Saturday, June 9, 2012

10 DALIL KEGAGALAN KELANTAN URUS AIR




Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), satu nama gah dalam industri perbekalan air terawat, dan merupakan GLC yang tidak asing lagi dibawah pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan. Namun, sejarah konflik dalaman telah bermula sejak 1995 lagi, apabila kerajaan negeri telah menswastakan bekalan air kepada Thames Water Pte. Ltd., dikenali sebagai Kelantan Water Sdn Bhd. (KWSB), manakala hampir kesemua kakitangan itu diserap kedalam pentadbiran baru KWSB.
Pada 1999, bermula episod baru. Kerajaan negeri dan KWSB telah membuat persetujuan bersama untuk penamatan Thames Water Pte Ltd sebagai badan yang bertanggung jawab keatas perbekalan air di Kelantan dan ditukar kepada satu organisasi baru dikenali sebagai Air Kelantan Sdn Bhd sehingga kini.
Kemudian wujud ura-ura penyingkiran Pengarah Urusan pada akhir 2005 yang terkenal amat tegas dalam isu kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa. Usaha berterusan pihak yang ada tidak senang dengan beliau sampai ke kemuncaknya pada akhir 2007 apabila beliau telah diarah meninggalkan kerusi panas nombor satu AKSB tersebut.
Pada 2008, kerusi panas ini sekali lagi bertukar tempat dan kerajaan negeri telah melantik anak watan dari PLUS sebagai Pengurus Besarnya. Kecetekan pengalaman dalam pembekalan air dan mengurus tadbir sebuah syarikat GLC seperti AKSB telah merencatkan usaha satu puak yang ingin terus berkuasa.
Maka pada akhir 2010, kerajaan negeri telah megarahkan beliau mengosongkan kerusi tersebut. Pertengahan 2011, kerajaan sekali lagi membuat kesilapan dalam melantik Pengurus Besar AKSB yang baru. Perlantikan yang dibuat secara rambang telah menyebabkan AKSB terus bergolak dan terumbang-ambing.
Kecetekan pengalaman dan sifat ‘yes man’ kepada tangan-tangan ghaib dibelakang AKSB antara faktor konflik dalaman ini semakin parah. Natijah daripada pergolakan dalaman tersebut, dirumuskan 10 dalil kegagalan kerajaan negeri dan AKSB khususnya dalam mentadbir urus perbekalan air kepada seluruh rakyat negeri Kelantan:
1.       Kerugian terkumpul AKSB bagi tahun berakhir 2011 dijangkakan mencecah RM11 juta. Untuk itu, pengguna bakal dibebankan dengan cadangan kenaikan harga tarif air yang baru pada 2012 bagi menampung kerugian tersebut.
2.       Kegagalan Projek Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water / NRW) telah menelan kos RM130 juta. Projek yang bermula pada Julai 2008 dan berakhir pada Ogos 2011 gagal menterjemahkan sebarang kesan positif terhadap sistem bekalan air secara menyeluruh.
3.       Kegagalan projek penukaran meter air kepada smart meter berjumlah 80,000 unit dalam Projek NRW, melibatkan kos hampir RM12 juta, namun penukaran hanya setakat 40,000 unit sahaja, setelah diakui kegagalan fungsi meter tersebut.
4.       Kegagalan projek pembinaan Telaga Jejari di Jajahan Jeli yang dicanangkan teknologi terkini dan diuar-uarkan jajahan tersebut akan tiada lagi masalah bekalan air. Namun hasil sebaliknya berlaku dimana masih terdapat kawasan di Jeli yang dicatu bekalan air.
5.       Kegagalan mengatasi krisis kecemasan bekalan air secara menyeluruh dan bayangkan AKSB hanya mempunyai enam lori tangki air untuk digerakkan dalam satu-satu masa kecemasan atau ketika berlakunya krisis bekalan air.
6.       Kualiti dan tekanan air yang masih membelenggu rakyat secara amnya malah kawasan Bandar juga masih terdapat kualiti dan tekanan air yang tidak memuaskan.
7.       Kekerapan kerosakan pam di loji-loji air utama seperti Loji Rawatan Air Bukit Remah di Tanah Merah, Loji Rawatan Air Pahi di Kuala Krai dan Loji Rawatan Air Merbau Chondong namun kegagalan tersebut diletakkan keatas pihak lain untuk mengalih perhatian pengguna / rakyat.
8.       Hutang tertunggak dianggarkan RM12 juta, namun tiada  tindakan agresif untuk mendapatkan semula bayaran bil tertunggak ini. Mungkin pengurusan tertinggi AKSB sibuk dalam mencapai misi peribadi untuk terus berkuasa dan bertelagah sesama sendiri.
9.       Kos tinggi menaik taraf Loji Rawatan Air Pintu Geng yang mnenelan kos RM58 juta dan difahamkan kos sebenar hanyalah RM35 juta sahaja. Kenaikan mendadak kos ini telah pun dipersoalkan diperingkat tertinggi AKSB, namun terdapat tangan-tangan ghaib yang menidakkannya.
10.   Masalah Air Di Kelantan Selesai Pada 2027” itulah kenyataan yang dibuat oleh Exco Perumahan, Kerjaraya, Utiliti & Alam Sekitar Negeri pada April 2011. Untuk memaklumkan kepada seluruh rakyat bahawa rakyat terpaksa menunggu selama 16 tahun lagi untuk melihat 100 peratus liputan air bersih diseluruh negeri akan terlaksana oleh AKSB.

-           RAHMAN ISKANDAR KOTA BHARU

No comments:

Post a Comment