak berkredibiliti dan bersikap professional

- Mereka dangkal dalam sejarah

- Suka mengeluarkan firman2 dan hadis2 yang mengelirukan penyokong2 nya seperti yang tersebut tentang perjuangan Rasululah dengan Arab jahiliah.

- Sanggup mempergadaikan maruah bangsa Melayu kepada DAP dengan menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP

- DAP adalah dalang dalam perpecahan umat Islam Melayu.

No comments:

Post a Comment