Wednesday, January 11, 2012

MALAYSIAKINI MOHON MAAF KEPADA TAIB MAHMUD


KUALA LUMPUR 4 Jan – Portal berita propembangkang, Malaysiakini hari ini memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi disini kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung penyiaran 12 artikel berunsur fitnah terhadap beliau, lima tahun lalu.

Permohonan maaf oleh pengendali portal itu, Mkini Dotcom Sdn Bhd. dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan Diong Keng, 49, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman fitnah oleh Abdul Taib itu, dinyatakan dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguam mereka, Fahri Azzat dihadapan Hakim Rosilah Yop.

Berikutan permohonan maaf tersebut dan persetujuan defendan untuk menahan diri daripada terus menerbitkan perkataan-perkataan fitnah itu atau yang serupa kesannya, Abdul Taib bersetuju menarik balik tuntutan saman berkenaan.

Abdul Taib selaku plaintif memfailkan tuntutan saman itu pada 2007 setelah portal berita secara dalam talian di internet itu menyiarkan 12 artikel dari 6 April dan 3 Mei 2007 yang didakwa mengandungi perkataan yang memfitnah beliau.

Plaintif mendakwa, artikel-artikel itu mengaitkan beliau dengan pengumpulan wang secara tidak sah berjumlah RM32 juta daripada syraikat-syarikat perkapalan Jepun melalui kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang berhubung perniagaan balak di Sarawak.

Sementara pernyataan pembelaan pihak defendan terhadap tuntuan saman itu sebelum ini menyatakan bahawa perkataan yang terkandung dalam artikel-artikel berkenaan disiarkan berdasarkan perlindungan bersyarat.

Dalam kenyataan pihak defendan hari ini, mereka mengakui menyiarkan artikel-artikel itu hanya berdasarkan kepada laporan berita oleh beberapa media Jepun tanpa mengesahkan kebenaran laporan berita itu dengan plaintif atau pihak berkuasa yang lain.

Menurut defendan, mereka difahamkan bahawa Biro Pencukaian Serantau Tokyo (TRTB) telah mengubah keputusannya berhubung dakwaan isu wang sogokan itu setelah mendapati tuduhan itu sama sekali tidak berasas.

Kami dengan ini mengakui bahawa artikel-artikel berhubung wang sogokan yang melibatkan syarikat perkapalan Jepun telah diterbitkan secara salah,” kata defendan.

Mereka juga melahirkan rasa kesal terhadap sebarang sindirian yang tidak diingini dan bersetuju serta berjanji tidak akan menyiarkan sebarang laporan berita atau kenyataan terhadap plaintif berhubung isu sogokan membabitkan syarikat perkapalan Jepun kepada syarikat luar pesisir Hong Kong dikenali sebagai Regent Star.

Kami mengakui artikel-artikel tersebut telah menyebabkan plaintif merasa malu, mengalami kesusahan dan menjejaskan reputasi beliau dan memohon maaf terhadap sebarang kesulitan yang dihadapinya,” ujar pihak defendan.

Ekoran permohonan maaf itu, pihak defendan juga akan menyiarkan berita daripada TRTB yang memutuskan bahawa jumlah yang dibayar oleh syarikat perkapalan Jepun adalah bayaran yang sah.

Terdahulu, peguam Robert Lazar yang mewakili Abdul Taib menyatakan, pihak defendan telah menerima kesilapan serius mereka apabila menerbitkan artikel-artikel yang mengaitkan mereka dengan plaintif secara peribadi dan mengakui telah menjejaskan, memalukan dan menyusahkan plaintif.

Menurutnya, plaintif membawa kes itu ke mahkamah demi keadilan untuk memperbetulkan artikel-artikel palsu dan berniat jahat yang diterbitkan oleh pihak defendan. Beliau menambah, tindakan saman itu dilakukan dalam keadaan plaintif dengan tegasnya menafikan terlibat dalam sebarang salah laku seperti yang didakwa dalam artikel-artikel berkenaan.

Persetujuan kedua-dua pihak bagi tujuan penyelesaian tersebut direkodkan oleh Hakim Rosilah tanpa sebarang perintah kos.

No comments:

Post a Comment