Saturday, June 9, 2012

KELANTAN PALING TINGGI HIDAP HIV, AIDS




KOTA BHARU 15 Sept – Jumlah penghidap HIV dan AIDS di Kelantan pada tahun lepas adalah tertinggi di Malaysia jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
    Statistik Kementerian Kesihatan mendapati setiap 28.8 bagi setiap 100,000 penduduk Kelantan telah dijangkiti penyakit yang tiada ubat itu. Pemegang Amanah Majlis AIDS Malaysia, Dr Illias Adam Yee berkata, ia diikuti dengan negeri Pahang dengan 24 daripada 100,000 penduduknya dijangkiti HIV, Kuala Lumpur (18) dan Johor (15.5) serta kesemua negeri ini melebihi dari kadar jangkitan HIV keseluruhan di Malaysia iaitu 12.9.
    Beliau berkata, jumlah jangkitan baru HIV di Kelantan dari Januari sehingga Disember tahun lalu sebanyak 462 orang manakala kematian disebabkan AIDS ialah 88 orang.
    “Ancaman terbesar pada masa sekarang ialah jangkitan HIV yang menular melalui hubungan kelamin. Jika dilihat dari transmisi HIV, hubungan seksual (heteroseksual, homoseksual dan biseksual) adalah faktor utama jangkitan ini iaitu 48.4 peratus diikuti perkongsian jarum (47.4 peratus). Dahulu, trend jangkitan kes-kes HIV melalui hubungan kelamin yang tinggi di negeri-negeri sempadan seperti Kelantan, Kedah, Johor tetapi kini trend yang sama juga berlaku di Selangor atau Wilayah Persekutuan,” katanya.
    Dr Illias Adam berkata, sepanjang tahun lepas sebanyak 3,652 kes jangkitan HIV telah dilaporkan dan ia menjadikan jumlah keseluruhan sejak tahun 1987 sebanyak 91,632 kes.
   “Sejumlah 2,985 (81.7 peratus) kes jangkitan HIV terdiri daripada lelaki dan 668 (18.3 peratus) adalah perempuan. Majoriti kes iaitu 88.7 peratus jangkitan masih berlaku dikalangan mereka yang berumur 20-49 tahun. Statistik Kementerian Kesihatan juga menunjukkan bahawa majoriti daripada penularan HIV berlaku dikalangan orang Melayu iaitu 65,235 atau 71 peratus daripada jumlah penghidap HIV diseluruh negara,” katanya di majlis penyerahan cek sumbangan oleh Pengurus Besar GRV, Vincent Chua dalam satu majlis ringkas kepada Dr Illias.

No comments:

Post a Comment